SURAT TERBUKA untuk KETUA POLIS NEGARA, Tan Sri Norian
Mai
 
Yang berbahagia Tan Sri,
 
Kami rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan
kesejahteraan bersama ingin menuntut perubahan,
reformasi dan keadilan.
 
Hari ini kami berkumpul untuk menyatakan rasa hati
yang tulus dan ikhlas. Kami datang dengan tangan
kosong, dengan jasad yang satu, untuk semata-mata
berkumpul.
 
Kami memohon kerjasama daripada Tan Sri dan
pegawai-pegawai Tan Sri agar berlembut dengan kami
rakyat yang tidak berdosa dan bukan penjenayah.
 
Janganlah kami dituduh seperti penjenayah. Janganlah
kami dilayan seperti orang asing sedangkan kami rakyat
yang sah di negara ini.
 
Yang berbahagia Tan Sri,
 
Tan Sri orang Melayu, kami juga orang Melayu. Dato'
Sri Anwar juga orang Melayu. Kenapa polis (90 peratus
Melayu) memukul sesama Melayu dan Islam? Kenapa dua
pihak ini (rakyat Melayu dan polis Melayu) jadi ayam
sabung yang rela memusnahkan sesama bangsa semata-mata
hendak mengikut perentah seorang pemimpin?
 
Yang dihormati Tan Sri,
 
Kami menghormati tugas Tan Sri dan pegawai-pegawai Tan
Sri. Rakyat tidak memukul polis. Rakyat ikut arahan
polis di mana-mana. Rakyat mengadu kepada polis. Polis
bantu orang ramai, bantu rakyat tanpa mengira agama
dan kaum.
 
Tetapi kenapa setiap kali rakyat berkumpul, kami
dikejar dan dipukul? Kenapa kami disembur air kimia
yang pedih dan sakit itu? Kenapa kami ditangkap
berhari-hari dan dikenakan ikat jamin yang beribu-ribu
ringgit?
 
Apa dosa kami sebenarnya, Tan Sri?
 
Tan Sri, ramai pelajar universiti ditahan polis kerana
berkumpul dengan aman. Ada yang dibuang universiti dan
ada yang digantung pengajian semata-mata berkumpul?
Tan Sri, mereka ini anak Melayu sama seperti kita
semua.
 
Kenapa kita jadi seperti hari ini, Tan Sri?
 
Yang dikasihi Tan Sri,
 
Saya seorang bekas polis (saya terpaksa berhenti
kerana tidak sanggup dikeji oleh ahli keluarga saya
sendiri). Bapa saya juga seorang polis.
 
Dulu, polis dipandang mulia. Arwah ayah saya mengajar
dan mendidik saya supaya mengikut jejaknya jadi
seorang polis.
 
Tetapi hari ini, saya sungguh sedih. Di mana-mana kita
pergi, orang ramai pandang serong pada polis atau
bekas polis.
 
Mengapa kita jadi macam ini, Tan Sri?
 
Tan Sri dan pegawai-pegawai Tan Sri sahajalah yang
kami harap di dunia ini. Janganlah hina bangsa Melayu
sendiri dengan cara ini. Kita (rakyat dan polis) tidak
ubah seperti dua ekor ayam yang sedang berlaga tetapi
tuannya bersuka ria.
 
Tolonglah kami kali ini, Tan Sri.
 
Selebihnya, kami akan serahkan kepada Allah. Tan Sri
kena ingat, kita hidup tidak menungkat langit.
 
Di mana-mana doa orang-orang salih, doa orang alim,
orang anak-anak kecil akan menimpa kita jika kita
berlaku zalim dan buat aniaya pada orang.
 
Yang dihormati Tan Sri,
 
Kami menghormati sikap Tan Sri sejak mengambil alih
tugas baru. Selagi ada kudrat, orang Melayu akan
berladang dan bersawah, beribu-ribu tahun dulu lagi.
 
Selagi ada kudrat, rakyat yang kecil (Melayu) dan
rakyat Malaysia (bukan Melayu) yang mempunyai hati
kecil akan melawan terus melawan kezaliman.
 
Tidak tahu apakah pilihan Tan Sri, tetapi Allah Maha
Mengetahui isi hati Tan Sri.
 
Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada
kita semua. Pada hari Jumaat ini, kami berdoa agar
Allah bersama Tan Sri untuk keadilan, kebenaran,
keamanan dan reformasi.
 
Yang benar,
 
Bekas anggota polis,
Pokok Asam, Taiping, Perak