tMK |
19
Jun 2000 |
Edisi 160 |
16 Rabi'ul Awal 1421 |
Sistem Kehakiman dikomersialkan? Plaintif-plaintif kaya seperti Vicent Tan, Ananda Krishnan, dan Halim Saad
tentu gembira. Peguam-peguam seperti V.K. Lingam juga turut gembira. Tetapi
kenapa? Kerana Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara yang bermasalah itu baru
sahaja mengumumkan bahawa sistem kehakiman di Malaysia akan dikomersialkan.
Majlis Hakim-Hakim Malaysia sebulat suara mencadangkan bayaran antara RM300
hingga RM500 sejam dikenakan sebagai yuran perbicaraan kepada pihak yang
mngemukakan kes sivil seperti plaintif, perayu atau pemohon ke mahkamah. (Utusan Malaysia 17 Jun) Tetapi kenapa tokoh-tokoh korporat itu gembira? Sebab mahkamah sekarang
hanya terbuka kepada golongan kaya seperti mereka. Mahkamah akan lebih cekap
dan pantas menyelesaikan masalah kes mereka. Tetapi kenapa hakim-hakim juga
gembira? Sebab hakim-hakim yang hampir bersara seperti Eusoff Chin itu dan
kini dijanjikan Perdana Menteri jawatannya akan disambung semula akan senang
kerja. Tidak banyak kes baru di mahkamah. Mereka hanya akan kendalikan
kes-kes yang dibawa oleh peguam-peguam seperti V.K. Lingam bagi pihak
syarikat-syarikat besar sahaja. Bagi hakim-hakim itu, kes rakyat biasa yang
bertimbun di mahkamah itu hanya menyibuk sahaja. Membuang masa mereka. Mereka
sebagai hakim, juga manusia, sepatah kata Eusoff Chin yang bijaksana. Mereka
perlukan banyak masa luang untuk bermain golf dengan tokoh-tokoh korporat
terkemuka atau melancong ke luar negara bersama peguam-peguam yang
mengendalikan kes-kes orang-orang kaya. Demikianlah senario sistem mahkamah Malaysia tidak lama lagi. Majlis
Hakim-Hakim yang bersidang pada 16 Jun itu sepatutnya membincangkan cara-cara
untuk memulihkan imej institusi kehakiman dan mempertahankan kebebasannya
dari campurtangan badan Eksekutif. Tetapi lain pula yang mereka bincangkan.
Sistem kehakiman mahu dikomersialkan. Lalu kita mahu bertanya: Apa sebenarnya tugas mahkamah? Yang kita tahu
bidang kehakiman merupakan satu cabang bagi kerajaan. Dua yang lain ialah
cabang Perundangan yang mengubal undang-undang iaitu Parlimen, dan satu lagi
ialah cabang Eksekutif yang melaksanakan pemerintahan berdasarkan
undang-undang yang digubal itu. Manakala mahkamah fungsinya sebagai tempat
untuk menyelesaikan pelbagai kes sama ada jenayah dan juga sivil. Mahkamah
menjadi tempat rujukan bagi mencari kebenaran dan keadilan. Tetapi apabila bayaran dikenakan bagi kes-kes sivil, ini akan menimbulkan
persoalan bahawa bidang keadilan juga mahu diperdagangkan? Yang paling
terjejas ialah orang-orang miskin yang berpendapatan rendah dan juga golongan
pertengahan, kelas menengah. Bagi rakyat bawahan, sekarang ini pun banyak
pelanggaran hak-hak mereka berlaku tanpa mereka mampu mempertahankannya
kerana tiada wang untuk mendapat khidmat guaman. Dengan peraturan baru yang
ingin diperkenalkan oleh Eusoff Chin ini, maka rakyat miskin semakin susah
untuk mendapatkan keadilan di mahkamah. Memang benar mungkin ada skim untuk membantu golongan miskin dalam hal
yuran perbicaraan ini. Tetapi cuba bayangkan: Di hospital, golongan miskin
terpaksa meminta ihsaan untuk dikecualikan dari bayaran. Bila anak dapat
belajar tinggi, sekali lagi orang-orang miskin terpaksa mengemis mendapatkan
bantuan pinjaman kerajaan. Dan sekarang, apabila mahu menuntut keadilan di
mahkamah, nampaknya mereka terpaksa mengemis lagi. Sampai bila keadaan
seperti ini akan berterusan? Mahkamah bukan tempat untuk orang berduit sahaja. Hakim-hakim perlu sedar
ini. Rakyat biasa juga kadang kala terpaksa ke mahkamah untuk mempertahankan
hak mereka. Misalnya, golongan rakyat biasa, yang tidak miskin, yang tidak
kaya, tetapi memiliki tanah luas "sekangkang kera", tiba-tiba
tanahnya mahu diambil secara tidak adil oleh pihak berkuasa di bawah Akta
Pengambilan Tanah. Bagaimana orang itu mahu mempertahankan haknya ke atas
tanah itu? Tentu dia perlu pergi ke mahkamah. Tetapi dia bukan orang berada.
Apabila memikirkan dia terpaksa membayar yuran mahkamah RM300 hingga RM500
sejam, sedangkan tuntutannya belum tentu menang. Tidakkah ini akan menghalang
dia dari merujuk ke mahkamah? Adilkah hal semacam ini? Begitu juga banyak kes pekerja yang cedera, kemalangan perusahaan atau
kes-kes kecuaian dalam sektor perubatan. Akan ramai orang yang teranianya
sama ada dibuang kerja, atau jadi mangsa kecuaian pihak majikan atau pusat
perubatan. Kenapa? Kerana mangsa atau pihak yang kerugian itu tidak sanggup
pergi ke mahkamah untuk menuntut gantirugi atau pampasan. Puncanya? kerana
bimbang tak terbayar yuran perbicaraan di mahkamah yang mahal itu. Begitu juga para penduduk miskin di kawasan setinggan atau peneroka bandar
yang sedikit sebanyak dalam kes-kes tertentu, mereka ada hak yang diktiraf
oleh undang-undang. Beberapa kes peneroka bandar dan setinggan telah
diperjuangkan dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah
Persekutuan. Tuntutan mereka ada asas. Kes mereka kuat. Dalam beberapa kes,
mereka telah menang di Mahkamah Persekutuan. Proses perbicaraan itu memakan
masa sampai bertahun-tahun. Pada mulanya, mereka kalah di Mahkamah Tinggi.
Mereka membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Pihak pemaju yang ingin merobohkan
rumah mereka menang. Para penduduk setinggan atau peneroka bandar itu
kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Akhirnya mereka menang untuk
mempertahankan hak perumahan mereka. Bayangkan pada masa akan datang bagi kes
seperti ini. Rakyat miskin itu terpaksa mengadakan wang yang banyak untuk
mendapatkan keadilan. Kerana Mahkamah hanya akan mendengar secara percuma
bagi lima jam yang pertama. Selepas itu yuran akan dikenakan pada kadar RM300
hingga RM 500 sejam. Jadi banyak ketidakadilan akan berlaku jika cadangan Eusoff Chin dan
Hakim-hakim yang "arif" itu dilaksanakan. Tetapi lucunya, Eusoff
Chin menyebut Singapura dan Hong Kong sebagai contoh negara yang telah
memperkenalkan sistem bayaran yuran mahakmah itu. Kita mahu bertanya kepada
Ketua Hakim Negara yang bijaksana itu: "Sejak bila Malaysia perlu
belajar perkara-perkara seperti ini daripada Singapura dan Hong Kong?"
Singapura bukan sebuah negara yang patut dibuat contoh teladan dalam soal
berhubung keadilan. Ia sebuah negara kota dagang yang mengutamakan komersial.
Hong Kong pula bukan sebuah negara yang berdaulat. Ia sebuah wilayah
autonomi, dengan sistem perundangan sendiri. Namun ia berada di dalam sebuah
negara yang mempunyai sistem perundangan yang jauh berbeza daripada Malaysia.
Ketua Hakim Negara berkata lagi, bahawa tujuan bayaran mahkamah ini untuk
mengatasi beratus ribu kes yang tertangguh. Tentu ada cara lain untuk
mengatasi masalah lapuk yang diwarisi sejak bergenerasi itu. Tentu sekali
bukan dengan cara mengenakan bayaran ke atas plaintif, pemohon atau perayu
yang membawa kes sivil mereka ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan. Jika
sistem ini mahu diperkenalkan juga, sudah barang pasti, ia akan menjadi satu
kelucuan. Mahkamah kita akan menjadi seperti tempat letak kereta. Masa letak
kereta itu dikira oleh meter. Meter akan membaca berapa lama kereta itu
berada di kawasan letak kereta itu. Apabila keluar kena bayar. Itu di tempat letak kereta. Di mahkamah siapa yang akan jaga jam tentang
banyak mana masa hakim digunakan untuk sesuatu perbicaraan. Kalau pihak
plaintif dan peguam asyik melihat jam sahaja, mungkin ada ketergesaan supaya
kes itu segera ditamatkan bagi mengelakkan beban bil yuran perbicaraan. Lalu
dengan cara ini mahkamah akan jadi seperti pasar borong menjual ikan- di mana
timbangan tak perlu dibuat secara teliti, ambil agak patut sahaja. Jika ikan
yang ditimbang, tidak mengapa juga. Tetapi bagaimana kalau keadilan yang
sedang ditimbang? Cukuplah sudah, air, elektrik, pos, telekom, sistem kumbahan, lebuhraya,
pendidikan universiti dan beberapa aspek hospital telah diswastakan oleh
kerajaan. Mengapa sampaikan soal keadilan juga mahu dikomersialkan? Sudah
bangkerap sangatkah Malaysia ini? n |