TEKS PERBAHASAN
RANCANGAN MALAYSIA KE-8 (RMK-8)
OLEH: YB ABD RAHMAN BIN YUSOF
Tuan Yang di-Pertua,
Rancangan Malaysia Ke-8 ialah yang ke 4 YB Kubang
Pasu membentangkannya dalam parlimen sebagai Perdana Menteri. 4 daripada
rancangan sebelumnya dibentangkan oleh 3 Perdana Menteri yang lain. Sebab itu
Rancangan kali ini tidak ada sesuatu yang baru, kreatif dan innovatif yang
boleh dibanggakan dari segi program, perancangan dan perencanaan. Ini
menggambarkan bahawa Perdana Menteri sekarang terlalu lesu dari segi pemikiran
untuk memberi input yang dinamik dan imaginatif untuk membawa negara
mengharungi alaf baru yang penuh cabaran ini. Perubahan menyeluruh perlu dibuat
untuk memberi suntikan dinamisma baru dalam menghadapi cabaran-cabaran alaf
baru ini supaya negara tidak terus terpinggir dalam arus perkembangan ekonomi
dan politik dunia semasa.
Pembentangan RMK8 dibuat dalam keadaan negara
menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam sejarah. Harga getah dan kelapa sawit
mencatat harga terendah dan di bawah paras kos pengeluaran. Harga padi
juga mencatat harga terendah hasil lambakan beras-beras import.
Pasaran saham menjunam di bawah paras 550 mata
lebih buruk lagi dari semasa negara dilanda krisis kewangan Asia September
1998. Tekanan untuk menilai semula pertukaran matawang ringgit begitu kuat
kerana nilai ringgit sebenar lebih rendah dari kadar yang ditetapkan sekarang.
Rizab luar negara jatuh mendadak sebanyak hampir
RM6.0 billion dalam masa 2 minggu kerana pengukuhan mata wang dollar Amerika
dan pengaliran keluar modal dari negara. Rizab luar negara hanya dapat
membiayai keperluan import untuk 4 bulan sahaja. Keyakinan pelabur asing
terhadap iklim pelaburan dalam negara amat rendah dan dianggarkan jumlah
pelaburan akan terus menurun. Hutang negara meningkat begitu cepat dan dalam
masa 5 bulan meningkat sehingga 33%.
Pengangguran meningkat kerana pembuangan pekerja
akibat dari penutupan kilang-kilang elektronik dan syarikat-syarikat luar.
Anak-anak peneroka, penoreh getah dan petani tidak ke sekolah akibat tekanan
kemiskinan.
Negara masih dapat mempertahankan kedudukannya hari
ini hanya dari hasil pengeluaran petroleum dan gas dari bumi Negeri Terengganu,
Sabah dan Sarawak, bukan dari Kedah, Pulau Pinang atau Pahang.
Negeri yang dikurniakan Allah s.w.t dengan hasil
petroleum dan gas ini telah diketepikan dalam arus pembangunan negara sehingga
menjadi di antara negeri-negeri yang termiskin dalam negara. Inilah keadilan
yang dilaksanakan oleh kerajan Barisan Nasional selama ini.
Jadi memang tepatlah tindakan rakyat negeri
Terengganu membuat peubahan dalam pilihanraya yang lalu dan ini patut diikuti
pula oleh rakyat negeri Sarawak yang akan menghadapi pilihanraya pada bila-bila
masa dari sekarang.
Industri timah sudah lama runtuh akibat dari
skandal Maminco yang mengakibatkan negara kerugian sebanyak RM4.0 billion sebab
itu suara dari Larut tidak berharga lagi.
Tuan Yang di-Pertua,
Kewujudan kemiskinan dalam negara selalu dinafikan
oleh kepimpinan negara . Oleh kerana pemikiran kepimpinan negara hanya
tertumpu kepada projek mega, mungkin mereka ingat rakyat hidup dalam kemewahan
seperti tinggal dalam Mahligai Putrajaya.
Hanya apabila berlaku pertumpahan darah seperti di
Kampung Medan yang terletak tidak sampai 20 kilometer dari Puterajaya maka
kerajaan bergegas menyediakan peruntukan untuk pembangunan bandar sebanyak RM
56 juta, lebih kurang 30% sahaja dari harga Mahligai Putrajaya atau 10% dari
harga Dewan Persidangan yang baru dibina di Puterajaya yang akan menelan
belanja sebanyak RM 500 juta.
Kebutaan kepimpinan negara akan kewujudan
kemiskinan boleh dilihat dari kritikan-kritikan yang dibuat terhadap Dato' Seri
Anwar Ibrahim yang dituduh memanipulasi kemiskinan rakyat Baling dengan
mengatakan bahawa kemiskinan tidak wujud. Dato' Seri Anwar Ibrahim dituduh
sengaja mengada- ngadakan masalah kemiskinan. Inilah pemikiran kepimpinan
negara yang senantiasa menafikan kewujudan kemiskinan.
Ingin saya nyatakan bahawa kemiskinan makin meluas
dalam negara. Ia bukan sahaja menular di luar bandar tetapi makin merebak di
kawasan-kawasan bandar. Berapa ramai anak-anak peneroka, penoreh getah,
penduduk setinggan, nelayan, petani dan sebagainya tidak lagi bersekolah kerana
terhimpit oleh kemiskinan sedangkan kepimpinan negara sibuk dan bermegah dengan
penerusan projek-projek mega yang menguntungkan segelintir individu yang ada
hubung-kait dengan kepimpinan negara.
Dasar kerajaan Barisan Nasional jelas menjurus ke
arah memiskinkan bangsa Melayu. Rakyat Terengganu yang 95% terdiri dari Bangsa
Melayu dan beragama Islam bukan sahaja dinafikan hak mendapat "royalti
petroleum" tetapi hanya diberi peruntukan Pembangunan Kerajaan Persekutuan
sebanyak Rm 2.4 billion yang kedua terendah selepas Perlis sebanyak RM1.6
billion dalam Rancangan Malaysia Ke-8 ini. Kelantan hanya mendapat RM 2.9
billion berbanding dengan Kedah yang mendapat peruntukan sebanyak RM 5.2
billion, Negeri Sembilan RM 5.2 billion, Johor RM 5.9 billion, Pulau Pinang RM
4.1 billion, Perak RM 4.9 billion, Wilayah Persekutuan RM 9.9 billion, Selangor
RM 7.9 billion dan seterusnya.
Apakah kerajaan BN beranggapan dengan memiskinkan
negeri-negeri Melayu mereka akan dapat meraih semula sokongan orang Melayu
kepada UMNO dan bersyukur kepada kepimpinan tertinggi negara atau sengaja BN
mahu mengenepikan Bangsa Melayu dari menikmati pembangunan negara kerana tidak
menyokong lagi UMNO dan Barisan Nasional pada pilihanraya yang lepas.
Di sini saya ingin menyatakan bahawa cara
pengagihan peruntukan pembangunan dalam RMK-8 adalah tidak adil dan
mengkhianati bangsa Melayu sendiri dan menafikan hak mereka untuk menikmati
arus pembangunan negara. Mungkin anggapan pimpinan negara bahawa orang Melayu
hanya layak menerima wang ehsan dari UMNO sahaja melalui program-program PPRT (
Program Pembangunan Rakyat Termiskin) supaya mereka terus menyokong UMNO
dan segelintir Melayu terpilih akan terus membolot kekayaan negara. Dengan ini
UMNO akan dapat terus berkuasa walaupun bangsa Melayu melarat. Saya cadangkan
peruntukan yang lebih besar diberikan kepada negeri-negeri di Pantai Timur
untuk mengimbangi kemajuan-kemajuan yang dinikmati oleh negeri-negeri di Pantai
Barat.
Kita dapat melihat bagaimana kemunduran masyarakat
Melayu apabila kita melihat kadar penggunaan
internet mengikut negeri pada tahun 2000. Kelantan mencatat terendah
yang hanya 12.5 orang bagi setiap 1000 penduduk, diukuti oleh Sabah 16.6/1000, kemudian Terengganu 17.1/1000,
Pahang 18.0/1000, Kedah 18.1/1000, Sarawak 21.5/1000 dan seterusnya berbanding
dengan Kuala Lumpur/Wilayah Persekutuan 103.9/1000.
Jurang digital antara negeri-negeri Melayu
berbanding dengan Wilayah Persekutuan amat ketara sekali dan perlu dirapatkan.
Kalau tidak masyarakat Melayu terus ketinggalan dalam arena pembangunan semasa.
Sikap berdendam berasaskan politik mesti dihapuskan dan kepentingan rakyat
mesti diutamakan.
Tuan Yang di-Pertua,
Ssebuah institusi kewangan atau bank telah
ditubuhkan untuk membantu bumiputera menceburi industri kecil dan sederhana
iaitu Bank Pembangunan. Asas penubuhan bank ini cukup murni dengan memberi
kemudahan pinjaman kepada pengusaha-pengusaha bumiputera antara RM 50,000
hingga RM5.0 juta untuk memajukan perusahaan mereka.
Bank ini tidak tertakluk di bawah Akta BAFIA yang
mengawasi perjalanan sesebuah bank tetapi di bawah pengawasan terus Menteri
Kewangan. Jadi banyak kelonggaran boleh dilakukan atas kuasa Menteri Kewangan.
Hari ini bank yang pada asalnya ditubuhkan untuk
tujuan yang murni dijadikan sebagai sebuah institusi untuk mengeluarkan pinjaman
tanpa had dan kawalan kepada syarikat-syarikat kroni kepimpinan negara.
Syarikat-syarikat kroni yang tidak mempunyai "credit-worthiness"
dengan izin untuk mendapat pinjaman dari institusi kewangan yang lain telah
menggunakan bank ini untuk mendapatkan pinjaman pada kadar faedah yang cukup
rendah atau tidak dikenakan faedah langsung atau mendapat "deferred
interest payment scheme" dengan izin.
Pinjaman-pinjaman dikeluarkan bukan atas dasar
penilaian "credit-worthiness" tetapi atas arahan pimpinan negara.
Antara pinjaman yang diberikan ialah kepada Time Engineering Bhd sebanyak Rm
860 juta baru- baru ini. Syarikat ini mempunyai rekod tidak berupaya membayar
balik hutangnya sebanyak Rm 500 juta kepada KWSP dan hutang-hutangnya dengan
institusi kewangan yang lain ditakrif sebagai "Non- Performing Loan"
dengan izin. Bagaimana pinjaman yang begitu besar boleh diberikan kepada Time
Engineering Berhad yang mempunyai rekod hutang yang cukup buruk. Lain-lain
pinjaman termasuklah:
Cyberjaya Holding
- RM 900 juta
Klang West
Port
- RM 350 juta
Pelabuhan Tanjung Pelepas
- RM 500
juta
Lebuhraya
Sprint/Litrak
- RM 500
juta
Setiahirawan - RM500 juta
Berjaya Redang
Resort
- RM 30 juta
Saya difahamkan bermula tahun 2000 bank ini akan
mengeluarkan pinjaman sebanyak RM 5 billion setiap tahun untuk membiayai
projek-projek infrastruktur. Kemana hala-tuju Bank Pembangunan sekarang. Apakah
ia masih merupakan bank untuk membantu industri kecil dan sederhana atau
hanya menumpu kepada pembiayaian projek-projek mega yang diberikan kepada
syarikat-syarikat kroni.
Saya minta penjelasan apakah Bank Pembangunan
mempunyai kepakaran untuk membuat penilaian "viability" dan
"feasibility" projek-projek dan syarikat -syarikat yang diberi pinjaman
ini atau mereka hanya mengeluarkan pinjaman atas dasar diarah. Saya sendiri
melihat surat arahan dari Menteri Kewangan kepada Bank Pembangunan supaya
meluluskan pinjaman kepada syarikat Berjaya Redang Resort Sdn. Bhd sebanyak Rm
30.0 juta untuk membiayai pembinaan Lapangan Terbang Langkawi tanpa dikenakan
faedah.
Bagaimana Bank Pembangunan membiayai sumber
kewangan yang dipinjamkan. Berapa keuntungan atau kerugian yang dialami Bank
Pembangunan setakat ini. Apakah Bank Pembangunan akan mengalami nasib
yang sama seperti Bank Bumiputera yang lingkup akibat daripada tunggakan hutang
tidak berbayar yang begitu besar daripada syarikat-syarikat kroni?
Selepas ini institusi bumiputera mana lagi yang akan dilingkupkan. Bukankah ini
perbuatan mengkhianati institusi yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera dan
bukan kroni putera.
Tuan Yang di-Pertua,
Hari ini banyak institusi-institusi yang ditubuhkan
dibawah pengawasan Kementerian Kewangan untuk membantu masyarakat bumiputera
atau negara menghadapi kegawatan ekonomi telah disalahgunakan. Selain dari Bank
Pembangunan, Khazanah Holdings, Danamodal, Danaharta, KWSP, KWAP dan
sebagainya telah digunakan untuk membiayai dan menyelamatkan syarikat-syarikat
yang mana kepimpinan negara mempunyai kepentingan.
Saya bimbang satu demi satu institusi yang
ditubuhkan untuk membantu bumiputera membangun terlingkup akibat dari
penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan kerakusan kepimpinan negara
menggunakan kuasa mereka untuk membiayai dan menyelamatkan syarikat-syarikat
yang mereka mempunyai kepentingan.
Saya pohon ditubuhkan satu Badan Siasatan
Bebas untuk menyiasat kegiatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dalam
menggunakan institusi di bawah pengawasan mereka untuk membantu
kroni-kroni mereka sebelum institusi-institusi ini habis lingkup demi
kepentingan masa depan masyarakat Bumiputera dan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
Tindakan menggabungkan bank-bank dalam negara dalam
menghadapi arus perkembangan ekonomi dunia ke arah globalisasi adalah satu
tindakan yang baik. Usaha-usaha yang baik sebegini walau bagaimanapun dicemari
oleh kepentingan peribadi kepimpinan negara. Akibatnya pelabur tidak yakin
dengan usaha kerajaan untuk membaik pulih industri perbankkan.
Syarikat-syarikat yang mana keluarga dan mereka yang
mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengambil
kesempatan menguasai bank-bank yang digabungkan seperti Kamunting Corporation,
Malaysian Plantation Bhd, Renong, Phileo Allied dan sebagainya. Penggabungan
bank-bank ini tidak lagi dilihat untuk memantapkan industri perbankkan tetapi
untuk menyalur sumber kewangan kepada syarikat-syarikat kroni yang senantiasa
dahagakan hutang.
Kalau tidak dikawal dengan baik, seluruh industri
perbankkan akan runtuh sepertimana yang berlaku di Indonesia dan Russia. Di
masa itu seluruh ekonomi negara akan runtuh. Saya mohon supaya kerajaan menekan
akan kepentingan industri perbankkan untuk menjana pembangunan negara dalam
Rancangan Malaysia ke-8 ini. Pelaksanaan Akta BAFIA mesti diperkukuhkan untuk mengawasi
pinjaman kepada syarikat-syarikat yang ada hubungkait dengan pemilik-pemilik
bank-bank ini. Pinjaman-pinjaman yang berjumlah besar mesti ada ketelusannya
supaya bank-bank tidak dengan sewenang-wenangnya memberi pinjaman dan
kemudiannya menanggung kerugian sepertimana berlaku terhadap Hottick Investment
Incorporation dimana empat buah bank terpaksa menanggong kerugian sebanyak Rm
3.2 billion untuk sebuah syarikat.
Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan mengambil pendekatan untuk menetapkan
kadar pertukaran wang asing pada kadar US $1 bersamaan Rm 3.80 dalam menangani
krisis matawang Asia pada September 1998.
Sudah hampir 3 tahun kerajaan mempertahankan
pendekatan ini dan rakyat diberitahu bahawa ia mendapat pujian dunia dan
terbaik untuk negara. Semenjak kerajaan menetapkan kadar pertukaran tetap nilai
Singapura dollar sudah turun 8.7%, Bath 14.9%, Peso Philippine 18.6% berbanding
dengan nilai ringgit. Akibatnya harga barangan keluaran negara meningkat
berbanding dengan negara-negara jiran dan banyak syarikat asing mengalih
operasi mereka ke negara lain yang mempunyai matawang yang lebih stable dan
murah. Pelabur asing menjual saham mereka untuk melabur di tempat yang lebih
murah dan matawang yang lebih stable.
Baru-baru ini Persekutuan Dewan Perniagaan China
dan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia meminta kerajaan menimbang semula kadar
pertukaran matawang ringgit pada kadar yang lebih mencerminkan kadar pasaran
kewangan semasa. Dianggarkan nilai ringgit sudah "over-value" dengan
izin sehingga 7%. Dengan penurunan pasaran saham sebanyak 16% apakah
kerajaan akan terus mempertahankan kadar pertukaran pada tahap sekarang atau
menerima hakikat bahawa pendekatan yang di ambil selama ini menempuh kegagalan
dan terpaksa menilai semula pendekatan yang telah diambil. Apakah kerajaan akan
mempertahankan sistem yang ada demi menjaga ego atau maruah pemimpin tertentu
yang senantiasa menentang arus perkembangan ekonomi semasa. Saya minta beliau
dinasihati bahawa semua pendekatan yang dilaksanakan selama ini menempuh kegagalan
demi kegagalan dan terimalah hakikat sebenarnya. Kepentingan negara dan rakyat
lebih utama dari maruah atau ego seseorang dari terus enggan menerima kegagalan
peribadi.
Tuan Yang di-Pertua,
Tindakan mengenakan kawalan modal mempunyai
implikasi yang besar terhadap ekonomi negara. Pelabur asing bimbang dengan
pelaksanaan undang-undang yang boleh bertukar bila-bila masa tanpa amaran
menyebabkan mereka pergi ke negara Asia yang lain. Perlu diingatkan bahawa Asia
masih merupakan tempat pelaburan yang menarik. Pada tahun 2000 sahaja pelaburan
asing masuk ke Asia sebanyak US$200 billion bersamaan hampir RM 800 billion,
tetapi 75% daripadanya tertumpu ke negara- negara Asia Utara seperti Korea,
Taiwan dan Cina. Ini kerana negara-negara ini dapat menyesuaikan peraturan dan
tatacara perdagangan mereka mengikut arus perkembangan ekonomi semasa seperti
menerima pakai peraturan Bank Dunia, IMF dan WTO. Terpenting lagi,
syarikat-syarikat di negara ini menerima hakikat untuk menggunapakai cara
konvensyenal dan konservatif dalam meningkatkan effisiensi dan persaingan
mereka dalam ekonomi dunia ke arah globalisasi.
Hasilnya Malaysia ketinggalan jauh dalam menarik
pelabur asing untuk melabur kedalam negara. Malah dalam kalangan negara ASEAN
pun Malaysia bukan lagi menjadi negara pilihan utama pelabur asing. Lebih-lebih
lagi negara mengambil pendekatan anti-Barat dan menganggap mereka sebagi
penjajah kepada ekonomi dan negara. Pada tahun 2000 negara hanya mampu menarik
pelaburan tidak sampai RM 4.0 billion sahaja berbanding Rm 40 billion setiap
tahun sebelum sebelum krisis kewangan Asia melanda pada tahun 1998.
Saya mohon negara membuat perubahan dalam
pendekatan untuk menarik pelabur asing ini. Pelaksanaan undang-undang mestilah
bebas dari pengaruh politik, media mesti diberi kebebasan untuk membuat laporan
berasaskan kebenaran, rasuah mesti dibenteras habis-habisan dan kalau boleh
diisytiharkan perang sama sekali, hak asasi rakyat mesti dihormati,
undang-undang draconian seperti ISA dan Akta Mesin Cetak mesti dihapuskan, penglibatan
kroni dan keluarga pimpinan negara dalam perniagaan mesti dihentikan, kawalan
modal mesti ditarik balik dan negara mestilah lebih "compliance"
dengan izin kepada norma- norma dan tatacara peraturan perdagangan dunia.
Tidak guna mendakwa menjadi jaguh atau wira dunia
ketiga sedangkan dalam negara menzalimi dan menjajah rakyat sendiri. Dunia akan
melihat kita bukan sebagai wira tetapi laksana badot yang sedang beraksi
untuk ditertawakan.
Tuan Yang di-Pertua,
Berkait rapat dengan keperluan modal dalam pasaran
ialah pasaran hartanah. Bank Negara melaporkan hartanah perdagangan dan
perindustrian tidak laku atau tidak terjual berjumlah hampir RM 29 billion.
Dilaporkan juga harga pasaran hartanah akan menurun antara 20- 30% dan ini akan
menyapu bersih segala keuntungan yang mungkin diperolehi oleh pemaju atau
mereka akan mengalami kerugian terus. Lebihan hartanah perdagangan ini boleh
menampung keperluan untuk 10 tahun akan datang. Industri ini yang pada satu
ketika dahulu merupakan penjana kepada pertumbuhan ekonomi negara menjadi
industri yang hampir lumpuh.
Selain dari kesilapan spekulasi oleh pemaju,
pembangunan Putrajaya merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada
kelumpuhan industri ini. Kerajaan pada satu ketika dahulu merupakan penyewa
terbesar ruang pejabat di Kuala Lumpur tetapi sekarang mereka sudah dan akan
berpindah ke Putra Jaya. Akibatnya pembangunan hartanah perdagangan dan
perindustrian di Kuala Lumpur lumpuh dan kerajaan bertanggungjawab kepada
kelumpuhan industri ini di Kuala Lumpur. Dan tidak menghairankan sekiranya
Kuala Lumpur satu hari nanti akan menjadi sebuah bandaraya mati dan berhantu.
Tindakan kerajaan untuk bersaing dalam pembangunan
hartanah melanggar prinsip pasaran itu sendiri dan ini menyebabkan industri
hartanah lumpuh. Saya syorkan supaya untuk sementara waktu kerajaan
menghentikan pembangunan ruang pejabat sendiri dan menggunakan ruang-ruang
pejabat yang sedia ada untuk memulihkan industri ini. Kerajaan tidak perlu
bersaing dalam penyediaan ruang-ruang pejabat dalam keadaan sekarang.
Tuan Yang di Pertua,
Bursa Saham merupakan tempat dimana pelabur dapat
membeli dan menjual saham sebagai pelaburan mengikut keyakinan mereka mendapat
keuntungan daripada keputusan pelaburan yang dibuat. Turun naiknya pasaran
saham bergantung kepada tawar-manawar dalam pasaran samaada untuk menjual atau
membeli saham-saham yang ditawarkan. Kadangkala harga menjunam dan kadangkala
melonjak begitu ketara dalam satu-satu masa.
Kalau kita kaji trend pasaran saham kita dapati
pasaran menjunam pada tahun 1987, 1998
dan 2001. Yang peliknya dalam pemerhatian saya
pada tahun-tahun inilah berlaku penangkapan tahanan politik dibawah ISA.
Apakah ada dikalangan kepimpinan negara yang ‘allergic’ atau menjadi ‘psycho’
apabila melihat pasaran saham menjunam sehingga terpaksa menggunakan Akta ISA
untuk menahan ahli-ahli politik tertentu untuk mengubati penyakit yang mereka
hidapi. Saya harap pemeriksaan dilakukan keatas mana-mana pemimpin yang
berpenyakit ‘allergic’ atau ‘psycho’ supaya rakyat dapat diselamatkan dari
tangkapan ISA dimasa depan apabila pasaran saham menjunam.
Pasaran saham memberi reaksi yang positif apabila
Menteri Kewangan mengambil cuti. Kaunter-kaunter yang ada hubungkait dengan
wakil Gua Musang meningkat dengan positif sekali. Begitu juga dengan
kaunter-kaunter musuh perniagaan Menteri Kewangan seperti Arab-Malaysian dan
Rashid Hussein Berhad.
Harapan saya jangan selepas kembali dari cuti
banyak transaksi-transkasi yang melibatkan kepentingan peribadi atau keluarga
beliau diluluskan dengan alas an bahawa beliau tidak terlibat dalam keputusan
tersebut kerana sedang bercuti. Ini kelaziman yang dilakukan oleh pemerintah
untuk meluluskan transaksi-transaksi yang melibatkan kepentingan peribadi
mereka.
Walaubagaimanapun Indeks komposit BSKL jatuh semula
sebanyak 7 mata setelah selesai Perdana Menteri membentang Rancangan Malaysia
ke-8 di Parlimen Isnin lalu. Ini memberi gambaran tahap keyakinan pelabur
terhadap perancangan dan perencanaan dalam RMK-8
Tuan Yang di Pertua,
Dengan kegawatan ekonomi yang melanda Amerika
Syarikat negara menghadapi masaalah berkembar, iaitu kepincangan mengurus
ekonomi dalaman dan menghadapi kelembapan ekonomi Amerika Syarikat. Untuk
mengatasi masaalah ini negara mengumumkan rancangan rangsangan ekonomi bernilai
Rm 3.0 billion. Ini hanya gimik politik kerana kebanyakan peruntukkan yang
diumumkan adalah penerusan projek-projek mega yang ditanggohkan perlaksanaannya
akibat dari kegawatan ekonomi baru-baru ini.
Hasilnya pelabur tidak yakin dan meninggalkan
negara. Ini boleh dilihat dari reaksi pasaran saham apabila rancangan
rangsangan ekonomi ini diumumkan. BSKL menjunam 31 mata sedang pasaran saham
Singapura naik 2.8% dan Bangkok 1.7% pada hari yang sama.
Tuan Yang diPertua,
Salah satu sebab susutan rizab luar negara
akhir-akhir ini ialah pengeluaran modal oleh syarikat-syarikat tempatan unutk
melabur diluar negara. Apakah syarikat-syarikat tempatan mula mengikuti jejak
syarikat asing untuk melabur di luar Malaysia. Apakah mereka juga tidak yakin
dengan perancangan dan perencanaan ekonomi negara. Apa tindakan kerajaan untuk
memastikan mereka memberi keutamaan melabur dalam negara demi membantu kerajaan
memulihkan ekonomi.
Kalau syarikat tempatan pun tidak yakin dengan
iklim pelaburan dalam negara bagaimana kita dapat meyakinkan pelabur asing
melabur dalam negara.
Tuan Yang di-Pertua,
Sejarah merupakan khazanah tidak ternilai yang
perlu dijaga dan disimpan dengan baik untuk dikaji dan dinilai oleh generasi
akan datang. Penentuan siapa hero dan siapa penjahat bukan ditentukan oleh
pembuat sejarah tetapi oleh pengkaji dan penilai sejarah kemudian harinya.
Berapa ramai dikalangan mereka yang pada satu
ketika dianggap sebagai pengkhianat oleh pemerintah tetapi dimuliakan sebagai
hero kemudiannya oleh masyarakat mereka seperti Benigno Aquino, Ayatullah
Khomeini, Omar Mokhtar, Datuk Maharaja Lela, Hassan Al- Banna dan ramai lagi.
Berapa ramai pula pemimpin-pemimpin yang mahu
dianggap sebagai hero, pembina bangsa dan negara tetapi akhirnya dianggap
sebagai pengkhianat, penjahat, penghancur bangsa, agama dan negara, penjajah
bangsa sendiri dan dihina oleh masyarakat mereka seperti Presiden Marcos,
Suharto, Slobodan Milosevic, Fujimoro, Stalin, Adolf Hitler dan seterusnya.
Tindakan beberapa institusi akhir-akhir ini untuk
memadamkan sumbangan orang-orang tertentu mestilah dikutuk dan dihentikan
sepertimana yang dilakukan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh yang mengubah gambar
bekas Timbalan Perdana Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri yang baru dalam
satu majlis yang dihadiri oleh bekas Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga
dengan Universiti Islam Antarabangsa yang menidakkan dan memperkecilkan
sumbangan Presiden Pertamanya dan membesarkan sumbangan orang lain yang tidak
berkaitan secara langsung dengannya amat memalukan kepada sejarah itu sendiri.
Saya difahamkan banyak tape-tape yang tersimpan di Arkib RTM dan negara yang
melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri dihapuskan supaya sejarah tidak dapat
menilai lagi sumbangan beliau kepada negara.
Tindakan sebegini merupakan tindakan bacul dan
dayus oleh mereka yang ingin diagungkan sebagai hero oleh bangsa dan negara
tetapi terlupa yang akan menentukannya bukan terletak pada kuasa tetapi oleh
rakyat yang tahu menilainya sejarah itu sendiri.
Tuan Yang di-Pertua,
Media merupakan alat penting untuk membina minda
rakyat dalam menghadapi realiti globalisasi. Hampir seluruh dunia mengambil
pendekatan menberi kebebasan kepada penyebaran maklumat terkini dan tepat
kepada masyarakat mereka.
Kekuatan sesebuah masyarakat akan dinilai dari
keupayaan mereka menguasai maklumat terkini dan dari maklumat ini mereka
membuat keputusan dengan lebih tepat dan berkesan.
Hampir seluruh dunia mengambil pendekatan membuka
ruang kebebasan kepada penyaluran maklumat melalui media-media tetapi seperti
biasa negara kita mengambil arus yang bertentangan dengan perkembangan semasa.
Akibatnya minda rakyat senantiasa terkongkong dan
beku dan tidak berupaya menjadi sebuah masyarakat yang kreatif. Bukan sahaja
media dikongkong tetapi diperalat untuk memperbodohkan rakyat . Segala
kenyataan kepimpinan negara walaupun tidak benar dan palsu terus disiarkan
walaupun ternyata pemimpin- pemimpin tertentu terkenal dengan pembohongan
beliau.
Pada 19 April 2001 Perdana Menteri menyatakan
bahawa hutang kerajaan, sektor awam dan swasta hanya berjumlah RM 100 billion
sedangkan pada 12/12/2000 Timbalan Menteri Kewangan semasa menjawab soalan
lisan YB Kota Bharu menyatakan bahawa hutang sektor swasta dan awam sehingga
September 2000 berjumlah RM 782.6 billion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM
123.7 billion. Jadi jumlah semua hutang sektor swasta dan awam serta Kerajaan
Persekutuan ialah Rm 906.3 billion. Pada sesi parlimen kali ini Timbalan
Menteri Kewangan menyatakan hutang kerajaan sudah meningkat menjadi Rm 165.0
billion peningkatan sebanyak Rm 41.0 billion atau 33% dalam masa 5 bulan
membuktikan bahawa hutang sektor swasta dan awam serta Kerajaan Persekutuan
sudah atau melampaui RM 1.0 trillion.
Jadi, saya nak tanya, siapa yang berbohong Perdana
Menteri atau Timbalan Menteri Kewangan. Daripada rekod saya lebih percaya
kepada fakta yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dari Perdana
Menteri yang terlalu banyak kali berbohong. Siapa yang berperanan
memperbodohkan rakyat, media yang menyiarkan kenyataan Perdana Menteri atau
rakyat berhak mendapat maklumat sebenar supaya lebih bersedia menghadapi segala
kemungkinan ekoran dari keadaan negara yang dilanda hutang yang begitu besar.
Saya minta supaya media perdana lebih
bertanggongjawab dalam melaporkan berita-berita berasaskan kepada kebenaran
daripada melaporkan berita-berita palsu walaupun yang dinyatakan oleh
kepimpinan tertinggi negara sendiri. Media mestilah membuat penilaian dan
analisa sesuatu "event" secara objektif dan tidak tertakhluk kepada
apa yang dikehendaki kerajaan sahaja.
Saya cadangkan satu Majlis Media ditubuhkan
untuk memantau berita-berita media yang disiarkan mempunyai kredibiliti untuk
membina sebuah masyarakat yang bermaklumat bersesuaian dengan era revolusi
maklumat yang kita harungi sekarang.
Tindakan meminda undang-undang untuk terus
mengongkong media amat dikesali dan merupakan satu tindakan yang tidak
demokratik dan bertentangan dengan arus perkembangan dunia semasa ke arah era
revolusi maklumat.
Tuan Yang di Pertua,
Saya akhir perbahasan saya dengan memetik sebuah
hadith yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud :
" Kamu tidak akan dapat memuaskan
orang-orang dengan pemberian harta, kekayaan, tetapi mereka dapat
dipuaskan dengan wajah-wajahmu yang berseri-seri dan akhlakmu yang baik. "
Sekian. Terima Kasih.
YB Abd Rahman bin Yusof
mpkemaman@hotmail.com