KENYATAAN AKHBAR : 9-1-01

PERKAUMAN HARUS DITENTANG, PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA AGENDA UTAMA

Setiap kali Umno merasakan dirinya kuat, maka parti-parti pembangkang menjadi sasaran tohmahan dan cacian daripada parti yang berasaskan perkauman itu. Apabila Umno dilanda masalah, ia mula mencari jalan keluar dengan cara mengubah pandangan rakyat kepada perkara-perkara kecil dan remeh yang cuba diperbesar-besarkan oleh media yang dikuasai pemerintah. Ini jelas bila dilihat semula pada akhir tahun 1980an di mana Umno diharamkan dan lahir Semangat 46. Pada masa itu, Umno (setelah dipulihkan semula untuk memberi tempat kepada Dr Mahathir Mohamad dan kroni-kroni beliau pada masa itu) beria-ia memujuk Semangat 46 duduk berbincang soal perpaduan Melayu. Apabila Semangat 46 kecundang dalam pilihanraya umum 1990 dan semakin terhakis pengaruh sepanjang 1991-95, Umno menghentam parti saingan Melayu itu habis-habisan.

Kini setelah kalah di banyak tempat dalam pilihanraya umum 1999 dan akhir sekali di pilihanraya kecil Lunas, Kedah, Dr Mahathir sekali lagi cuba bermain isu perpaduan Melayu. Sebagai pemimpin yang mencadangkan Wawasan 2020 untuk melahirkan Bangsa Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM) kesal dengan mainan perkauman Dr Mahathir.

Ini bukan kali pertama Perdana Menteri menggunakan isu perkauman untuk memenangi semula sokongan orang Melayu yang semakin terhakis. Taktik seperti ini, walaupun boleh menakutkan orang Melayu untuk kembali kepada Umno, sebenarnya menjunam ke arah perpecahan kaum dan agama di Malaysia. Tidakkah pemimpin Umno sedar bahawa perkauman menjadi "hantu" kepada usaha tulen mewujudkan masyarakat yang "berdiri sama tinggi duduk sama rendah" di kalangan semua kaum, agama dan budaya di Malaysia?

Tidakkah pemimpin Barisan Nasional sedar bahawa perkauman tidak akan menjadi penyelesaian untuk masa depan Malaysia yang lebih gemilang? PSM sedar ada parti-parti pembangkang yang masih trikut-ikut rentak perkauman. Namun, kenyataan-kenyataan terbuka para pemimpin Barisan Alternatif (BA) akhir-akhir ini, membayangkan kesediaan untuk mengubah sikap ke arah masyarakat yang lebih terbuka, liberal dan progresif.

Walaupun PSM tidak bersama dalam gabungan BA, kami ingin mengucapkan tahniah dan salam perjuangan kepada pemimpin dan khususnya penyokong-penyokong BA yang sudah terbuka hati dan minda kepada konsep masyarakat berbilang kaum yang tidak perlu lagi untuk syak wasangka sesama sendiri.

PSM ingin mengingatkan semua pihak bahawa selama ini, dengan menggunakan isu-isu perkauman dan keagamaan yang sempit, kerajaan BN berjaya menutup mata hati rakyat terhadap penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah yang berleluasa di depan kita. Kini jika pemimpin dan ahli serta penyokong BA, dan juga golongan atas pagar mula sedar bahawa musuh utama kita ialah golongan korporat kapitalis yang merampas duit cukai dan harta rakyat, maka tidak lamalah usia pemerintahan BN di Malaysia. PSM berharap pimpinan BA akan lebih terbuka dan sanggup mengamalkan ketelusan dalam proses membuat keputusan dan melaksanakan keputusan supaya dapat membezakan perjuangan mereka dengan kerajaan yang ada sekarang.

Hanya dengan keterbukaan begini, rakyat tidak perlu lagi dibohongi oleh korporat kapitalis yang selama ini berselindung di sebalik isu kaum. Sama ada korporat kapitalis itu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau apa kaum sekali pun, malah apa agama sekali pun, matlamat mereka hanya satu - mendapatkan seberapa banyak keuntungan yang boleh. Sebab itulah kita lihat pekerja tidak pernah cukup gaji, kakitangan awam terpaksa membuat dua kerja, perbelanjaan harian meningkat kerana harga barang naik berkali ganda dari pendapatan.

Jika kita semua dapat memfokuskan matlamat kita, pastinya rakyat Malaysia tidak akan tertipu lagi oleh dakyah-dakyah perkauman. Kononnya mahu tolong kaum tetapi kenapa hanya segelintir sahaja yang kaya-raya, sama ada kapitalis Cina, Melayu, India dan kaum-kaum lain.

Dengan ini PSM sekali lagi mengharapkan pimpinan BA supaya berbincang secara terbuka dengan mana-mana parti, termasuk Barisan Nasional, dalam konteks perpaduan kaum dan perjuangan golongan miskin dan tertindas. Selagi kekayaan dan kekuasaan negara dirangkul oleh segelintir manusia - atas apa kaum atau agama pun - maka rakyat yang banyak akan terus menderita.

PSM tetap berjuang untuk rakyat tertindas, terutama golongan pekerja yang jarang mendapat pembelaan kerajaan. Kami harap BA juga melaksanakan cita-cita mereka ke arah masyarakat yang adil dan saksama, tanpa mengira kaum dan agama.

Kenyataan dikeluarkan Oleh :

Dr. Mohd Nasir Hashim Pengerusi, Parti Sosialis Malaysia