Ulasan ringkas terhadap RRJP3

Soalan yang sering ditanya tentang rancangan pembangunan secara umum dan RRJP3 secara khusus ialah: rancangan untuk apa dan untuk siapa?

Antara lain, RRJP3 bertujuan untuk membina masyarakat yang berdaya tahan, bersatu, berasaskan pengetahuan, seimbang dari segi sosio-ekonomi dan bebas daripada kemiskinan.

Untuk berdaya tahan memang masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, seperti di Malaysia ini, perlu bersatu. Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan pada tahun 1971, tujuan utamanya, seperti tujuan RRJP3, ialah untuk membentuk Perpaduan Nasional. Akan tetapi, selepas 30 tahun, soal perpaduan ini masih merupakan masalah yang besar menghadapi negeri ini.

Salah satu sebabnya ialah kerana pemerintah BN masih meneruskan dasar serta amalan politik perkauman. Apabila timbul apa-apa krisis ataupun merosot pengaruh BN, maka pemerintah menggunakan isu-isu perkauman untuk mengalihkan pandangan rakyat. Dengan berbuat demikian mereka berharap untuk mempertahankan kedudukan mereka.

Sebab yang lain ialah, dari segi dasar dan perlaksanaan pembangunan ekonomi, pertumbuhan lebih diutamakan daripada pengagihan kekayaan, dan akibatnya berlaku keadaan sosio-ekonomi tidak seimbang yang bertambah buruk. Ketidakseimbangan berlaku bukan saja dari segi wilayah tetapi juga dari segi golongan dalam masyarakat.

Ada desa di Kedah dan Kelantan, misalnya, yang tidak berubah, bahkan semakin jauh ketinggalan berbanding dengan bandar-bandar yang dimajukan secara moden. Bahkan ada juga kawasan miskin “setinggan” mundur yang wujud di tengah-tengah kota yang maju dan pesat membangun. (Lihat saja kawasan Taman Medan yang mundur di tengah-tengah Petaling Jaya yang maju, di mana berlaku kekacauan baru-baru ini).

Dari segi keseimbangan golongan masyarakat pula, kita melihat wujud segelintir anggota masyarakat yang kaya raya, hasil daripada dasar pemerintah yang memberi kontrak, saham dan peluang lain untuk mereka cepat kaya. Atas nama “hak istimewa” Melayu mereka mengaut kekayaan bagi diri sendiri.

Dalam pada itu golongan miskin masih berterusan wujud, walaupun mengikut angka yang dikeluarkan pemerintah kadarnya semakin berkurang. Akan tetapi pemerintah sendiri seolah-olah mengakui angkanya memang boleh dipersoalkan, kerana ia sendiri merasa perlu melaksanakan kajian profil golongan miskin, yang sepatutnya sudah dibuat lama dahulu.

Sebenarnya, lebih serius daripada soal kemiskinan ialah soal jurang yang sosio-ekonomi yang bertambah melebar di antara sebilangan kecil suku sakat yang sangat kaya dengan sebilangan besar rakyat yang tidak berada. Perbelanjaan untuk projek-projek gergasi yang tidak ekonomik terus bertambah (lihat tambahan RM3 bilion baru-baru ini kononnya untuk menghadapi kesan kemerosotan ekonomi di AS), supaya boleh diberi kontrak-kontrak besar kepada kroni-kroni.

Begitu juga berbilion ringgit wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat serta tokoh-tokoh korporat suku sakat yang menghadapi masalah. Sebaliknya, sedikit benar yang diperuntukkan bagi memulihkan keadaan ekonomi petani padi, pengeluar kelapa, penoreh getah dan penanam kelapa sawit. Baru-baru ini pemerintah mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk menolong penoreh getah dan RM500 juta untuk penanam kelapa sawit. Tetapi jumlah ini masih terlalu kecil apabila dibandingkan dengan jumlah wang rakyat (atau PETRONAS) yang dikeluarkan untuk menyelamatkan Halim Saad, Tajuddin Ramli atau Mirzan Mahathir, misalnya.

Begitu banyak yang perlu dilakukan dan dibelanjakan untuk pertanian. Akan tetapi pemerintah mencurahkan berbilion-bilion ringgit untuk memajukan MSC. Ini memang projek yang baik. Namun begitu hasil prestasinya sangat tidak memuaskan. Satu kajian yang mendalam perlu dijalankan tentang hal ini. Di samping perbelanjaan besar untuk projek teknolgi maklumat moden, mestilah ada peruntukan yang seimbang untuk pertanian tradisional.

Penumpuan kepada MSC dan kemajuan siber tidak semestinya mendatangkan faedah berkesan dari segi ekonomi dan sosial kepada rakyat desa atau bandar yang miskin serta mundur. Bahkan apa yang akan berlaku ialah jurang ekonomi di antara yang berada dengan tidak berada, di antara bandar dengan luar bandar akan semakin melebar, mungkin ditambah lebarkan oleh jurang perbezaan teknologi ini pula.

Proses globalisasi, pasti tidak akan membantu banyak golongan buruh dan petani yang berpendapatan rendah. Bahkan, jikalau tidak dikawal dengan baik, proses globalisasi boleh mengancam serta merosakkan masa depan golongan buruh dan petani yang ramai itu. Kita hendaklah memastikan bahawa kepentingan rakyat jelata mesti dilindungi daripada akibat-akibat buruk globalisasi, bukan saja dari segi ekonomi, bahkan juga kebudayaan.

Pembuangan kerja akan lebih meluas berlaku apabila teknologi moden yang canggih dan cekap dibawa melalui globalisasi. Petani-petani kecil dan sederhana tempatan biasanya tidak mampu menggunakannya. Kita menerima baik perkembangan teknologi. Oleh kerana itu perlulah kita memastikan kepentingan petani kecil dan sederhana tidak mudah diketepikan oleh syarikat-syarikat besar, terutama dari luar, yang mampu menggunakan teknologi itu.

Akibat globalisasi, banyak negara membangun, termasuk Malaysia sendiri, menderita apabila ekonomi negara maju, terutama sekali AS, merosot. Seperti pernah dikatakan orang, sering kali apabila AS bersin, kita mungkin dijangkiti selesema pula. Dr Mahathir telah memperkenalkan langkah-langkah yang diharapkan oleh pemerintah boleh menyelamatkan negeri ini daripada dijangkiti penyakit ekonomi AS itu.

Malangnya, langkah-langkah ini, yang bernilai RM3 bilion, nampaknya ia akan lebih menguntungkan syarikat-syarikat dan tokoh-tokoh korporat yang besar. Sepatutnya RRPJ3 mengemukakan rancangan jangka panjang lebih berkesan untuk melindungi kepentingan rakyat ramai, terutama dari golongan rendah dan sederhana, daripada ancaman negatif globalisasi itu. Rancangan janka panjang itu tidak kelihatan.

Dr Syed Husin Ali 10hb April 2001