OSA Tingkatkan Kekebalan
Mahathir?
Komentar:
TARMIZI MOHD JAM
Sehingga
kini, pihak polis sedang menyiasat dakwaan Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd
Noor kononnya terdapat lima enam kotak dokumen rasmi kerajaan yang disimpan di
luar negara. Bagaimanapun, para pemimpin Umno terus memanipulasikan isu ini
sebagai isu keselamatan negara dan mengaitkan dokumen berkenaan sebagai
terlindung di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA). Ezam sudah didakwa atas
isu ini. Perbicaraan sedang berlangsung. Sekali lagi OSA menjadi “alat” untuk
memerangkap Ezam dan apa yang didakwa “enam kotak dokumen rasmi kerajaan” itu.
OSA dipasungkan kepada Ezam bagi menamatkan “ancaman” anak muda itu
Kebimbangan ini makin ketara apabila Anwar membuat
dua laporan polis sebelum ini terhadap
Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan Rafidah Aziz berhubung penyalahgunaan
kuasa dalam isu pemberian saham kepada menantu dan kerugian yang dialami oleh
Perwaja Steel di Terengganu. Tokoh lain yang terbabit termasuklah Abdul Ghani
Patail, Mohtar Abdullah dan Eric Chia. Setakat ini langkah politik yang diambil
oleh Anwar dengan melaporkan dua kes kepada polis telah dianggap menguntungkan
rakyat. Sekaligus ianya juga mengejutkan Mahathir dan kroni-kroninya. Tidak
siapa menyangka Anwar yang sudah dipenjarakan di Sungai Buluh, masih berupaya
menggugat kepimpinan Mahathir.
Satu lagi, laporan polis dibuat oleh Anwar terhadap
Mahathir minggu ini. Anwar meminta BPR, Polis dan Peguam Negara menyeret
Mahathir ke muka pengadilan ekoran pendedahan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk
Shafie Yahya pada 12 Jun lalu. Mahathir menurut Datuk Shafie telah menghalang
beliau dari menyiasat kes rasuah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi JPM, Tan
Sri Ali Abul Hassan Sulaiman. Mahathir mengarahkan Datuk Shafie menutup kes itu
dan menuduh “siasatan” itu dilakukan oleh Datuk Shefie atas arahan Anwar
Ibrahim untuk memerangkap “orang-orangnya”.
Kekuatan semangat dan tindakan berani Anwar membongkar penyelewengan berhemah pemimpin
tertinggi negara dalam menyalahgunakan kuasa bukan sahaja mendapat perhatian
antarabangsa tetapi, menimbulkan lagi kesedaran baru rakyat terhadap
kepincangan kepimpinan Umno dan BN selama ini. Arus perdana yang cuba dibentuk
oleh Mahathir untuk mengabui mata rakyat kononnya “menyimpan” dokumen-dokumen sokongan
seperti yang dikepilkan dalam laporan-laporan polis Anwar setakat ini; akan
mendedahkan negara kepada pengaruh kuasa
asing dan menggugat keselamatan negara; dipandang sepi oleh rakyat.
Kesedaran
politik yang tinggi di kalangan rakyat negara ini, nampaknya tidak
terpedaya dengan hujah dan arus berkenaan sekalipun media kroni memutarkan isu
ini secara berat sebelah dan amat meloyakan. Rakyat mahu, penyelewengan ini
disiasat segera dan menteri-menteri terbabit jika didapati bersalah, patut
diberi hukuman yang setimpal dengan kesalahannya tanpa mengira ianya menteri
kecil, menteri kanan atau Perdana Menteri sendiri.
Cadangan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor supaya
sebuah Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat segala bentuk
penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan jika dokumen tersebut ada
menyatakan perkara demikian. Jika ia berkaitan dengan penyelewengan dan salah
guna kuasa pemimpin tertinggi BN, ia tidak boleh dianggap sebagai rahsia kerana
ia amat bertentangan dengan peraturan negara ini.
Pendedahan Ezam dalam ceramahnya di Teluk Intan
menjelang pilihanraya lalu, telah
menarik perhatian media massa dan para pemimpin tertinggi BN mengenai apa yang
dikatakan sebagai “dokomen-dokumen rahsia kerajaan” yang disimpan di luar negara
dan Anwar akan mendedahkannya satu persatu kepada pengetahuan rakyat secara
berperingkat-peringkat. Ekoran dari
ini, maka ramailah juak-juak Umno dan BN menggesa pihak kerajaan supaya
menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Anwar kerana menyeludup keluar
dokumen rahsia kerajaan. Akhirnya, selepas Umno hampir-hampir ditolak oleh oleh
orang Melayu dan merasa terancam, Ezam diseret juga ke mahkamah. Menurut
puak-puak Umno ini, perbuatan menyeludup dokumen rahsia kerajaan adalah satu
“pengkhianatan” yang tidak boleh dimaafkan oleh negara dan rakyat. Tindakan itu
melanggar Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) 1973.
Soalnya, apakah benar dokomen-dokumen yang disimpan
di luar negara ini rahsia kerajaan dalam ertikata undang-undang negara atau
sekadar beberapa dokumen mengenai penyelewengan dan rasuah pemimpin teratas
negara kita? Timbalan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang berpendapat OSA yang
bejalan sekarang tidak lagi memelihara rahsia kerajaan untuk keselamatan negara
tetapi sebaliknya, cuba untuk melindungi kepentingan pemimpin yang tidak telus.
“Perkara ini sudah berkali-kali dibahaskan di
Parlimen, termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menjadi
pelindung dan penyelamat kepada pemimpin-pemimpin tertentu,” tegas beliau
ketika berceramah di Sungai Tekali, Kuala Langat tidak hujung tahun lalu. Jika
kedua-dua akta ini dihapuskan dari berkuatkuasa, kedudukan sesetengah pemimpin
Umno dan BN dikhuatiri akan terjejas kerana segala fail “penyelewengan” mereka
akan dibuka semula dan dibawa ke muka pengadilan.
Timbul dua persoalan akibat dari isu dokumen di luar
negara ini. Pertama, keselamatan negara terancam dan keduanya, kedudukan
pemimpin tertentu tidak selamat. Tetapi apa yang pelik bin ajaibnya, pernah
suatu kerika dahulu ruang atau sempadan udara negara kita dicerobohi oleh
pesawat Singapura (negara terancam dan tidak selamat) tetapi tiada tindakan
tegas diambil dari pihak kerajaan yang ada sekarang. Mereka sekadar mengutuk
dari jauh kerana ianya tidak menyentuh kedudukan politik mereka dalam negara.
OSA sebenarnya adalah akta yang boleh menafikan hak
rakyat negara ini dari mendapat, memperkatakan atau membocorkan apa-apa sahaja
yang disifatkan oleh kerajaan sebagai rahsia. Mereka yang bersalah melanggar
akta ini akan dipenjarakan sekurang-kurangnya satu tahun. Akta ini menjadi
perisai kepada orang-orang tertentu yang berkuasa dalam kerajaan. Selain dari
Mahathir selaku PM, suku-sakat dan kroni-kroninya mungkin mendapat manfaat dari
akta sedemikian rupa. Di sebalik perisai ini juga, segala skandal, muslihat dan
matlamat mereka terlindung dari siasatan rakyat.
Tidak siapa dapat menafikan bahawa Akta OSA ini
sangat mudah untuk disalahgunakan seperti juga ISA. Apakah yang boleh
disenaraikan sebagai rahsia rasmi kerajaan? Pada mulanya, pindaan OSA yang
dibacakan pada kali pertama di Dewan Rakyat , 27 Oktober 1986; jadual rasmi
itu telah menggariskan tujuh perkara
seperti berikut:
1.
Suratan,
rekod kepunyaan dan pertimbangan jamaah menteri, termasuk jugalah suratan,
rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa jamaah-jamaah menteri.
2.
Suratan,
rekod keputusan dan pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, termasuk
juga suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri.
3.
Suratan
berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan negara dan perhubungan
antarabangsa.
4.
Suratan
berkenaan perhubungan diantara Persekutuan dan Negeri.
5.
Suratan
dalam bentuk atau berhubungan dengan pendapat, nasihat atau syor mengenaikuatkuasa dan fungi kerajaan dan
perkhidmatan awam.
6.
Suratan
berkenaan dengan tender mengenai apa-apa pembelian rasmi, permintaan untuk
kerja, bekalan, perkhidmatan dan projek.
7.
Suratan
berkenaan dengan ekonomi negara yang ada hubungan dengan matawang, cadangan
belanjawan dan pelaburan.
Namun
begitu, pada 2 Disember 1986, pindaan dibuat sekali lagi ke atas jadual rahsia
rasmi ini dengan menggugurkan perkara 4 hingga 7 dan mengekalkan parkara 1
hingga 3.
Soal
salahguna dalam mana-mana undang-undang sepatutnya tidak berbangkit kecuali
undang-undang itu mempunyai kelemahan. Undang-undang mestilah lengkap,
sempurna, berkesan dan adil. Sebarang undang-undang tidak harus ada ruang bagi
sebarang salahguna kerana sebarang salahguna yang dilakukan sudah tentu akan
menindas orang lain. Sebab itulah, undang-undang ciptaan manusia tidak boleh
diluluskan dalam masa satu atau dua hari dan tidak terkecuali OSA ini bukan
sahaja lemah malah ianya amat mudah untuk disalahgunakan untuk kepentingan
pemimpin tertentu.
Apa
yang dikatakan dokumen-dokumen rahsia kerajaan seperti yang didakwa oleh Ezam
itu, tentulah amat “membimbangkan” Mahathir. Pendedahan Anwar yang berani dan
dipercayai oleh rakyat tidak mungkin dapat menyelamatkan imej dan pengaruhnya.
Sebagai manusia biasa, Mahathir akan tewas dan tumbang akhirnya jika
pembangkang khususnya Anwar terus menyenaknya dengan isu-isu “penyelewengan”
yang menyabitkan Mahathir. Lambat laun kekebalan Mahathir akan musnah dan
tumpas ditangan rakyat apabila imej yang dibinanya selama ini “runtuh” akibat
pendedahan demi pendedahan “perlakuan” buruknya terhadap rakyat dan
negara.
Sehingga
hari ini, OSA tidak ubah menjadi akta yang meningkat dan menebalkan lagi
imuniti atau kekebalan Mahathir dari terus didakwa atau diheret ke laman
pengadilan!
Bagaimana
jika Anwar, terus membuat laporan polis dan menyeret lebih ramai lagi
pemimpin-pemimpin kanan Umno dan BN ke muka pengadilan atas isu penyelewengan
dan rasuah? Sudah tentulah, ia akan memberi sumbangan yang besar kepada
pembangkang dan melajukan lagi runtuhnya empayar Umno dan BN menguasai negara
ini pada 2004 nanti!
18
Jun 2000, Ahad