Aug 1, 2000
Lambaian terakhir 4 Ogos
Fathi Aris Omar
Tiada lagi lambaian
Anwar. Tiada lagi senyumannya. Episod Anwar sedikit masa lagi berakhir. Tarikh
4 Ogos ini menjadi saksi perpisahan itu. Segala-galanya kemudian hanya tinggal
nostalgia.
Sesiapa yang ‘bercinta'
dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu harus memulakan hidup baru. Laungan
re-for-ma-si Anwar berakhir walaupun perhimpunan proreformasi gagal
dilumpuhkan. Beberapa bekas setiausaha pemimpin nombor dua itu harus belajar
menjana tenaga baru daripada isu baru.
Puteri sulungnya dan
isterinya sendiri, Dr Wan Azizah Ismail, harus menerima hakikat ini - kali ini
tiada peluang meninggalkan medan seperti episod 14 April lalu. Dua tahun
berturut-turut tarikh itu menunjukkan seorang isteri yang bertukar ahli politik
itu gagal menyelami rakyat marhain di belakang suaminya dan dirinya sendiri.
Kali ini, Kak Wan harus
duduk di tengah-tengah para demonstran, jangan melarikan diri ke rumah
serta-merta kerana itu bukan tugas seorang wakil rakyat, ahli politik dan
lebih-lebih lagi, isteri Anwar.
Beliau seharusnya lebih
memerlukan Anwar, bukannya hamba-hamba kerdil di celah-celah sorakan reformasi.
Dua anak Anwar akan
berlepas ke Australia untuk menyambung pelajaran, sementara Nurul Izzah mula meneruskan
pelajaran. Apakah masih relevan untuk mengekalkan ‘Puteri Reformasi' di sebuah
institusi yang dikawal akta universiti?
Lanskap politik yang
berkisar pada isu Anwar - atau lebih tepat, batang tubuh Anwar - akan berubah
corak. Seorang perwakilan PAS dalam muktamar di Kuala Terengganu pada awal Jun
mengingatkan parti itu tentang isu Anwar. Pilihan raya 2004, isu Anwar harus
difikirkan semula.
Tetapi parti itu, dan
beberapa parti Barisan Alternatif, janganlah meninggalkan Anwar keseorangan
pada 4 Ogos ini. Calon Perdana Menteri BA itu tidak wajar dikhianati kerana
kehebatan isunya tidak boleh ditunggangi lagi. Apakah wajar politik itu
semata-mata berkisar pada soal "siapa memperalatkan siapa"?
Bagaimanapun, sebagai
bekas pemimpin berpengaruh, Anwar akan tetap dikenang walau rakan-rakannya
meninggalkan Anwar. Badan-badan Islam yang suka dikaitkan dengan Anwar dan
mendapatkan durian runtuh boleh jadi melupakannya.
Tetapi episod politik
ekoran pemecatan, pemenjaraan dan pembelasahannya akan berbekas dalam ingatan
kolektif rakyat Malaysia - khususnya rakyat yang tidak mendapat apa-apa manfaat
daripada Anwar.
Semua pemimpin politik -
malah semua orang - harus belajar daripada episod Anwar; bahawa rakan ketawa
terlalu mudah dicari daripada rakan menangis.
Rakan-rakan yang menangis
itulah yang akan menjejakkan kaki di sepanjang jalan 4 Ogos ini. Sebahagiannya
tidak pernah bertemu Anwar tetapi jiwa mereka sentiasa dekat dengan pemimpin
itu.
Anwar, jalan ini jalan
sunyi. Bingitnya hanya apabila ada laungan re-for-ma-si.
Kalau laungan itu sudah
tiada, apa lagi hadiah untuknya?
Insan-insan marhain itu
akan mengiringi Anwar dan menyambut lambaian terakhirnya. Mereka akan
menghadiahkan laungan itu sekali lagi.
Tiada yang lebih daripada
itu. Selamat jalan, Anwar.