Pengarang Utusan Malaysia
Kuala Lumpur

Saudara,

TAHANAN DI BAWAH ISA

Saya ingin merujuk kepada tulisan oleh Abdullah Ahmad bertajuk “Antara kenyataan dan impian hak asasi”, yang tersiar dalam Mingguan Malaysia pada 22hb April 2001. Benarkan saya mengulas sedikit oleh kerana tulisan itu menyentuh diri saya dan juga sikap saya terhadap ISA.

Saya tidak akan mengulangi di sini bagaimana saya berkali-kali telah menolak tawaran untuk bebas dengan bersyarat dan apakah suasana peristiwa pembebasan saya selepas ditahan hampir enam tahun. Sebabnya, semua perkara ini telah saya ceritakan dengan panjang lebar dalam buku saya “Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara”.

Saya tidak hendak berkata apa-apa selain daripada menghormati kebebasan Abdullah untuk menjulang diri sendiri serta Kassim Ahmad sebagai “antara tapol (tahanan politik) yang tidak berganjak bagi menegak prinsip: Kami tidak bersalah, kami dianiayai”. Adakah Abdullah menegak prinsip hanya apabila batang hidung sendiri terkena? Tidak bagi orang lain?

Dalam tulisannya itu, Abdullah menegaskan persamaan pandangannya dengan Kassim KINI terhadap ISA. Mengikut Abdullah kononnya Kassim “menjadi idola Dr Syed Husin Ali dan kawan-kawannya”. Saya memang menghormati perjuangan Kassim DULU, dan dari dulu lagi saya tidak pernah bersetuju dengan beberapa pendirian politik Abdullah. Tetapi, maaflah, saya tidak pernah menganggap Kassim sebagai idola sama seperti saya tidak pernah memandang Abdullah sebagai musuh.

Mengikut Abdullah, persamaan beliau dengan Kassim ialah mereka “menentang hebat penyalahgunaan ISA yang diperalatkan untuk mengekalkan kuasa peribadi”. Dalam sejarahnya, ISA sentiasa diperalatkan oleh pemimpin dan parti pemerintah tertentu untuk mengekalkan kuasa. Kita melihat gejala ini dalam penangkapan terbaru lapan orang pemimpin keADILan serta aktivis reformasi. Mengapa pula Abdullah, seperti Kassim menyokong dan tidak menentang penggunaan ISA kali ini?

Abdullah mendakwa beliau dan Kassim “dianiayai kerana kegilaan kuasa politik segolongan pelampau UMNO yang berkuasa waktu itu”. Saya setuju. Tetapi tidakkah beliau melihat korban ISA yang terbaru sudah dianiayai kerana kegilaan kuasa politik segolongan, bahkan lebih tepat seorang, yang menguasai pemerintahan sekarang? Secara agak naif Abdullah bertanya, “bagaimana kami bisa mengancam negara sedangkan tiada demonstrasi jalanan ketika itu, apalagi sokongan dari luar?”.

Abdullah tentu tidak lupa bahawa apabila beliau ditahan dalam bulan Julai 1976 bersama Kassim, Samad Ismail serta Abdullah Majid, mereka dituduh sebagai pro-komunis dan secara tidak langsung sebagai agen komunis juga. Mereka didakwa mengancam keselamatan negara. Abdullah tahu bahawa dakwaan ini palsu.

Abdullah tahu bahawa pengakuan yang dibuatnya melalui televisyen beberapa hari selepas ditahan adalah berdasarkan draf yang disediakan oleh pihak SB, setelah beberapa draf yang ditaipnya sendiri kena tolak. Pengakuan inilah yang akhirnya menjadi pertuduhan terhadapnya dan menjadi asas beliau dikenakan perintah tahanan dua tahun. Kemudian, apabila beliau menarik balik pengakuan itu kerana katanya ia dibuat dengan paksaan dan atas janji akan segera dibebaskan, tahanannya ditambah dua tahun lagi. Kali ini beliau dituduh degil.

Di sini terletak ketidakadilan ISA itu. Tuduhan palsu boleh dibuat ke atas tahanan. Pihak SB perlu dibuktikan benar. Tahanan dianiayai dengan berbagai-bagai cara (sedikit daripadanya telah disebut dalam artikel Abdullah), sehingga mereka mengakui tuduhan SB itu sebagai benar. Ada yang terus ditahan selepas mengaku (seperti Abdullah), dan ada yang tidak. Tetapi kebanyakan tahanan sedia ditahan bertahun-tahun daripada mengakui tuduhan yang palsu. Itu sebabnya ramai yang ditahan lebih daripada sepuluh tahun sehingga 15 tahun lamanya.

Lapan orang yang ditahan baru-baru ini (sekarang sembilan kerana Lokman Adam telah ditangkap tengah malam tadi), dituduh mahu mengadakan demonstrasi jalanan setiap hari untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka juga dituduh mahu menggunakan bom, mortar, “Molotov cocktail” dan macam-macam jenis senjata api yang lain.

Ezam Mohd Noor telah membuat laporan polis terhadap Utusan kerana menuduh beliau hendak menjatuhkan kerajaan, tetapi sehingga kini pihak polis tidak diketahui telah membuat siasatan. KPN Norian Mai menyatakan beliau mempunyai maklumat tentang rancangan gerakan reformasi secara umum, bukannya yang ditahan secara khusus, hendak menggunakan senjata api. Apabila diminta mengemukakan maklumat itu, pihak polis mengatakan semuanya sulit. Jikalau tidak ada maklumat secara khusus terhadap yang telah ditahan, mengapakah mereka tidak dibebaskan?

Sekiranya pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mempunyai bukti, mengapakah mereka tidak menggunakan berbagai-bagai akta yang ada, seperti Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Senjata Api, akta yang berkaitan dengan penderhakaan dan sebagainya untuk mendakwa para tahanan ini dalam mahkamah? Mengapa mereka menggunakan ISA? Kerana tidak perlu mengemukakan bukti dan tidak perlu ke mahkamah?

Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa jikalau undang-undang lain digunakan, maka proses serta bukti yang perlu dikemukakan adalah rumit. Jadi, jalan yang paling mudah ialah dengan menggunakan ISA. Adakah orang seperti Abdullah, dan siapa saja yang disokongnya, menganggap ISA serta salah guna ISA sudah berubah? Mengapakah mereka berubah pendirian sekarang? Adakah kerana lebih tinggi pangkat dan banyak saham yang telah diperolehi daripada yang berkuasa dalam pemerintahan?

Sesiapa saja yang mengaku berpegang kepada ajaran Islam tentu mengetahui bahawa Islam menganggap hukuman atau tahanan tanpa bicara dan tanpa bukti itu adalah salah. Quran mengajar bahawa apabila kita menghakimi maka hendaklah dengan adil. Saya percaya ini juga ajaran semua agama lain. Bagi mereka sepatutnya ini lebih penting daripada Perisytiharan Hak Asasi Sedunia. Pucuk pimpinan pemerintah pernah berjanji akan mengulang kaji ISA. Tetapi apa sudah jadi? Bukan saja tidak dikaji semula bahkan mahu digunakan secara meluas lagi pula. Abdullah cuba menimbulkan syak terhadap pemimpin keADILan serta aktivis reformasi yang ditahan itu dengan mengecap mereka sebagai “wira-wira kuasa asing”. Tuduhan ini memang sudah lama dibuat oleh pucuk pimpinan pemerintah. Abdullah menyuarakan tuduhan ini pula. Apakah bukti yang ada padanya? Atau adakah beliau semata-mata mahu melanjutkan tuduhan politik yang palsu? Adakah beliau mahu mengulangi amalan pemimpin UMNO yang menyebarkan tuduhan palsu untuk menahan beliau dulu?

Sebenarnya dalam hal ini kedudukan Abdullah tidak begitu teguh. Dapatkah Abdullah memberitahu sekiranya ada di antara tahanan ataupun penyokong reformasi yang ditahan sekarang pernah membantu kempen presiden Amerika, yang sangat zalim terhadap rakyat Vietnam? Atau adakah sesiapa yang pernah bekerja dengan Voice of America yang menjadi alat CIA itu. Cuba Abdullah cermin diri sendiri.

Walaupun ramai orang mengetahui Abdullah pernah melakukan kedua-dua ini semasa beliau di Amerika Syarikat dulu, namun tidak siapapun berhak untuk menuduh beliau menjadi alat imperialis Amerika Syarikat. Begitu juga tiada siapa berhak menuduh beliau menjadi agen komunis, semata-mata kerana seorang Menteri Dalam Negeri yang gila kuasa telah menuduh beliau begitu.

Saya sendiri sampai sekarang menganggap penahanan Abdullah tidak adil dan segala tuduhan terhadap beliau itu palsu, kerana buktinya tidak pernah dikemukakan. Begitu jugalah dengan tahanan yang terbaru. Mengapakah Abdullah menggunakan “double standard”?

Dr Syed Husin Ali Presiden PRM

24hb April 2001