Sdra-sdra. webmaster,

Saya mengikuti perkembangan Laman sdra dan laman-laman reformasi yang lain sejak dari awal tercetusnya gerakan reformasi. Malah ketika wujud kesangsian tentang kesahihan berita yang dipaparkan saya sering mempertahankan laman-laman reformasi.

Namun, kenyataan bersama yang baru dipaparkan tentang Rayuan Pilihanraya Suqui (disebut Suchiu) di laman saudara saya lihat sebagai suatu tindakan yang mungkin akan merugikan serta menjejaskan untuk tempoh jangkapanjang Gerakan Reformasi di Malaysia.

Memang benar isu Rayuan Pilihanraya Suqiu (dikatakan Tuntutan Suqui) yang sedang digembar-gemburkan adalah suatu episod sandiwara dan pengeliruan yang sedang cuba dimainkan oleh Dr. Mahathir untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap kepimpinan beliau.

Ianya juga suatu kempen awal persediaan untuk melaksanakan gerakan Operasi Lalang 2 untuk menangkap pimpinan-pimpinan politik, NGO malahan aktivis-aktivis reformasi atas alasan mengancam keselamatan negara. Jangan kita tertipu buat kesekian kalinya dengan sandiwara semasa Mahathir yang semakin memualkan. Isu Rayuan Pilihanraya Suqiu harus dilihat dengan suatu sikap keterbukaan dalam menjana tuntutan perubahan yang menyeluruh di kalangan rakyat.

Saya sudah membaca 17 isi utama Rayuan Suqiu tersebut secara terperinci dan juga membincangkan isu tuntutan tersebut yang dipecahkan kepada 83 perkara bersama teman-teman dari masyarakat Tionghua untuk mendapatkan penjelasan dan juga untuk menyuarakan pandangan saya.

Jika diamati dan diteliti kandungan tuntutan tersebut, nyata kebanyakan tajuk tuntutan tersebut ada menyamai tuntutan reformasi sebagaimana yang kita sering perjuangkan, seperti soal ketelusan, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan harta rakyat, pengundian, keadilan, kebebasan badan kehakiman, hak rakyat di bawah perlembagaan, tuntutan penyediaan kediaman yang selesa kepada setiap rakyat, perjuangan hak wanita, kebebasan beragama dan banyak lagi.

Boleh dikatakan hampir 90% isi tuntutan tersebut adalah tuntutan perubahan yang memang kita perjuangkan.

Walaubagaimanapun, ada juga terdapat sedikit tajuk tuntutan yang menyentuh tentang hak dan keistimewaan masyarakat Bumiputera, dan inilah yang sedang digambarkan oleh Mahathir sebagai isu utama tuntutan mereka. (sila rujuk tuntutan 1.3, 5.4, 5.5, 7.11, 7.16 dan beberapa kepala tuntutan yang berkaitan).

Saya mengharapkan agar pihak saudara jangan turut terperangkap dengan kerangka politik perkauman yang sudah menjadi sebagai suatu budaya yang mewarnai politik dan cara hidup masyarakat kita sejak merdeka. Jangan ketepikan terus segala Rayuan Pilihanraya Suqiu tersebut kerana satu dua isu yang kita kurang senangi.

Yang baik harus kita dokong bersama dan yang kurang kita senangi harus kita bincangkan semula. jangan buat kenyataan umum kepada pendokong reformasi lain yang boleh mengelirukan dari hakikat kejadian yang sebenar.

Jangan dengan secara tidak sengaja kita sekongkolkan diri dengan mahathir dan talibarutnya, lantas mengukuhkan agenda Mahathir untuk terus menindas rakyat. Jangan terperangkap dengan agenda politik Mahathir yang cuba untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat melayu kepada beliau.

Biarlah Lunas menjadi titik segalanya bermula ke arah malaysia yang lebih makmur... Ke arah Masyarakat Madani sebagaimana yang diidamkan oleh saudara Anwar yang kini terlantar kesakitan akibat perjuangan yang perit untuk kita semua.

Wallahua'lam REFORMASI!!!!!

reformistulen98