TENAGA REFORMIS CUKUP KUAT

Selepas tuduhan bahawa penahanan tujuh tokoh reformasi di bawah ISA konon kerana mereka mahu mencetuskan rusuhan besar melalui demonstrasi jalanan, maka tuduhan baru pula dibuat dan direka konon kumpulan reformasi merancang membawa masuk rakyat Indonesia untuk menyertai demonstrasi jalanan secara militan bagi menggugat keselamatan negara.

Tuduhan ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri selepas merasmikan mesyuarat agung UMNO di Gerik. Malah TPM berkata bahawa polis mempunyai maklumat mengenai hubungan kumpulan reformasi di negara ini dengan golongan tertentu di Indonesia. Tetapi beliau tidak pula menyatakan siapakah golongan tertentu di Indonesia itu.

Sebenarnya tenaga reformis di Malaysia sudah cukup besar kalau mahu menggerakkan demonstrasi ini. Rakyat Indonesia bukan tolol saperti TPM dan polis. Perlu apa mereka mahu datang ke Malaysia kalau semata untuk turut menyertai demonstrasi yang akan membawa pelbagai risiko itu?

Demonstrasi jalanan secara militan hanya igauan Mahathir dan Abdullah Badawi sahaja. Polis menjadi alat dan diperalatkan untuk merisik dan melaporkan setiap langkah silat dan kuntau para reformis terhadap kezaliman Mahathir dan BN. Lalu laporan itu dibuat dan direka-cipta menandingi sebuah hikayat seribu satu malam, di mana Mahathir dan Abdullah Badawi akan terus dengan igauan mereka berbohong, melalet dan cuba menegakkan benang yang basah.

Tidak ada kalangan reformis dan rakyat Malaysia yang mahu menggugat keselamatan negaranya sendiri. Malaysia adalah negara kita. Kita lahir, hidup dan mati di bumi Malaysia ini. Kestabilan dan keselamatan Malaysia adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimana pun, Malaysia mungkin akan hancur, kestabilan dan keselamatan negara akan punah bukan kerana reformis dan demonstrasi tetapi adalah akibat salah-laku pemimpin yang rasuah, mengamalkan nepotisme mengutamakan anak-anak dan kroni, tidak amanah, menyeleweng, salah-guna kuasa dan kedudukan, memperalatkan institusi dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti dan diri sendiri disamping kuat pembohongan dan menabur fitnah.

Perjuangan para reformsi adalah untuk menyelamatkan Malaysia daripada ditimpa bala buruk kerakusan manusia yang mulai sudah hilang pertimbangan dan kewarasan dari segi kebenaran dan keadilan. Kuasa adalah amanah. Menyalah-gunakan kuasa bererti telah melakukan pecah amanah yang diberikan oleh rakyat untuk memerintah dan mentadbir negara dengan sebaiknya. Tetapi selama ini, apakah yang sudah dilakukan Mahathir dan BN terhadap amanah rakyat itu?

Haji Pungut Abd Ghani (KP 390420-04-5245) 1
61 Jalan Dato' Senu 4 Taman Dato' Senu 571000 Kuala Lumpur

Tel: 03-40428102