KENYATAAN MEDIA BERSAMA BARISAN ALTERNATIF (BA)

MENTERI KERAJAAN PERLU ADIL KEPADA ANWAR

Kami terperanjat dan kecewa dengan kenyataan-kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Luar Dato’ Syed Hamid Albar dan Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng, mengenai pembedahan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagaimana yang dilaporkan oleh media masing-masing pada 27hb dan 28hb Mac 2001.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail serta peguam beliau S.N. Nair telah memberi jawapan yang cukup terhadap kenyataan Syed Hamid, dan oleh itu, kami tidak perlu mengulangi hujah mereka di sini. Namun begitu kami harus menegaskan semula pandangan mereka bahawa, berdasarkan syarat-syarat dipinda yang telah ditandatangani oleh Anwar, bertarikh 5hb Mac 2001, nampaknya Menteri Syed Hamid tidak diberikan maklumat yang tepat.

Mengenai Menteri Jui Meng pula, beliau nampaknya memberi reaksi yang keterlaluan terhadap laporan yang dikemukakan oleh Dr Hoogland Thomas mengenai kes Anwar. Berdasarkan laporan kenyataannya dalam media, kami tidak tahu sama ada Jui Meng pernah membaca laporan Dr Hoogland ataupun membacanya dengan teliti.

Dalam laporannya Dr Hoogland menjelaskan beliau telah “membincangkan kes dengan panel pakar di Hospital Kuala Lumpur termasuk 3 ‘orthopedic surgeon’, 3 ‘neurosurgeon’, 2 ‘radiologist’, 1 ‘neurologist’ dan 1 ‘anesthesiologist’”. Beliau selanjutnya melaporkan bahawa “Panel itu bersetuju bahawa ‘endoscopic procedure’ merupakan pilihan paling selamat bagi pesakit dan pembedahan adalah perlu dan seharusnya tidak dilengahkan lama, kerana wujud risiko keadaan jadi tambah buruk.

Namun begitu dalam kesimpulan akhir laporannya, Dr Hoogland, yang pernah melakukan lebih 4000 pembedahan mengikut ‘endoscopic procedure’, berpendapat bahawa “risiko prosedur ini paling rendah dan prognosisnya terbaik jikalau dilakukan di Alpha Klinik di Munich”.

Dr Hoogland juga “menyiasat kemungkinan melakukan prosedur ini di HKL. Beliau menjelaskan, “Kelihatan bilik pembedahan di mana ‘spinal procedure’ selalu dilakukan sedang dibaiki. Oleh itu kami memeriksa dewan pembedahan ‘neurosurgical’ yang agak lengkap melainkan meja pembedahan dan alat C-arm/x-ray”. Selanjutnya beliau memerhati bahawa ‘anesthesiologist’ tidak mempunyai pengalaman dengan ‘spinal procedure’ di bawah ‘local and intravenous aensthesia’.

Kami tidak percaya Dr Hoogland cuba hendak menghina sistem rawatan Malaysia yang diiktiraf, sebagaimana yang dituduh oleh Menteri Kesihatan. Beliau mengemukakan pandangan khusus, yang perlu dijawab secara khusus juga bukan secara umum. Sekiranya pandangan khusus Dr Hoogland itu benar, bukankah sewajarnya Jui Meng, selaku Menteri bertanggungjawab, memperbaiki keadaan?

Tidak ada dalam laporannya Dr Hoogland menyatakan bahawa “’anesthetist’ tempatan tidak berkelayakan cukup untuk menyertai pasukan yang merawat Anwar” sebagaimana yang kelihatan dituduh oleh Jui Meng. Sekiranya apa yang disebut oleh Menteri itu benar, beliau harus lebih berhati-hati. Umum mengetahui bahawa dewan pembedahan di HKL sedang dibaiki dan mungkin tidak boleh digunakan dalam tempoh enam bulan akan datang. Anwar tidak boleh menunggu lama kerana seperti ditegaskan oleh Dr Hoogland, “beliau haus menjalani pembedahan ‘endoscopic spinal’ dalam tempoh 4-6 minggu”.

Jui Meng berpendapat bahawa Anwar “harus menimbang semula sama ada mahu menggunakan khidmat pakar dari Munich” itu. Beliau dilaporkan sebagai berkata, “Selaku Menteri Kesihatan, saya mendapati laporan Dr Hoogland sebagai menghina, tidak beretika dan tidak boleh dimaafkan. Jikalau saya pesakit, sudah pasti saya akan tolak khidmatnya, kerana beliau telah menghina negeri saya.”

Kami faham tujuan Jui Meng mempamerkan patriotisme dengan kata-katanya. Malangnya ia tidak sesuai sama sekali. Dia mengaitkan banyak perkara yang tidak pernah disebut oleh Dr Hoogland dalam laporannya. Bahkan Jui Meng membuktikan bahawa beliau sendirilah yang “menghina, tidak beretika dan tidak boleh dimaafkan”. Tindakan beliau hanya merendahkan lagi martabat jawatannya serta negeri ini.

Kami ingin menegaskan bahawa Anwar sendiri tidak pernah memohon untuk dibedah di seberang laut. Dr Hoogland cuma mengesyorkan bahawa “risikonya adalah paling rendah dan prognosisnya terbaik jikalau dilakukan di Alpha Klinik di Munich”. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Anwar bertarikh 27hb Mac 2001, disebutkan bahawa kerajaan Malaysia, mengikut surat kepada Anwar bertarikh 23hb Mac 2001, telah membuat keputusan untuk menawarkan bantuan dalam bentuk kakitangan dan alat kepada Dr Hoogland. Kami percaya sekiranya pakar Belanda ini mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan di HKL, kerajaan akan memberikannya sepenuh sokongan yang perlu.

Akhirnya, kami sungguh terperanjat membaca kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa kerajaan tidak boleh membenarkan Anwar pergi seberang laut untuk rawatan kerana beliau tidak akan pulang untuk menyambung hukuman penjaranya. Kenyataan ini tidak masuk akal. Sekiranya Dr Mahathir takut sangat Anwar akan “lari”, beliau dengan mudah saja boleh cuba mengadakan persefahaman atau perjanjian dengan kerajaan Jerman, untuk memastikan Anwar kembali ke Malayisa dari Munich, sekiranya beliau dibenarkan menjalani pembedahan di sana. Sekiranya Dr Mahathir membuat pertimbangan yang waras dan mahu memperlihatkan sifat murah hati, kami percaya tidak ada perkara yang mustahil boleh dilakukan.

YB Datuk Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS
 YB Dr Wan Azizah Ismail, Presiden keADILan
YB Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung DAP
Dr Syed Husi Ali, Presiden PRM

30hb Mac 2001