Royal Sporting House(Malaysia)SDN BHD anti Islam?

Royal Sporting House (Malaysia) SDN BHD, sebuah syarikat yang berasal dari Singapura dan mempunyai kira-kira 30 rangkaian kedai-kedai yang menjual pakaian serta peralatan sukan di seluruh negara termasuklah Golf House telah sekian lama menindas pekerja-pekerjanya yang beragama Islam. Ini kerana kebiadaban pihak pentadbirannya yang tidak sekali-kali membenarkan para pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat dan solat 5 waktu sedangkan majoriti para pekerjanya adalah beragama Islam.

Sebelum ini terdapat seorang pekerja yang cuba 'curi-curi' menunaikan solat tetapi telah dikesan oleh pihak pentadbiran dan akhirnya telah diberi kata dua sama ada untuk bekerja atau ingin terus menunaikan solat. Akhirnya beliau telah memilih untuk menunaikan solat dan ini mengakibatkan pihak pentadbiran mengambil tindakan untuk memecat beliau.

Lantaran tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan terhadapnya, pekerja tersebut cuba membuat aduan bertulis kepada Kementerian Sumber Manusia tetapi sia-sia sahaja usaha beliau kerana Pengurus Besar Royal Sporting House(Malaysia) SDN BHD yang berasal dari India dikatakan mempunyai hubungan yang intim dengan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik dan mereka sering bermain golf bersama-sama. Akhirnya aduan pekerja tersebut tergantung begitu sahaja.

Salah sebuah cawangan Royal Sporting House (Malaysia )SDN BHD yang bertempat di tingkat bawah Suria KLCC, pengurusnya Miss Pong Pong sering menindas pekerja-pekerja yang beragama Islam dan sesiapa sahaja yang cuba membincangkan tentang soal solat di depannya akan dimarahi serta merta oleh beliau. Malah beliau juga yang telah memecat seorang pekerja yang telah menunaikan solat secara 'senyap-senyap'.

Kegagalan kerajaan bertindak terhadap syarikat yang berkenaan akan membuatkan mereka lebih angkuh lagi dan lama kelamaan para pekerja yang beragama Islam akan kehilangan hak untuk mengamalkan agama mereka seperti menunaikan solat, berpuasa dan sebagainya sebagaimana yang telah tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan negara. Malah ini akan menjadi ikutan kepada syarikat-syarikat swasta yang lain untuk turut sama menzalimi pekerja-pekerja mereka yang beragama Islam.

Cuba bayangkan betapa pilunya kita melihatkan nasib yang menimpa para pekerja yang berkenaan dan apakah kerajaan masih mampu berdiam diri membisu seribu bahasa dan memejamkan mata di atas penderitaan mereka. Bagaimana peristiwa yang menyedihkan dan mengaibkan ini boleh berlaku di Malaysia, sebuah negara yang mengaku mengamalkan sistem pemerintahan bercorak demokrasi dan majoriti rakyatnya pula adalah beragama Islam? Apa buktinya kerajaan cuba membela nasib masyarakat yang beragama Islam di negara yang tercinta ini jika perkara sebegini dibiarkan berterusan tanpa sebarang tindakan?

Ketepikanlah dulu perbezaan fahaman politik dan prihatinlah akan nasib para pekerja yang beragama Islam di negara ini. Sudah sampai masanya kerajaan perlu mengurangkan masa 'bercakap' dan membanyakkan waktu bekerja. Janganlah kera di hutan disusukan sedangkan anak di rumah mati kelaparan.

Utusan dari Pulau Tawar