Oleh Pena Suasa

 

Ada yang takut bila reformasi masih kuat

 

ALHAMDULILAH. Nyata penyokong dan pendokong pro reformasi masih kuat, hangat dan menakutkan beberapa pihak.

Seperti kata Ketua Polis Selangor, 2 Ogos lalu bahawa semua pintu masuk ke Kuala Lumpur akan dikawal membuktikan kumpulan pro reformasi memang masih hangat dan hebat, walaupun media massa pro pemerintah mengatakan sebaliknya.

Maka, berhempas pulaslah wartawan pengampu ini ke sana ke mari mencari ketua polis beberapa negeri meminta komen supaya mereka semua “mengatakan jangan hadir” di perhimpunan 4 Ogos ini.

Bukan main risau media massa kebangsaan. Mereka khuatir kalau-kalau terlalu besar bilangan yang berhimpun, sekaligus membuktikan media massa sudah tida berkesan. Maknanya dalam media massa pro kerajaan menyarankan supaya rakyat tidak berhimpun, mereka masih berhimpun, bermakna saranan media massa kebangsaan tidak memberikan kesan.

Apa gunanya media massa jika gagal menjadi alat propaganda pemerintah? Tunggulah sedikit waktu lagi, akan ada ketua pengarang yang akan dipecat, mengulangi nasib yang pernah menimpa Johan Jaafar, Nazri Abdullah dan Kadir Jasin kerana tidak sanggup menjadi alat Dr. Mahathir.

Marilah, semua penyokong, pendokong dan simpatisan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seorang tokoh Melayu yang boleh diterima pelbagai bangsa berhimpun pada 4 September 2000 dengan aman dan sebagai lambang penentangan terhadap kezaliman.

Biarlah penulis-penulis dongoi menulis di media massa yang sudah semakin merosot jumlah jualannya mengatakan menghadiri perhimpunan 4 Ogos kelak sebagai membuang masa, tetapi hakikatnya, perjuangan menentang kezaliman bukan tugas mana-mana orang kecuali kita sendiri, jika kita masih sayangkan agama, bangsa dan negara kita.

Usah terbabit dengan pergaduhan, usah menjerit dan membuat suara-suara yang boleh menyebabkan kucar-kacir sebaliknya, berhimpun dan menunjukkan semangat kita semua masih bersama-sama manusia yang cintakan keadilan, keamanan dan perdamaian.

Dr. Mahathir Mohamad tentunya sudah mengarahkan polis, askar dan pihak-pihak tertentu melakukan sesuatu demi menggagalkan usaha ini kerana dia tidak sanggup malu. Dia tahu, dunia luar sedang memerhatikannya. Cerita mengenai keadilan dan kehakiman yang tercemar di Malaysia sudah menjadi bahan perbincangan orang-orang luar. Cuma, rakyat Malaysia sahaja yang masih ditakut-takutkan supaya jangan bercakap soal keadilan kerana Malaysia sekarang sudah aman damai dan sesiapa sahaja boleh hidup tanpa sebarang masalah.

Dalam keamanan ini, mereka biarkan Ali Abul Hassan mengambil wang yang disangsikan sumbernya berjumlah RM100,000 ketika menjadi Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Disebabkan rakyat tidak keluar berdemontrasilah maka mereka biarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industeri, Dato’ Seri Rafidah Aziz memberikan saham kepaa syarikat menantunya.

Disebabkan rakyat tidak berani bercakap soal keadilanlah mereka terus membiarkan Tan Sri Eric Chia bebas walaupun berbillion wang Perwaja dilesapkan.

Dan banyak lagi yang tidak perlu disebutkan semuanya kerana ia tentunya ada di dalam benak kita semua, rakyat yang cinta dan rindukan sebuah kerajaan yang bersih dari segala penyelewengan, rasuah dan kronisme/nepotisme.

Dua orang anggota polis berpangkat lans koperal yang tersilap dan cuai kerana menyebabkan kereta peronda polis dan sepucuk mesin gun dilarikan perompak digantung kerja serta merta tetapi, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tidak dapat dikesan cuba membunuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun Dato’ Mohd Zin Ibrahim sudah mengetuai kumpulan penyiasatan.

Kini, kumpulan Al-Ma’unah pula menjadi sasaran walaupun tuduhan terhadap mereka masih belum dimulakan. Adilkah mereka (anggota 27 orang) yang ditahan di Bukit Jenalek digelar penjenayah sedangkan mereka belum tentu boleh disabitkan bersalah kerana pendakwaan belum dimulakan. Benarkah mereka ahli kumpulan Al-Ma’unah? Atau ada pihak yang cuba merosakkan nama kumpulan ini tanpa memberi peluang mereka mempertahankannya.

Kerja merosakkan nama kumpulan ini diusahakan oleh akhbar pro kerajaan yang merupakan alat pihak yang mahu menghapuskan perkataan Islam pada PAS.

 

2hb. Ogos 2000