TRAGEDI SAUK:
TUBUHKAN SEGERA SURUHANJAYA BEBAS
Laporan
TARMIZI MOHD JAM
Kuala Lumpur, Isnin
31 Julai: PAS dan Barisan
Alternatif mendesak pihak kerajaan agar menubuhkan segera satu Suruhanjaya
Bebas bagi menyiasat Tragedi Sauk yang dikatakan melibatkan isu keselamatan
negara. Penubuhan Suruhanjaya Bebas ini, berupaya untuk mengembalikan
kepercayaan rakyat tehadap hasil siasatan berkenaan isu kontroversi yang sudah
dijadikan isu politik dan tuduh-menuduh antara Umno dan PAS.
Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor
menegaskan, Suruhanjaya Bebas ini amat penting bagi mengembalikan kepercayaan
rakyat terhadap keselamatan negara disamping mereka dapat mengetahui cerita
sebenar dari sumbernya tidak boleh dipertikaikan berkenaan Tragedi Sauk itu.
Dengan ini, tiada siapa yang boleh mempolitikkannya demi rasa tanggungjawab
terhadap keselamatan negara.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang,
kurang yakin dengan Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh pasukan tentera
kerana siasatan tidak akan berjalan dengan licin seperti yang diharap-harapkan.
Sambil merujuk kepada kes yang menimpa Datuk Sri Anwar Ibrahim, Jawatan
Siasatan yang ditubuhkan oleh pasukan polis jelas gagal berfungsi untuk
menyiasat orang yang lebih atas dan lebih kanan dalam kejadian “mata lebam”
yang diterima oleh Anwar.
Katanya, sehinggalah desakan
pembangkang diterima oleh pihak kerajaan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya
Bebas bagi menyiasat siapakah yang telah menumbuk mata kiri Anwar sehingga
lebam dan berlakunya pendarahan, maka barulah terbongkar angkara siapa yang
melakukannya.
“Kalau nak ikut cakap Mahathir, itu
Anwar pukul sendiri. Bukan ditumbuk oleh sesiapa,” sindir Datuk Fadhil terhadap
sendiwara Mahathir dalam kes “mata lebam” Anwar itu. Beliau yakin, dengan
penubuhan Suruanjaya Bebas ini, banyak persoalan yang berligar-ligar dalam
kepala rakyat dapat dijelaskan dan kepercayaan rakyat terhadap keselamatan
negara boleh dikembalikan.
Beliau juga turut kesal dengan
tindakan Mahathir yang langsung sehingga hari ini enggan bertemu dan
bermuzakarah dengan pimpinan BA berkenaan isu Tragedi Sauk ini. Katanya, beliau
telah menghantar sepucuk surat undangan kepada Mahathir bagi tujuan
perbincangan serius demi keselamatan dan keamanan negara. “Masalah Sauk adalah
masalah bersama. Kerana ia melibatkan soal keselamatan negara. Jadi mengapa
kami dari BA yang diangkat rakyat, tidak dibenarkan membincangkan hal ini,”
tegas beliau yang juga MP Pendang, Kedah kepada lebih 20,000 hadirin di Markaz
PAS Taman Melewar semalam.
Datuk Fadhil masih menunggu kesediaan
Mahathir untuk duduk semeja dalam membincangkan perkara penting ini. Turut
berceramah ialah Sdra. Salehuddin Ayub, Naib Ketua Pemuda PAS dan Sdra. Mahfuz
Omar, Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.