14 April 2001 20 Muharram 1422

Tan Sri Dato' Musa Hitam
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Tingkat 29, Menara Tun Razak Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur

Yang Berbahagia Tan Sri,

Semoga surat ini menemui Tan Sri dan keluarga dalam keadaan sejahtera. Saya ingin memohon perhatian Tan Sri tentang keadaan kesihatan Sdr. Anwar Ibrahim yang semakin mendesak dan memerlukan pembedahan yang segera.

Setelah saya melawat suami saya semalam (13 April) saya dan anak-anak saya semakin bimbang dengan keadaan beliau. Sdr Anwar mengadu mengalami kebas dan sakit menyucuk daripada bahagian tengkok yang menjalar kepada tangan kanan. Ini adalah tanda bahawa keadaan sarafnya semakin tertekan. Keadaan ini boleh menjadi lebih parah selepas ini sekiranya pembedahan tidak dijalankan dengan segera.

Saya yakin bahawa Tan Sri telah membaca laporan perubatan yang ditulis oleh Dr. Thomas Hoogland. Laporan tersebut menjelaskan alat-alat yang tidak cukup lengkap dan bersesuaian di Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pembedahan yang mengunakan teknik endoscopik (Laporan dilampirkan).

Sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak beliau, saya amat bimbang dan takut dengan risiko tinggi dan pelbagai implikasi terhadap kesihatan suami saya sekiranya suami saya menjalani pembedahan mengikut cara konvensional di HKL.. Saya dan anak-anak saya tidak meminta yang lain melainkan hak suami saya untuk mendapatkan rawatan yang terbaik dan paling selamat iaitu menjalani pembedahan di pusat yang dicadangkan oleh pakar yang memeriksa Sdr. Anwar. Kaedah tersebut yang menjanjikan prospek kejayaan yang terbaik dengan risiko yang paling rendah. Hak suami saya sebagai pesakit punya asas yang kukuh dari sudut hak asasi sejagat dan juga peruntukan undang-undang yang ada.

Isu ini adalah isu kesihatan, kemanusiaan dan hak asasi semata-mata. Saya merujuk perkara ini kepada SUHAKAM kerana saya yakin SUHAKAM cukup berwibawa untuk membantu kami dalam memperolehi kebenaran bagi Sdr. Anwar mendapatkan rawatan yang terbaik dengan kadar segera.

Sekian, terima kasih dan wassalam.

Yang ikhlas,

Dr. Wan Azizah Wan Ismail