PERLU APA PTD DI SEKOLAH?

Pada awal Februari 2001, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) dilapor mengemukakan usul kepada kerajaan supaya membawa masuk Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam sektor pendidikan. Semenjak itu, komentar demi komentar dalam dua wajah iaitu pro dan kontra yang datang daripada pelbagai pihak terus bertali arus.

Bila menyebut perkataan ‘usul’, saya agak kabur tentang titik mula ia dicetuskan dalam gerabak KPPK. Kita terfikir hendak mengetahui kronologi kemunculan usul ini dalam kesatuan berkenaan. Apa yang kita dapat soroti ialah pemuka-pemukanya yang usia perkhidmatan pendidikan mereka sudah senja, benar-benar kelihatan jaguh dalam perkara ini. Apakah mereka sanggup atau berupaya berdepan dengan kekangan baru kelak setelah ‘mimpi’ mereka menjadi realiti?

Misal kata ‘perjuangan’ (harap-harap sesuai perkataan itu) YM Tengku Habsah dan Encik Siva Subramaniam berjaya; tidak dapat tidak, sekalian warga pendidik sepeninggalan mereka akan menerima bahananya. Sedangkan di mana mereka ketika itu? Bahkan saya cenderung hendak berkata bahawa bakal bahtera kepimpinan baru KPPK akan bersikap melempar batu sembunyi tangan.

Bahawasanya, nukleus sektor pendidikan ialah sekolah; maka para gurulah yang menjadi proton, neutron dan elektronnya. Dalam mengendurkan sedikit kemelut ini, saya mohon mencadangkan supaya semua kesatuan guru mengadakan pungutan suara daripada seluruh ahli untuk memutuskan perkara ini (bagi KPPK diwajibkan). Dengarlah suara hati kami semua!

Seperkara yang kita jangan lupa ialah Kementerian Pendidikan baru dua tahun melatih bakal-bakal

pengetua / guru besar menerusi Kursus Kelayakan Profesional Kepengetuaan Kebangsaan

(NPQH) Institut Aminuddin Baki dan Sarjana Kepengetuaan Institut Pengetua Universiti Malaya. Ini

bermakna, profesion pendidikan sedang berada pada fasa peralihan iaitu antara kepimpinan

khasnya sekolah yang banyak berkisar di atas paksi ‘trial and error’ dengan kepimpinan

bersumber selok-belok pengetahuan dan ketrampilan pra-perkhidmatan.

Jika masyarakat selama ini dengan begitu lembut lidah menuding jari ke arah sekolah apabila timbul sesuatu isu atau masalah, maka kursus di ataslah jawapannya. Di samping melihat peri mustahaknya lulusan kursus ini ditempatkan di tampuk pengurusan sekolah, harap diketahui bahawa liputan kursus tersebut merentasi pelbagai dimensi dan fraksi sistem pendidikan. Seandainya berlaku lambakan lulusan kursus ini, tidak salah meletakkan mereka di PPD, JPN, PKG, PSPN, EPRD, PPK dan unit-unit lain dalam Kementerian Pendidikan termasuk RECSAM.

PTD dilatih mengkhusus bidang pentadbiran am sedangkan lulusan NPQH (dan Sarjana Kepengetuaan) bukan sahaja menguasai bidang tersebut bahkan skop pentadbiran pendidikan yang profesional sifatnya. Negara-negara maju sudah lama memberi ruang kepada golongan profesional mentadbir sendiri profesion mereka. Kita sejak dahulu hingga kini belum tergiur untuk bersekongkol dengan PTD dalam mengurus, mentadbir dan memimpin pofesion pendidikan yang sangat mulia ini.

Mat Burn
Universiti Malaya