Kecuaian ketara Chua Jui Meng
Bakal Pengundi 2004

3:39pm, Wed: Kenyataan yang dikemukakan oleh Menteri Kesihatan Chua Jui Meng di Dewan Rakyat sebagaimana yang dilaporkan oleh malaysiakini (Anwar delaying surgery at his own peril, House told, April 17) dan Utusan Malaysia (Kepakaran Hoogland dipertikai) mengenai ketiadaan ‘literature’ tentang Thomas Hoogland dalam lima tahun lepas adalah sangat mendukacitakan.

Di bawah adalah bukti bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri berkenaan adalah tidak benar. Rujukan ini diterbitkan pada tahun 1999, masih dalam tempoh lima tahun yang didakwa oleh menteri tersebut: Wilke, HJ, Neef, P, Caimi, M, Hoogland, T, and Claes LE (1999) New In Vivo Measurements of Pressures in the Intervertebral Disc in Daily Life, Spine, 24 (8), 755-762.

Adalah tidak munasabah seorang yang menjawat jawatan menteri mengeluarkan kenyataan tidak bertanggung jawab sedemikian rupa di dalam Dewan Rakyat yang dihormati itu. Seharusnya beliau perlu membuat penyelidikan yang lebih teliti sebelum menjawab soalan berkenaan dan tidak bergantung kepada maklumat seorang dua pegawainya semata-mata.

Seluruh rakyat harus berdukacita kerana terbukti menteri kerajaan tidak menghormati Dewan Rakyat dengan mengeluarkan kenyataan palsu begini. Lebih mendukacitakan apabila ramai wakil rakyat bertepuk meja menyambut kenyataan tidak benar berkenaan.