Kenyataan Media

Saya ingin merakamkan kekesalan di atas laporan yang mengelirukan di muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini. Utusan melaporkan bahawa J.R. Mallot, bekas duta Amerika telah menghadiri pertemuan sulit dengan keADILan. Laporan ini berniat jahat kerana cuba menggambarkan bahawa keADILan ada pakatan sulit dengan negara asing.

Ada banyak fakta yang palsu dalam laporan ini. Pertamanya, J.R. Mallot tidak berada di Malaysia pada ketika ini (UM boleh rujuk dengan Jabatan Imigresen). Kedua, pertemuan itu bukan pertemuan sulit walaupun ianya bersifat tertutup dan atas jemputan. Jemputan telah dibuat kepada wakil-wakil dari berbagai organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Majlis tersebut bukannya anjuran keADILan atau FAC sebaliknya adalah inisiatif peribadi Datin Seri Dr. Wan Azizah untuk memberi penerangan tentang keadaan kesihatan Saudara Anwar Ibrahim. Dalam penerangan tersebut, penjelasan telah dibuat merangkumi aspek perubatan dan undang-undang berkaitan pilihan rawatan terbaik bagi Anwar Ibrahim.

Saya juga ingin menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif yang lain tidak terlibat langsung dengan majlis taklimat ini sebaliknya mereka menghadiri satu mesyuarat lain yang kebetulan diadakan di tempat yang sama.

Adalah tidak beretika bagi Utusan Malaysia membuat laporan berdasarkan andaian semata-mata setelah saya sendiri memaklumkan bahawa majlis taklimat ini adalah tertutup dan pihak media akan dijemput dalam satu taklimat yang lain.

CHUA TIAN CHANG
Naib Presiden

30 Mac 2001