Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) mengucapkan Selamat Hari Natal dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua warga Malaysia terutamanya saudara-saudara kita yang beragama Kristian dan Islam. Sebagai sebuah negara yang berbagai kaum dan agama, Malaysia sememangnya begitu bertuah sekali dengan keanekaannya. Biasanya rakyat Malaysia menyambut setiap perayaan dengan saling lawat-melawati. Akan tetapi, perpaduan kebangsaan yang jati itu adalah lebih daripada interaksi sosial. Ia mengkehendaki kita mendukung keadilan sosial dan multi-culturalism.

Atas pertimbangan kepada keadaan negara kita dan perpaduan nasional, sebagaimana dalam kenyataan Jawatankuasa Suqiu sebelum ini pada 22 Disember, kami ingin mengulangi keiktizaman kami kepada penerusan program tindakan afirmatif (bantuan kepada golongan lemah) untuk golongan yang berkekurangan di negara kita. Atas pertimbangan yang sama, kami juga mengulangi sokongan kami kepada peruntukan Perlembagaan Perseketuan dalam Perkara 153 mengenai “kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak”. Semua warga Malaysia akan menghadapi cabaran yang sama dan menempuh nasib yang sama dalam Era Globalisasi ini, tak kira apa keturunan kita.

Jurang ekonomi yang semakin melebar di antara rakyat Malaysia mesti ditangani. Sememangnya menjadi dasar negara ini untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Program-program tindakan afirmatif yang sebaik-baiknya dilaksanakan merupakan langkah ke arah matlamat ini. Maka, peruntukan dalam Perlembagaan harus dihormati. Golongan berpendapatan sederhana dan rendah perlu dan harus diberi lebih bantuan, sama ada mereka tinggal di bandar, kampung tradisional, kampung baru, estet, rumah panjang atau perkampungan orang asli di pedalaman.

Jawatankuasa Suqiu juga berpendapat bahawa perlaksanaan setiap program afirmatif harus diperiksa dan diimbangi (check and balance) untuk mengelakkan penyalahgunaan atau penyelewengan sehingga hak golongan yang benar-benar memerlukan pertolongan itu diketepikan. Sememangnya hanya dengan program tindakan afirmatif yang benar-benar berasaskan keperluan dan dilaksanakan dengan keadilan dan kesaksamaan, barulah dapat semua komuniti yang berkekurangan dan terpinggir itu diberi peluang untuk bermaju.

Semoga musim perayaan yang mulia dan gembira ini akan membawa keamanan dan keriangan. Semoga musim ini juga akan menjadi permulaan kepada pembaharuan politik, ekonomi dan sosial untuk tanahair tercinta kita ini. Selamat menyambut Tahun Baru !

Jawatankuasa Suqiu
24 Disember 2000