Teks Ucapan Y.B. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail Ahli Parlimen Permatang Pauh Menjunjung kasih di atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Di Dewan Rakyat pada 21 Mac 2001

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya turut menjunjung kasih di atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan persidangan dewan kali ini. Keberangkatan Baginda seharusnya mengingatkan kita tentang betapa besarnya harapan negara yang terletak dibahu sekelian ahli-ahli Dewan yang mulia ini. Oleh itu segala urusan dan tindakan kita harus diambil dengan penuh keinsafan dan rasa tunduk kepada tanggungjawab kepimpinan sebagai mandat rakyat serta amanah Tuhan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Kita bersidang kali ini ketika negara dikejutkan dengan peristiwa perbalahan yang telah menagih beberapa nyawa di Kg. Medan. Peristiwa hitam ini menunjukkan bahawa tahap integrasi dan persefahaman antara kaum di negara kita belum mencapai tahap yang kita inginkan. Sekurang-kurangnya dalam situasi tertentu, api perkauman masih boleh mencetuskan pertembungan berdarah. Sewajarnyalah isu perpaduan turut diberi penekanan dan dinilai kembali. Kita perlu melihat permasalahan ini secara jujur dan terbuka.

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana selama ini kita telah menikmati keamanan dan berjaya mengelakkan dari ketegangan hubungan kaum. Namun, di kebelakangan ini, isu-isu tersebut telah disemarakkan semula seolah-olah terdapat perancangan rapi oleh pihak berkuasa, sebahagiannya melalui retorik terbuka dan kadangkala melalui tangan tersembunyi.

Pada peringkat awal, Perdana Menteri sendiri cuba memanaskan keadaan. Cuba meniupkan api perkauman dan menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu terhadap tuntutan Suqiu.Tujuan tersebut tidak lain dari percubaan mengalih pandangan rakyat dari isu pokok tuntutan Suqiu iaitu kebebasan rakyat dan keadilan. Yang menjadi isu pokok tuntutan Suqiu ialah merebaknya rasuah, amalan pilih kasih dan mengutamakan suku sakat, juga terhakisnya keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman. Tetapi apa pula yang dihebahkan oleh media BN - hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera.

Kami turut mempertahankan kedudukan istimewa bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan. Tapi harus diingat. Perlembagaan menyebut bumiputera; bukannya segelintir keluarga dan rakan taulan. Yang dibantah rakyat ialah penyalah-gunaan kuasa lantaran memperalatkan dasar bumiputera buat mempertahankan segelintir ahli keluarga dan kenalan sementara majoriti rakyat diabai. Kerugian syarikat keluarga dan kenalan rapat dapat dibendung bahkan diselamatkan dengan menggunakan berbilion ringgit wang negara - Perbendaharaan, Petronas, KWSP dan sebagainya - tetapi kegawatan ekonomi kini, yang terus menghimpit kehidupan rakyat petani, nelayan, pekebun kecil getah dan kelapa sawit, penjaja dan peniaga kecil serta buruh, kurang diberi perhatian.

Tuan Yang Di-Pertua,

Berbeda dengan apa yang disajikan oleh media BN, kini keadaan ekonomi kian gawat. Pasaran saham terus merudum. Harga barang keperluan dari makanan, air, pengangkutan meningkat pantas; walhal harga padi, getah, kelapa sawit terus rendah. Kita masih belum memperolehi angka inflasi yang tepat dan meyakinkan. Harga barang terus melambung namun angka dari Indeks Harga Pengguna tidak menunjukkan kenaikan sebenar. Ini ditambah dengan masalah penutupan kilang dan pembuangan pekerja. Di Pulau Pinang sahaja puluhan ribu pekerja telah diberhentikan. Ribuan pekerja bank diberhentikan dibalik selindung skim VSS. Bagaimanakah nasib mereka? Sekali lagi kita belum memperolehi angka pengangguran yang setepatnya.

Kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi tidak boleh diselindungi di sebalik sejumlah perangkaan dan statistik di atas kertas. Baru-baru ini, saya telah didatangi oleh sekumpulan wakil masyarakat petani dari Kedah yang sedang cuba mendapatkan bantuan. Mereka menghadapi pelbagai masalah dan kepayahan yang berkaitan dengan tanaman padi yang menjadi sumber rezeki mereka sehingga mereka jatuh di bawah paras kemiskinan mutlak luar bandar. Keperitan hidup yang sedang mereka alami cukup menyedihkan. Sehinggakan ada yang terpaksa berhutang untuk sara hidup seharian. Walaupun terpaksa melalui keperitan sudah beberapa lama, bantuan daripada kerajaan terlalu lambat tiba dan mengecewakan. Inilah salah satu senario krisis ekonomi yang sedang dideritai rakyat. Kegawatan kali ini tidak hanya terhad kepada para pelabur pasaran saham malah turut dirasai benar oleh para petani dan pekebun. Ia benar-benar merupakan kegawatan ekonomi dan bukan sekadar krisis kewangan.

Malangnya kegawatan belum mengajar pemerintah untuk mengambil langkah secara telus dan bertanggungjawab. Masing-masing bergelut merebut habuan dan masalah rakyat terbanyak termasuk bumiputera yang miskin di bandar, di desa atau pendalaman mendapat perhatian alakadar sahaja. Pengurusan kewangan negara, cara penyenaraian saham, 'bailouts' tidak membantu menambahkan keyakinan pelabur. Akibatnya, kita melihat kelesuan iklim ekonomi rakyat. Nampaknya, apa yang diluahkan selama ini, diketepikan sama sekali. Pihak penguasa pula bukan semata dilanda sindrom bisu tetapi cenderung mengambil tindakan keras dan bengis terhadap semua pihak yang cuba membangkitkan perihal kegelisahan rakyat.

Tuan Yang Di-Pertua,

Sengaja saya huraikan permasalahan ekonomi dalam konteks perpaduan kerana isu ini berkaitan keadaan pengangguran meningkat, kewangan mendesak dan setinggan terbiar. Jenayah meningkat serta masalah sosial terutamanya di kawasan pinggir bandar bertambah rumit. Jurang di antara mereka yang have-a-lot dan have-a-little dirasakan begitu luas. Komuniti yang merasakan diri mereka terbiar menyimpan ketidakpuasan hati yang mudah bertukar menjadi marah yang sukar dikawal. Dalam keadaan tersebut, masalah kecil dengan mudah akan mencetuskan perbalahan kaum atau agama.

Penduduk kawasan seperti Kg. Medan dan sekitarnya akan mempersoalkan bagaimana berbillion ringgit boleh dicurahkan untuk kepentingan syarikat keluarga, kawan, suku-sakat dan proxy. Berbilion ringgit lainnya pula diperuntukkan untuk pelbagai projek mega, namun kemudahan asas di tempat mereka seperti perparitan, pendidikan, kesihatan, perumahan bahkan juga pondok polis pun tidak boleh disediakan. Kita dapat saksikan bagaimana penduduk Melayu dan India yang berpendapatan rendah terpaksa hidup dalam kesesakan dengan persekitaran yang kotor tanpa kemudahan di sebuah negara yang dibanggakan sebagai model pembangunan diserikan dengan mercu tanda bertaraf dunia!

Janganlah kita menunggu sehingga ada penduduk yang terkorban atau cedera parah baharulah diambil tindakan secara token, secara acuh tak acuh. Isu sebenar ialah ketidakadilan sistem pengagihan ekonomi dan kegagalan memupuk semangat toleransi dan perpaduan. Ini dirumitkan dengan kenyataan Perdana Menteri yang terus mengungkit soal hak Melayu dan sentimen kaum.

Tuan Yang Di-Pertua,

Memang Barisan Alternatif mempertikaikan perlaksanaan kedudukan istimewa Bumiputera kerana pengagihan saham, pemberian kontrak, kelulusan penswastaan hanya terbatas kepada segelintir. BA menuntut agar kedudukan istimewa ini menjamin manfaat dan faedah kepada majoriti Bumiputera yang layak dan memerlukan. Apa yang dilakukan oleh PM dalam mempertahankan kedudukan Melayu dan perpaduan kononnya adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu kezaliman dan penindasan keatas hak rakyat; rasuah yang merebak; pengurusan ekonomi yang tempang sepertimana yang dilihat dalam kes Konsortium Perkapalan, MAS, LRT dan Time Dotcom.

Merujuk kepada isu pembelian balik MAS, kita berterima kasih kepada Y.B. Menteri Kewangan kerana hadir cuba memberi penjelasan berkenaan isu ini. Bagaimanapun, tiada penjelasan baru yang beliau berikan dan isu tersebut masih diselubungi kontroversi. Ketika meneliti Kertas Statut No.205 tahun 2000 yang diedarkan kepada ahli-ahli yang berhormat semalam, saya terkejut mendapati kerajaan BN telah memberi pelepasan cukai pendapatan kepada MAS dari tahun 1997-2000. Hal ini bertentangan sama sekali dengan tujuan pengswastaan. Perdana Menteri selalu memberi alasan bahawa syarikat besar perlu diselamatkan kerana mereka membayar cukai kepada kerajaan. Perkara ini sekali lagi menunjukkan bahawa kerajaan memberi layanan istimewa yang tidak wajar kepada MAS.

Apabila pelbagai pendedahan dibuat oleh BA tentang kelemahan pentadbiran, kerajaan BN merasa semakin gelisah. Tindakan penangkapan keatas pimpinan keADILan dan BA lainnya; larangan pergerakan dan perhimpunan aman; larangan serta sekatan penerbitan media alternatif sebenarnya berpunca dari kedudukan penguasa yang gelisah dan tercabar. Wibawa BN tercabar hasil kesilapan dan kelemahan sendiri. Sepatutnya BN cuba memperbaiki diri dan cuba kembali meyakinkan rakyat dengan langkah-langkah pemulihan yang jujur bukan seakan-akan menggunakan kuasa sebelum terlambat!

Sebaliknya BN memilih untuk menggunakan kuasa terutamanya kuasa-kuasa Menteri Dalam Negeri bagi mengekalkan kuasa. Lawan politik dihadapi dengan undang-undang. Yang terkini, aktivisme politik BA cuba dibantutkan dengan menggunakan Akta Hasutan 1948 yang diwarisi penjajah. Kuasa polis digunakan secara keras untuk mengganggu program-program penerangan biasa BA sehingga ke ceruk desa. Ini bukanlah cara yang layak bagi pahlawan atau pendekar dalam pencak politik. Hentikanlah berselindung di sebalik undang-undang dan jabatan kerajaan dan hadapilah kami sebagai pahlawan politik dalam gelanggang yang saksama!

Kegelisahan penguasa tidak wajar dibebankan keatas rakyat. Jangan sampai pemimpin yang bermasalah, rakyat pula yang terlebih menanggung susah. Krisis yang melanda negara kian gawat. Keyakinan terhadap institusi pemerintahan, kehakiman, penguatkuasaan dan ekonomi kian tergugat. Di dalam badan induk UMNO sendiri kegelisahan kian luas menular. Sesungguhnya ia lebih merupakan krisis nilai, lunturnya asas moral negara berpunca dari sikap rakus dan tamak penguasa.

Tuan Yang Di-Pertua,

Keperluan kepada perubahan kini lebih mendesak. Kita bersyukur kerana pergaduhan yang bermula di Kg. Medan telah reda. Akan tetapi, kita perlu mengatasi masalah pokok demi mengelak dari kejadian seperti itu berulang. Beberapa pendekatan perlu dipertimbangkan.

Pertama, kemudahan asas penduduk miskin, kawasan setinggan yang sesak, di pinggir bandar, di desa dan kawasan pendalaman, perlulah disediakan. Strategi tersebut melibatkan pendekatan yang telah diterima oleh rakyat dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum.

Kedua, penekanan perlu diberikan kepada kepentingan penjaja, peniaga kecil, perusahaan kecil dan sederhana tanpa mengira kaum bagi memperkukuh upaya mereka dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

Ketiga, pembangunan kawasan perumahan kos rendah dan sederhana; perumahan rakyat termiskin; dan projek perumahan munasabah di kawasan estet.

Keempat, kemudahan kesihatan dan pendidikan yang lebih seimbang kepada semua rakyat. Sistem pendidikan mesti menjamin mutu dengan menyediakan kemudahan kepada semua sekolah. Dasar Pendidikan Kebangsaan hendaklah dipertahankan dengan jaminan kedudukan bahasa Melayu serta peluang pembelajaran bahasa Cina, Tamil dan bahasa ibunda yang lain.

Dan akhirnya, berkaitan dengan isu perpaduan, program tambahan diperlukan di sekolah-sekolah untuk memupuk kesefahaman dan toleransi antara kaum. Suatu cadangan yang berkaitan adalah dengan mengadakan sekolah-sekolah berasrama penuh berbilang kaum. Langkah ini membolehkan kelompok pelajar terpilih hidup dan bergaul dalam suasana yang boleh memberi kesan jangka panjang.

Semua usaha ini perlu dilengkapi dengan usaha tuntas media massa menggalakkan masyarakat mengenali agama serta budaya masing-masing.

Sebenarnya tahap integrasi kaum bukan hanya menjadi masalah dalam suasana keperitan sosio-ekonomi seperti di Kg. Medan. Hatta di kampus-kampus, di kalangan kelompok terpelajar yang sepatutnya lebih terbuka dan progresif, kita melihat komuniti yang agak jelas terbahagi mengikut garis perkauman.

Bagi saya, budaya dan perjuangan politik berasaskan kaum selama ini dibawah BN adalah salah satu punca yang telah mewariskan situasi sebegini. Akibatnya, integrasi kaum hanya dirasakan penting sebagai strategi politik dan terbatas di kalangan elit dalam masyarakat. Tiada usaha yang bersungguh-sungguh dan mendalam untuk mewujudkan integrasi. Rakyat terbanyak tidak merasa terdorong untuk membina kerjasama dan hubungan antara kaum yang lebih tulin dan padu. Sikap dan pemikiran begini sudah tentu merugikan bahkan berbahaya kepada masyarakat berbilang kaum seperti kita.

Tuan Yang Di-Pertua,

Hal-hal inilah yang perlu diberikan penekanan. Bukannya usaha menakut-nakutkan rakyat dengan menimbulkan iklim rasa takut - climate of fear. Apa yang berlaku sekarang ialah keangkuhan kuasa termasuk belenggu oleh media tempatan. Ini mengakibatkan suasana dimana pengumuman dan maklumat selalu dipertikai dan sukar dipercayai kerana masyarakat terlalu mual dengan berita berat sebelah dan propaganda murahan. Sekali lagi ini berkait dengan isu kewibawaan atau kredibiliti.

Di tengah-tengah masalah yang cukup rumit sekarang, timbul lagi usaha mereka-cipta isu yang tidak relevan. Apakah kedudukan istimewa Melayu benar-benar tercabar? Apakah penjelasan Suqiu masih belum memadai? Dan kini, di tengah-tengah usaha Perdana Menteri merayu-rayu supaya perundingan diadakan, muncul cadangan untuk menghapuskan nama Islam pada nama PAS. PAS telah bergerak selama lebih 50 tahun. Penjajah Inggeris walaupun tidak menyenangi PAS tetapi tidak pula sanggup menghapuskan Islam daripada namanya!

Saya bimbang sekiranya cadangan ini diteruskan, ia sengaja mengundang masalah dan perpecahan di kalangan rakyat khususnya umat Islam. Majlis Fatwa Kebangsaan akan turut dilihat sebagai satu lagi institusi awam yang cuba diperalatkan dan akan dipertikaikan kewibawaannya. Saya ingin mendesak kerajaan supaya mengelak dari siri tindakan provokasi buat mengalih dari isu-isu pokok - kezaliman, rasuah dan sindrom mengutamakan keluarga dan suku-sakat. Mereka lebih cenderung agar rakyat membicarakan isu lain. Saya yakin majoriti umat Islam tidak dapat menerima perintah atau keputusan seperti ini.

Bagi menjamin keselamatan negara dan kemaraan ekonomi seterusnya, bersama pemupukan perpaduan kental di kalangan rakyat, kami ingin menggesa agar kerajaan melaksanakan perubahan sewajarnya. Agenda perubahan bertitik-tolak dari amalan demokrasi yang sihat, kewibawaan badan kehakiman dan pengagihan ekonomi yang adil.

Tuan Yang Dipertua,

Titah ucapan Di-raja juga ada menyentuh tentang agenda wanita dan pemeliharaan alam sekitar. Keprihatinan terhadap isu-isu tersebut memang sebahagian penting cita-cita kita yang mahu bergelar sebagai negara maju.

Dengan adanya Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, kita berharap agar isu-isu berkaitan wanita dapat ditangani dengan jauh lebih berkesan. Isu-isu seperti kebajikan ibu tunggal dan ibu tinggal, keganasan terhadap wanita dan seumpamanya masih menghantui wanita Malaysia. Mengadakan kementerian baru sudah tentu memakan kos yang bukan sedikit. Janganlah ia menjadi sekadar langkah wayang kulit politik untuk menarik perhatian dan memenangi sokongan wanita. Kita akan memantau rapi keberkesanan penanganan agenda ini serta sedia bekerjasama dalam mana-mana inisiatif yang dirasakan tulin dan wajar.

Nampaknya pelbagai insiden dan tragedi berkaitan alam sekitar yang pernah kita alami belum menginsafkan kita untuk menghormati pantang-larang alam semulajadi. Dalam mengejar keuntungan dan pembangunan, faktor keseimbangan sering terabai seperti yang menyebabkan banjir yang berlaku di Rawang, Selangor baru-baru ini. Selaras dengan ini, kita merakamkan kekesalan di atas keputusan kerajaan untuk meneruskan kembali Projek Hidro-elektrik Bakun dalam bentuknya yang menimbulkan banyak keraguan dan kontroversi.

Tuan Yang Di-Pertua,

Kesihatan merupakan salah satu tanggungjawab terpenting sesebuah kerajaan. Lebih-lebih lagi jikalau kita bercita-cita menjadi sebuah negara maju. Perkhidmatan kesihatan di negara semestinya cekap dan mesra rakyat. Dalam konteks ini, kita mengalu-alukan cadangan kerajaan menubuhkan sebuah Badan Pembiayaan Kesihatan Kebangsaan (NHFA). Bagaimanapun, segala perincian tentang badan dan skim harus dibuka kepada pengetahuan umum. Suatu perancangan yang menyentuh semua rakyat seperti ini, harus diperbahaskan semasak-masaknya sebelum boleh dilaksanakan.

Bersangkutan dengan kesihatan juga, kita prihatin dengan kejadian wabak penyakit tangan, kuku dan mulut di Johor seperti yang dilaporkan oleh media hari ini. Saya menyeru agar langkah-langkah cekap dan cermat diambil segera untuk menangani krisis ini. Janganlah diulangi kelemahan-kelemahan dalam menangani kejadian wabak seperti wabak J.E. dahulu.

Tuan Yang Di-Pertua,

Jelas dari pelbagai perkara yang telah saya sentuh bahawa negara sedang menghadapi krisis. Ia bermula sebagai suatu krisis politik yang tercetus sejak tanggal 2 September 1998. Ketika itupun dimensi ekonomi menjadi salah satu faktor utama di sebalik krisis tersebut. Akhir-akhir ini parahnya dimensi ekonomi krisis ini makin terserlah. Cara kerajaan menangani situasi ini pula mendedahkan kepincangan institusi dan amalan pentadbiran yang kronik yang terus memburukkan lagi keadaan

Kerajaan BN harus menghentikan langkah-langkah yang akan membebankan tabungan rakyat dan ekonomi Negara. Kalaupun BN keberatan mengambil serius pandangan dan kritikan kami, saya menyeru, dengarlah kegelisahan dan ketidakpuasan hati rakyat yang meluas. Tahap krisis sudah cukup kritikal dan boleh memberi kesan buruk jangka panjang. Negara tidak akan mampu menghadapi cabaran ini dengan jaya tanpa perubahan yang mendasar. Marilah kita mencari keberanian untuk menjayakan perubahan tersebut.

Sekian, terima kasih.

_________________________________________________
 FindLaw - Free Case Law, Jobs, Library, Community
http://www.FindLaw.com
Get your FREE @JUSTICE.COM email! http://mail.Justice.com