RAKYAT TIDAK MUDAH  DIKELIRUKAN LAGI

Semangat kebangkitan rakyat terus dikelirukan dengan pelbagai propaganda murahan pimpinan negara,
bermula dari PM sehinggalah masuk ke Dewan Parlimen dan di mana-manapun. Ucapan pimpinan politik
kerajaan yang berterusan mengelirukan rakyat telah menyebabkan krediabiliti parti memerintah yang
diterajui oleh UMNO dan BN sudah sampai ke tahap tidak dipercayai oleh rakyat sekaligus gagal
menggugat semangat kebangkitan mereka. Rakyat telah tampak begitu arif dan tidak terkeliru dengan
segala dakyah dan propaganda yang dilakonkan oleh mereka.

Di antara bukti jelas propaganda mereka tidak diterima bulat-bulat oleh rakyat apabila segala isu yang
ditimbulkan telah terlebih dahulu dianalisa dan diperbahaskan dengan penuh minat dan tumpuan
sehinggakan akhirnya mereka mampu menilai dan menolak segala isu yang berbau politik murahan yang
diketengahkan.

Sebagai buktinya, di antara isu yang cuba ditimbulkan dan diharap memberikan kredit kepada UMNO/BN
dari aspek meraih sokongan dan simpati rakyat ialah isu Al-Maunah, Penculikan di Sipadan dan Jolo,
Wang Ehsan, Perempuan dan gejala sosial, Kes Rogol dan pembunuhan, Kem Jubah Hitam,  Hukuman
Murtad dan terakhir Isu Memburukkan Negara dan Pimpinannya. Kesemuanya isu yang berlaku secara
muslihatnya cuba dikaitkan dengan lawan politik mereka dari Barisan Alternatif. Berikut adalah gambaran
sepintas lalu hasil dari penganalisaan yang dibuat berkaitan dengan isu-isu tersebut dan 'releven'nya
dikaitkan dengan lawan politik mereka;

1. Kes Al-Maunah - Isu ini cuba dikaitkan dengan PAS khususnya untuk menakut-nakutkan rakyat kepada
perjuangan PAS yang semakin diterima oleh Rakyat.

2. Kes Penculikan di Sipadan/Jolo - Isu ini cuba dikaitkan dengan BA kununnya ada pihak dari kalangan
mereka menjalinkan hubungan dengan kumpulan Abu Sayyaf dalam usaha membebaskan Anwar
Ibrahim.

3. Wang Ehsan - Isu ini cuba diputarbelitkan dengan memberi gambaran bahawa Kerajaan PAS
Terengganu tidak mahu membantu 'usaha murni' Kerajaan Pusat untuk tujuan pembangunandan bantuan
kepada rakyat miskin dengan Wang Ehsan yang dahulunya adalah Royaliti.

4. Perempuan dan Gejala Sosial - Isu ini dieksploitasi dari kandungan ceramah T.G.Nik Aziz dengan
memberi tanggapan bahawa T.Guru menuduh Perempuan sebagai punca gejala sosial berlaku. Maka
diwar-warkanlah ke seluruh media propaganda kerajaan untuk menjatuhkan krediabiliti T.Guru sebagai
MB dan Ulama.

5. Kes Rogol dan Pembunuhan - Isu rentetan peristiwa ngeri yang berlaku di Klang ke atas Jurutera
Komputer telah dieksploitasikan dengan memberi gambaran dan tanggapan bahawa bukan persoalan
jenis pakaian wanita (menutup aurat) yang menyebabkan berlakunya kes rogol dan pencabulan terhadap
wanita. Ini adalah sebagai membalas hujjah T.Guru  bahawa wanita yang buruk akhlak dan tidak
berpakaian menutup auratlah sebagai punca gejala salahlaku seks.

6. Kem Jubah Hitam - Isu ini juga cuba dikaitkan dengan PAS dan ahlinya (berjubah dan menutup aurat)
kununnya wujudnya usaha secara militan untuk menjatuhkan kerajaan. Namun perkara itu telah dinafikan
oleh pihak keselamatan.

7. Hukum Murtad - Melalui suatu seminar di IKIM dengan dihadiri bersama oleh Timbalan Perdana
Menteri Kerajaan Arab Saudi dan intelek Islam yang lain, PM dengan semberononya mengatakan bahawa
belum ada Fatwa yang jelas tentang hukuman ke atas kesalahan Murtad kerana ia masih di peringkat
perbahasan. Langkah ini dipercayai adalah usaha pemulihan imej PM di kalangan intelek Islam dengan
memberi gambaran bahawa Kerajaan Pimpinanya bukanlah menolak Undang-undang Islam seperti yang
'dituduh' oleh pembangkang.

8. Memburukan Negara dan Pimpinannya - Isu yang timbul dari laporan New Straits Times Singapura
dengan dakwaan  bahawa Anwar dan kuncu-kuncunya dari kalangan rakyat Malaysia dan pihak luar telah
bekerjasama dalam usaha memberi gambaran dan tuduhan buruk terhadap Negara Malaysia dan
Pimpinannya. Sdr. Ezam Ketua Pemuda KeADILan dan 'kuncu-kuncunya' secara langsung dituduh, namun
keberanian Ezam dangan cabarannya kepada Menteri Luar Syed Hamid Albar dan PM untuk
mendakwanya di Mahkamah Malaysia atau antarabangsa dalam isu berkaitan telah menghangatkan lagi
perang psikologi antara pimpinan UMNO/BN dan BA.

Maka, apakah kesimpulan daripada rentetan beberapa isu dan propaganda tersebut?? Kita yakin rakyat
telah membuat satu kesimpulan yang memberi natijah ngeri kepada kerajaan pimpinan UMNO/BN.
Dengan ertikata mereka semakin faham dan mengerti langkah tari politik murahan pimpinan UMNO
dalam meraih sokongan dan simpati rakyat. Segala isu yang sedang dan akan disogokkan sudah tentu
semakin mematangkan lagi pemikiran rakyat sekaligus membantu ke arah Reformasi secara total dalam
sistem Politik, Sosial dan Pemerintahan Negara.

Yakinlah! Bahawa Kebenaran Itu Pasti Muncul manakala Kebatilan Akan Hancur Lebur.....Tetapi dengan
syarat usaha dan sokongan padu rakyat yang cintakan kebenaran dan keadilan berterusan dan
bersemarak laksana api membakar daun-daun kering.

Takbir, Allahuakbar.

Izzrail A.S
30.10.2000