Artikel 1

JIKA USUL 'SKANDAL SEKS' ABU HASSAN JADI DIBINCANGKAN, TIDAK MUSTAHIL MB SELANGOR LETAK JAWATAN!


SHAH ALAM: Jika Dewan Undangan Negeri Selangor yang akan bersidang 7 Ogos ini diberi peluang membincangkan isu kredibiliti kepemimpinan negeri Selangor -- khususnya berkaitan tingkah laku Menteri Besarnya, Abu Hassan Omar yang didakwa melakukan kelakuan sumbang dengan adik iparnya - tidak mustahil Abu Hassan akan bertindak sesuatu yang di luar dugaan.

"Kalau semasa dihujahkan tentang kos pengubahsuaian kediaman rasmi MB empat tahun lalu yang menelan belanja RM5 juta pun Abu Hassan sebak menangis, saya tak dapat bayangkan apa reaksi Abu Hassan bila dihadapkan dengan isu peribadinya itu. Silap-silap boleh letak jawatan,' kata seorang pemimpin pembangkang.

Abu Hassan dikenali sebagai seorang yang tak boleh terlalu ditekan dan diasak. Emosinya mudah tersentuh.

Difahamkan ada usul tergempar dari Barisan Alternatif membangkitkan isu JAIS dan tuduhan surat layang kepadanya. Dalam masa sama, Barisan Nasional juga akan membawa usul tersendiri sebagai satu strategi supaya persidangan tidak sempat membincangkan isu salahlaku MB.

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"



Artikel 2
Siapa Pengganti MB Baru ?


SHAH ALAM - Orang ramai terutamanya di kalangan ahli Umno mula bertanya-tanya, siapakah pengganti Abu Hassan sebagai Menteri Besar Selangor? Perkara ini mula menjadi tajuk bualan ramai apabila surat layang mendedahkan apa yang disifatkan sebagai skandal seks Menteri Besar Selangor itu disebarkan secara leluasa di sekitar Lembah Klang, awal Julai.

Surat layang yang dilengkapi dokumen berkaitan sebagai bukti memperkukuhkan dakwaan itu, termasuk keratan Jawa Pos (Indonesia) yang menyiarkan berita tersebut, turut menjawab kemusykilan yang ditimbulkan Awang Sulung, Mingguan Malaysia, 2 Julai.

Akhbar kawalan Umno dan kerajaan BN itu dengan lantang bertanya dalam tajuk komentarnya: "Wajarkah Abu Hassan terus jadi MB?" Soalan itu diajukan sebagai reaksi terhadap peristiwa tangkapan JAIS ke atas orang-orang Islam yang terlibat dengan arak dan berpakaian tidak sopan di beberapa premis hiburan pertengahan Jun.

Awang Sulung berkata: "Abu Hassan, pada pandangan Awang, wajar meminta maaf di atas apa yang telah berlaku dan mungkin juga menimbang untuk berundur daripada kedudukannya sebagai Menteri Besar."

Soalannya, apakah wajar disebabkan tindakan JAIS itu maka seorang MB dituntut secara terbuka supaya meletakkan jawatan?

Bagaimanapun, kemusykilan itu terjawab apabila surat layang yang dilengkapi salinan surat beranak dan kad pengenalan mereka yang terlibat itu disebarkan. Ia mendakwa Abu Hassan menjalin hubungan seks dengan adik iparnya sendiri hingga melahirkan anak yang kini sedang menuntut di sebuah sekolah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Sekarang orang ramai percaya, rupa-rupanya skandal inilah yang menjadi faktor sebenar mengapa akhbar kerajaan BN begitu berani menuntut supaya Abu Hassan letak jawatan. Orang ramai juga turut mengaitkan skandal ini sebagai faktor mengapa Mahathir tidak melantik Abu Hassan menjadi ahli MT Umno.

Kini orang-orang Umno Selangor begitu yakin, Abu Hassan akan terpaksa letak jawatan tidak lama lagi. Soalan yang berlegar-legar sekarang ialah siapakah bakal penggantinya?

Mungkinkah Muhammad Muhd Taib? Seorang yang rapat dengan Naib Presiden Umno itu berkata, "Tan Sri sekarang mahukan jawatan yang lebih tinggi di Federal."

Walau apa pun, yang pasti Umno Selangor kini sedang bergolak. "Bagi Barisan Alternatif," kata Teng Chang Khim, seorang ADUN dari DAP, "siapa pun yang menggantikan Abu Hassan, serupa sahaja pada kita. Seorang penjahat digantikan oleh seorang penjahat yang lain. Oleh itu kita akan tumpukan usaha menjatuhkan BN itu sendiri, dalam pilihan raya akan datang," katanya.

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"



Artikel 3

KDN IYSTIHAR PERANG DENGAN LUTFI


Sumber-sumber yang rapat dengan Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa Unit Penerbitan KDN sudah diarahkan untuk mengharamkan apa saja makalah yang mempunyai kaitan dengan Ahmad Lutfi Othman. Manakala bagi makalah tidak berkala yang tidak perlukan permit, KDN akan merampasnya.

Ini bermakna, permit majalah remaja Al-Wasilah, yang mana Ahmad Lutfi adalah editornya sejak ia mula dikeluarkan Disember 1999 tidak akan disambung semula bila tempohnya tamat pada 31 Ogos ini. Maka berulanglah tragedi yang menimpa majalah pro-reformasi Detik kepada majalah Wasilah pula.

"Arahan untuk mengharamkan itu datang daripada salah seorang pegawai tinggi Unit Penerbitan KDN, Tengku Mahmood sendiri," kata sumber itu.

"Ia lebih bermotifkan dendam peribadi pegawai berkenaan kepada Ahmad Lutfi," tambah sumber itu lagi.

Ahmad Lutfi menyifatkan perkembangan ini sebagai sudah diduga walaupun beliau terkejut dengan sikap melampau pegawai berkenaan.

"Ikut suka depa, tapi kalau betul sumber itu, saya akan buat penjelasan lanjut. Tapi ingin saya tegaskan, jika benar Wasilah - sebuah majalah yang ditujukan khusus buat remaja dan mempunyai unsur politik yang cukup tipis -- akan diharamkan, tindakan balas saya tidak seperti Detik. Saya ada rancangan sendiri untuk berdepan dengan situasi sulit itu," kata Lutfi.

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"