PRM KUTUK PENAHANAN BAWAH ISA

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis menahan beberapa pemimpin parti politik dan aktivis reformasi mulai petang semalam.

Sehingga ini dilaporkan bahawa seramai enam orang sudah ditahan. Mereka ialah Ezam Mohd Noor (Ketua Pemuda keADILan), Hishamuddin Rais (pengarah filem dan bekas pemimpin pelajar), Chang Tian Chua (Naib Presiden keADILan), Saari Sungip (ahli MPT keADILan dan bekas Presiden JIM), YB Azmin Ali (ADUN Selangor dan Ketua keADILan Selangor), N. Gobalakrishnan (Timbalan Setiausaha Pemuda kADILan) dan Malek Hussin (aktivis reformasi).

Sari Sungip dan Malek Hussin pernah ditahan di bawah ISA berikutan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dua tahun dulu. Manakala yang lain pula ditahan buat kali pertama di bawah ISA. Akan tetapi kesemua mereka pernah ditahan beberapa kali atas bermacam-macam tuduhan dan sedang menunggu untuk dibicarakan.

Nampaknya penahanan bawah ISA ini belum berhenti lagi. Kami diberitahu bahawa polis sedang memburu beberapa orang lagi untuk ditahan. Kami percaya tindakan penahanan beramai-ramai ini bertujuan bukan saja untuk mematahkan rancangan berkumpul secara aman serta menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM pada 14hb April, bahkan juga untuk melemahkan jentera parti keADILan terutama sekali. Kami yakin tujuan jahat ini tidak akan berjaya.

Kami terperanjat apabila membaca berita yang melaporkan seolah-olah Menteri Dalam Negeri tidak mengetahui tentang penangkapan ini. Beliau berkata jikalau tokoh-tokoh tersebut ditahan di bawah ISA tentu beliau sendiri akan menandatangani perintahnya. Mungkin Datuk Seri Abdullah Badawi terlupa bahawa beliau perlu menurunkan tanda tangan hanya bagi perintah tahanan selama dua tahun buat permulaan. Akan tetapi tangkapan dan penahanan selama 60 hari untuk soal siasat boleh dilakukan oleh pihak polis sendiri tanpa memerlukan tanda tangan daripada Menteri Dalam Negeri.

Sekiranya Abdullah Badawi tidak mengetahui tentang tangkapan dan tahanan ini, siapakah yang telah mengarahkan pihak polis melakukannya? Adakah Perdana Menteri?

Kami menuntut supaya semua tahanan ini dibebaskan dengan segera tanpa syarat. Jikalau tidak, mereka hendaklah dihadapkan ke mahkamah terbuka. Kami juga mendesak supaya pihak polis berhenti daripada menggunakan ISA untuk menangkap lebih ramai lagi para pemimpin keADILan dan aktivis reformasi. Bahkan pemerintah hendaklah berhenti menggunakan akta sangat zalim ini, yang tidak membenarkan perbicaraan, ke atas sesiapa pun. ISA hendaklah dihapuskan.

Dr Syed Husin Ali Presiden
PRM
11hb April 2001