MANIFESTO BERSAMA
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Keadilan Nasional (KeADILan)
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
KE ARAH MALAYSIA YANG ADIL
Cabaran
Terbesar Sejak Kemerdekaan
Dengan beberapa perkembangan dewasa ini, jelaslah bahawa cabaran terbesar yang
dihadapi seluruh rakyat Malaysia ialah usaha melahirkan sebuah negara yang adil
dan demokratik.
Krisis
Politik
Di negara kita kini, telah terdiri sebuah sistem pemerintahan yang memusatkan
kuasa pada pihak eksekutif amnya dan, dengan cara tertentu yang bermuslihat,
pada seorang individu sahaja khususnya. Dengan itu, sistem ‘sekatan dan
imbangan’ (checks and balances) telah dilumpuhkan. Apabila kuasa
dijadikan milik peribadi seperti itu, maka:
- kepentingan pihak berkuasa diutamakan, kepentingan rakyat diketepikan;
- pihak berkuasa menentukan segala-galanya, termasuk apa yang kononnya
merupakan kepentingan rakyat;
- daya upaya rakyat pastilah akan musnah; pencabulan hak asasi manusia
berleluasa;
- pihak yang berkuasa tidak lagi menghormati dan tidak mengendahkan pandangan
pihak-pihak lain yang tidak sehaluan dengannya dan melemparkan berbagai
tohmahan terhadap mereka, termasuk tuduhan yang direka;
- yang lebih diutamakan daripada segala-galanya ialah kesetiaan membuta tuli
terhadap para pemimpin, meskipun para pemimpin itu terbukti salah; dan
- prinsip dan amalan ketelusan awam tidak dipedulikan lagi oleh pemerintah.
Kezaliman,
Korupsi, Kronisme dan Nepotisme
Inilah sebabnya KEZALIMAN, KORUPSI, KRONISME dan NEPOTISME telah menjadi-jadi di
negara ini sejak beberapa tahun yang lalu. Untuk menyembunyikan dan melindungi
segala dosa tersebut, maka terpaksalah golongan yang berkuasa itu melakukan
penipuan dan berdusta kepada rakyat. Mulai tahun 1980an, DEB dijadikan alasan
untuk melakukan pilih kasih (kronisme) dan pilih keluarga (nepotisme) dalam
perniagaan dan politik. Memang tidak boleh dinafikan bahawa ramai rakyat
Malaysia, terutamanya daripada kaum Melayu, telah mendapat faedah daripada DEB.
Tetapi kronisme dan nepotisme dewasa ini bukan demi perlaksanaan DEB, malah
telah banyak menguntungkan beberapa kroni, termasuk bukan Melayu, yang cuba
berselindung di sebalik DEB. Fitnah terhadap musuh-musuh politik telah menjadi
amalan yang biasa di kalangan golongan pemerintah, dan makin bertambah menonjol
dengan krisis politik dewasa ini.
Krisis
Ekonomi
Krisis kini menjadi lebih runcing memandangkan Malaysia belum lagi bersedia
menghadapi pasaran global yang makin mencabar dan bersaingan akibat keengganan
pemerintah melaksanakan reformasi ekonomi dan politik yang tulen. Masa depan
negara bergantung kepada daya saing dan keupayaan kita menembusi pasaran global.
Satu sistem pentadbiran dan pengurusan syarikat (corporate governance)
dalam satu rangka pengawasan yang telus, tegas dan bebas daripada campurtangan
politik yang tidak wajar dan berkepentingan, amat mendesak untuk mewujudkan
ekonomi yang kukuh. Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di bawah pemerintahan
BN hanya melumpuhkan ekonomi dan daya saingan kita di tahap antarabangsa di
samping menggadaikan masa depan ekonomi, rakyat dan negara.
Di samping itu, pemerintahan BN sedang menyalahgunakan perbelanjaan kerajaan
untuk memeras ugut dan ‘membeli’ rakyat menjelang pilihanraya. Hasil
kerajaan berpunca daripada usaha, kerja dan pendapatan rakyat, bukan milik parti
BN. Maka, rakyat berhak terhadapnya, dan BN tidak berhak langsung
menyalahgunakannya mengikut nafsu dan demi kepentingan kuasa mereka.
Pencabulan Hak
Asasi
Pemerintahan BN telah banyak menyimpang daripada prinsip-prinsip dan hak-hak
asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Berbagai undang-undang seperti
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Polis, dan sebagainya telah
menafikan hak asasi rakyat untuk bersuara, berkumpul secara aman dan
berpersatuan. Segalanya bergantung kepada sukahati pihak yang berkuasa. Malah,
hak rakyat merujuk ke mahkamah pun dinafikan atau disanggah. Dewasa ini,
disiplin polis telah banyak merosot akibat penyalahgunaan kuasa pucuk pimpinan
negara, yang membawa kepada penyelewengan, termasuk keganasan polis terhadap
rakyat jelata, terutamanya golongan yang lemah. Penyelewengan demikian ini jelas
mencerminkan lagak samseng pucuk pimpinan pemerintahan, yang tidak menghormati
hak asasi rakyat walaupun dijamin dalam Perlembagaan Malaysia.
Krisis
Akhlak
Pemusatan kuasa dan kekayaan dalam tangan segelintir pemimpin tertinggi negara
telah menyebabkan keangkuhan golongan berkuasa sehingga mereka sanggup melakukan
apa sahaja tanpa segan-silu, tidak kira benar atau palsu, betul atau salah,
asalkan kuasa mereka berkekalan. Tahap akhlak di kalangan golongan pemerintah
pada umumnya telah mengalami kadar kemerosotan yang amat menggerunkan. Golongan
pemerintah bukan sahaja sudah hilang kewibawaan moral, malah tidak dapat
diharapkan lagi untuk menjadi penyalur kemurnian akhlak kepada generasi yang
akan datang. Golongan muda sudah berasa kecewa; mereka tidak lagi menghormati
para pemimpin yang ada.
Krisis
Kewibawaan
Sistem pemerintahan telah memusnahkan kewibawaan pelbagai institusi masyarakat
seperti parlimen, kehakiman, perkhidmatan awam, polis dan media yang
dipertundukkan kepada kehendak pemimpin-pemimpin tertentu. Ini mendatangkan
kesan yang buruk terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia pada umumnya, malah
telah menggugat keyakinan para pelabur, dari dalam dan luar negeri. Sebenarnya,
hanya perubahan pemerintahan ke arah yang adil, bersih, cekap, jujur dan
berkebolehan akan dapat memulihkan kewibawaan pemerintah dan kepercayaan orang
ramai, menyatupadukan rakyat dan memajukan semula bangsa dan negara.
Pembohongan
Barisan Nasional
Pemerintahan BN:
- melanggar pelbagai prinsip dan cita-cita dalam pelbagai dokumen ciptaannya
sendiri, misalnya prinsip-prinsip “kedaulatan undang-undang” dan cara
hidup demokrasi yang tercatat dalam Rukunegara;
- mengabaikan tanggungjawab dalam melaksanakan sembilan cabaran Wawasan 2020,
terutamanya cabaran untuk “melahirkan sebuah masyarakat yang benar-benar
berakhlak” dan cabaran “melahirkan masyarakat penyayang”;
- tidak merealisasikan slogan-slogan laungan sendiri — yakni slogan-slogan
tentang pemerintahan yang “bersih, cekap dan amanah”, “kepimpinan
melalui teladan”, “tradisi membela rakyat”, dan sebagainya;
- kalau diambilkira juga berbagai kenyataan dan tuduhan pemimpin-pemimpin
utama BN, maka ketara lagi pembohongan mereka kian merebak.
Cita-Cita Rakyat
Diketepikan
Terdapat beberapa keperluan dan cita-cita asasi rakyat yang sepatutnya diberikan
perhatian utama dan segera seperti:
- sejumlah besar rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana masih belum
mampu memperoleh kemudahan perumahan yang sesuai;
- sejumlah pelajar yang layak masih tidak dapat menikmati pendidikan tinggi
tempatan yang bermutu pada kos yang berpatutan. Pendidikan yang bermutu bagi
semua yang layak merupakan tanggungjawab kerajaan yang dapat memajukan ekonomi
negara dengan lebih segera;
- rawatan perubatan yang berkualiti pada kos yang munasabah atau percuma
masih belum terjamin bagi sejumlah besar rakyat.
Di samping itu, rakyat yang makin sedar bukan hanya inginkan ekonomi dan taraf
hidup yang baik, tetapi juga kemajuan budaya dan rohaniah serta keselesaan
persekitaran hidup.
Jelas bahawa kesejahteraan rakyat umum tidak menjadi agenda utama dasar
pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang. Rakyat negara ini
mempunyai hasrat yang amat tinggi terhadap pembangunan yang seimbang dan
kesaksamaan sosial, sedangkan golongan pemerintah lebih mementingkan
projek-projek mega yang raksaksa dan pencapaian bermegah-megah yang
menggembungkan sifat takabur diri melalui projek-projek yang hanya mendatangkan
manfaat kepada suatu kelompok kecil. Oleh kerana itu:
- jurang pemisah antara golongan berada dan golongan yang tidak berada
menjadi semakin luas pada tahun-tahun sembilan puluhan ini;
- semakin meningkatlah bilangan dan peratusan rakyat yang semakin terpinggir
dalam proses pembangunan ekonomi, yang bukan sahaja tidak adil dan bersifat
songsang, tetapi juga boleh menghalang kemunculan Malaysia sebagai sebuah
negara maju pada masa akan datang;
- dasar pembangunan Kerajaan BN memberikan penekanan yang berlebihan terhadap
keuntungan yang bersifat kebendaan sambil mengabaikan pembangunan masyarakat
yang lebih seimbang dari segi rohani, akhlak, budaya dan tamaddun.
Kesedaran
Rakyat
Sejak kebelakangan ini, rakyat mulai sedar akan kecacatan dasar pembangunan BN
dan kelemahan pimpinan BN. Maka, mulailah mereka menyatakan bantahan secara
terbuka. Tanpa menghiraukan keluhan ikhlas rakyat, Kerajaan BN sebaliknya telah
cuba menakutkan rakyat bahawa kononnya, keluhan demikian bersifat ganas dan akan
mencetuskan persengketaan kaum. Menurut tohmahan BN, huru-hara akan terjadi jika
sekiranya kekuatan kedudukan Kerajaan BN itu dipersoalkan. Dalam menyebarkan
dakyah tersebut, mereka telah memperalatkan sepenuhnya media aliran utama negara
ini, yang dikuasai BN sepenuhnya. Tujuan mereka semata-mata untuk
menakut-nakutkan dan memecah-belahkan rakyat, yang mulai sedar dan ingin
memperjuangkan perubahan yang benar-benar bermakna. Jelaslah bahawa mereka cukup
takut dan sedang cuba menghalang rakyat Malaysia daripada menggembleng tenaga
demi membawa reformasi untuk melahirkan sebuah negara yang benar-benar adil,
saksama dan demokratik.
Selain itu, dalam menghadapi kegelisahan rakyat, pemerintahan BN dengan
jelasnya telah memperalatkan sentimen perkauman. Mereka cuba menimbulkan rasa
syak wasangka di kalangan pelbagai kelompok kaum dan melaga-lagakan satu
kelompok kaum dengan yang lainnya. Malah, BN terus menerus menggembar-gemburkan
persengketaan kaum di negara-negara lain yang keadaannya sama sekali berbeza
daripada negara ini dan tidak ada relevannya bagi negara ini. Pemerintahan BN
juga memfitnah parti alternatif sebagai agen kuasa asing. Sedangkan merekalah
yang mendakwa bahawa pelabur asing akan lari tanpa BN kononnya kerana tidak
yakin pada parti alternatif. Rakyat tidak mudah tertipu oleh mereka yang sudah
lama bersubahat dengan kuasa asing dari Barat dan Timur. Sekarang, BN cuba
memomokkan kuasa asing sebagai alasan atas kegagalan BN dari segi pentadbiran
ekonomi. Kita bersyukur kerana permainan jahat ini sudah disedari rakyat dan
tidak lagi berkesan.
Barisan Alternatif: Malaysia Yang
Adil dan Demokratik
Peristiwa
Bersejarah
Kini, telah lahir iltizam yang amat kuat di kalangan rakyat Malaysia dari
pelbagai kaum untuk melaksanakan suatu perubahan besar. Rakyat Malaysia dari
segala lapisan kini telah bertekad untuk melahirkan sebuah sistem demokrasi:
- yang jujur, dinamis dan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat;
- yang mempunyai sistem berparlimen yang dapat mewakili
kepentingan-kepentingan rakyat jelata;
- yang mempunyai institusi kehakiman yang benar-benar bebas dan bersih;
- yang mempunyai angkatan polis yang bersifat profesional, yakni melaksanakan
tugas-tugasnya secara adil dan saksama menurut lunas undang-undang;
- yang mempunyai media massa yang tidak dibelenggu oleh pihak berkuasa
semata-mata;
- dengan sifat bertanggungjawab dan ketelusan yang dihargai sebagai ciri
asasi sistem pemerintahan;
- di mana perbezaan pandangan dan pendapat bukan sahaja dihormati, malah
dimanfaatkan untuk membaiki kesilapan akibat kekurangan faktor insaniah; dan
- yang mendukung ekonomi yang dinamis, kukuh, adil dan mampu bersaing di
tahap antarabangsa.
Masyarakat adil dan demokratik yang kita hasratkan itu mestilah dibina atas asas
nilai-nilai rohani dan akhlak yang tersimpul dalam ajaran Islam dan
ajaran-ajaran agama lainnya. Pengamalan Islam sebagai ad-deen
dan penghayatan nilai-nilai kerohanian — baik pada tahap individu maupun pada
tahap masyarakat — adalah benteng yang melindungi kita daripada korupsi, tamak
haloba dan keruntuhan moral. Demi mencapai natijah ini, institusi keluarga
sebagai unit asas masyarakat mesti dimantapkan. Institusi-institusi sosial
lainnya juga akan turut dimantapkan untuk menjadi asas pembinaan sebuah
peradaban moden yang utuh. Sesungguhnya, dalam usaha membina sebuah bangsa yang
berakhlak, perlulah usaha secara sedar untuk menggubal dasar dan program dalam
setiap bidang kehidupan masyarakat yang menerapkan prinsip akhlak dan kerohanian
yang bersifat universal. Di antara prinsip-prinsip ini, nyatalah bahawa prinsip
keadilan mempunyai kedudukan yang utama.
Usaha Kerajaan BN untuk hanya memperjuangkan prinsip keadilan politik dan
ekonomi di peringkat antarabangsa di kalangan negara-negara di dunia sahaja
tidak jujur, konsisten atau menyeluruh. Sepatutnya, mestilah terdapat iltizam
yang lebih untuk menegakkan prinsip dan amalan keadilan dalam Malaysia ini
sendiri. Usaha Malaysia sebagai pejuang keadilan antarabangsa ditertawakan
masyarakat dunia kerana prinsip yang sama tidak pula diperjuangkan dan
dilindungi dalam negara kita sendiri. Sebahagian daripada perjuangan menegakkan
keadilan ini ialah perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara
kita, meskipun kita senantiasa berusaha untuk memupuk hubungan yang baik dengan
negara-negara lain.
Janji Kami
Dalam memperjuangkan cita-cita melahirkan negara Malaysia yang adil dengan
nilai-nilai akhlak yang luhur, kita menghormati prinsip-prinsip asasi
Perlembagaan Malaysia, iaitu:
- Kedaulatan perlembagaan;
- Raja berperlembagaan;
- Demokrasi berparlimen;
- Hak-hak kebebasan asasi;
- Keluhuran undang-undang;
- Kebebasan kehakiman;
- Hak dan tanggungjawab kewarganegaraaan;
- Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan prinsip kebebasan beragama;
- Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa
rasmi, dan hak menggunakan dan mempelajari bahasa-bahasa lain;
- Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta
kepentingan-kepentingan sah, kaum-kaum lain; dan
- Sistem pemerintahan persekutuan yang memenuhi tanggungjawabnya, di mana
kedudukan istimewa negeri Sabah dan Sarawak dilindungi dan dihormati.
Maka, kami berikrar akan:
- bersama dengan perjuangan rakyat untuk melahirkan negara Malaysia yang
makmur dan adil berasaskan sistem pemerintahan demokratik tulen;
- melindungi dan mempertahankan hak dan martabat semua rakyat serta menjamin
keadilan untuk semua;
- melaksanakan usaha sepadu untuk mempertingkatkan daya pengeluaran ekonomi,
memantapkan kecekapan ekonomi, dan menyelaraskan pengurusan ekonomi demi
menyediakan ekonomi negara menghadapi cabaran antarabangsa;
- menyalurkan sumber-sumber negara, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan
asasi rakyat, tetapi yang lebih penting lagi, untuk memastikan bahawa mutu
kehidupan dan kesejahteraan masyarakat pada umumnya ditingkatkan;
- mengagihkan kemewahan dan peluang secara saksama kepada semua;
- mewujudkan kemudahan sosial yang bermutu dan persekitaran fisikal yang
bersih dan selesa; memantapkan mutu pendidikan, kesihatan serta perkhidmatan
sosial lainnya; membina masjid dan tempat-tempat ibadah; membina taman-taman
dan perpustakaan-perpustakaan awam; membina pusat-pusat kegiatan budaya dan
seni; dan membuka kesempatan seluas-luasnya untuk memanfaatkan komputer,
teknologi maklumat dan cara komunikasi lainnya; dan
- mewujudkan suasana yang menggalakkan — melalui penyediaan prasarana,
pendidikan dan perundangan — ke arah penghayatan Islam sebagai sistem hidup
yang menyeluruh (ad-deen) di kalangan umat
Islam, di samping memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan
agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin.
RANCANGAN DAN PROGRAM
Program
Kami
Pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional mengambil kesempatan di sebalik topeng
menangani kegawatan ekonomi untuk menyelamatkan, malah memperluaskan lagi,
kepentingan mereka sendiri serta kroni-kroni mereka.
Mereka memperluaskan lagi kuasa mereka, terutama sekali terhadap sektor
korporat (melalui peristiwa seperti CLOB dan MPHB), bank (melalui syarat
‘bantuan’ Danaharta dan Danamodal) serta syarikat niaga saham.
Penyalahgunaan kuasa demikian telah melambatkan pemulihan ekonomi Malaysia
berbanding dengan mangsa lain krisis ekonomi di rantau ini. Malah, negara-negara
jiran yang mengalami krisis jauh lebih teruk pun kini sedang dalam proses
pemulihan, sedangkan asas ekonomi kita sebelum krisis jauh lebih baik berbanding
mereka.
Namun, cabaran ekonomi yang terbesar bukan sahaja sekadar pemulihan setelah
krisis. Cabaran utama sebenarnya ialah pembentukan rangka pembangunan dan
pengawasan nasional untuk masa depan, memandangkan sistem ekonomi antarabangsa
yang sudah wujud dan akan berkembang.
Oleh yang demikian, Barisan Alternatif akan membentuk dasar baru untuk
menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan dalam rangka liberal dan fleksibel, yang
dilengkapi dengan rangka pengawasan yang berpatutan untuk menggalakkan pelaburan
dan pertumbuhan tanpa mengorbankan kepentingan jangka panjang negara. Masa depan
Malaysia akan bergantung kepada penglibatan yang bijak dalam ekonomi global.
Tetapi, Malaysia juga memerlukan rangka pengawasan untuk mengelak daripada
menjadi mangsa kuasa pasaran modal global, bukan kerana spekulasi antarabangsa
sahaja, tetapi juga kerana faktor tempatan, seperti kegunaan modal secara tidak
cekap dan produktif, dan campurtangan pemerintah secara tidak telus demi
kepentingan tertentu.
Untuk memulihkan ekonomi dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mantap lagi
mampan, semua sumber ekonomi patut digemblengkan. Suatu rangka pelaburan
menarik, yang dapat menjaga kepentingan rakyat dan negara, akan disediakan.
Retorik kosong Mahathir (sebenarnya, ‘cakap tak serupa bikin’) menjelang
pilihanraya telah menjejaskan pelaburan asing yang baru dan juga perusahaan
pelancongan, serta kepentingan rakyat yang bergantung terhadap kedua-duanya.
Ekonomi dunia kian berubah dengan pesat. Kita mesti menangani perubahan ini
dengan bijak kerana ekonomi kita amat terbuka. Kami menjamin bahawa Barisan
Alternatif akan tetap bersikap bertanggung jawab dan tidak akan mengubah
peraturan dan suasana sesuka hati tanpa menghiraukan kesannya, terutama sekali
terhadap nasib rakyat dan kepentingan nasional. Sementara itu, kami juga akan
mengambil tindakan yang wajar untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul
daripada kekurangan dan kegagalan pasaran tempatan dan global. Khususnya, kami
berjanji mengambil tindakan untuk perbetulkan berbagai herotan yang muncul
akibat pertumbuhan pesat yang tidak seimbang dalam dekad sebelum dilanda
kegawatan ekonomi.
Justeru itu, Barisan Alternatif akan membentuk Majlis Perundingan Ekonomi dan
Sosial untuk menggemblengkan bakat-bakat profesional sektor swasta maupun sektor
awam serta masyarakat umum untuk mencapai muafakat dan sokongan penuh akan dasar
yang dibentuk mengikut kepentingan negara dan rakyat.
Sasaran utama dasar tersebut ialah menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi
teknologi tinggi (hi-tech) dan ekonomi maklumat dan ilmiah (information
and knowledge economy) sambil terus memajukan sektor-sektor tradisional
seperti pertanian dan perindustrian. Sebagai sebuah negara yang kecil dengan
bilangan penduduk yang kecil, inilah satu-satu jalan kita dapat berjaya dalam
ekonomi global pada masa akan datang. Fleksibiliti, kecerdasan dan kecergasan
dalam sektor perkhidmatan sedunia, bukan industri berat a la Mahathir yang
gagal, yang akan menjamin kedudukan dan masa depan negara dalam alaf baru.
Sasaran ini memerlukan masyarakat yang mempunyai tahap keilmuan, kecerdasan
berfikir serta kreativiti yang tinggi.
Ia berkait rapat dengan pembentukan sebuah negara yang benar-benar demokratik
dan adil, kerana itulah prasyarat untuk membebaskan potensi individu dan negara.
Ia memerlukan pendekatan baru dan menyeluruh terhadap pendidikan. Ia memerlukan
individu yang mampu mengawasi dan mendisiplinkan diri, bukan hanya sekadar
menunduk kepada perintah atau sekadar akur hanya apabila diawasi dan dikawal.
Malah, kemampuan mengawasi dan mendisiplinkan diri adalah asas akhlak dalam era
teknologi maklumat, kerana itu sahaja yang mampu menangkis pengaruh, nilai dan
kegiatan yang negatif.
Sementara itu, perkembangan antarabangsa jelas membuktikan bahawa ekonomi
global yang sedang muncul tiada belas kasihan dan akan mendatangkan kesan buruk
dari segi memperluaskan jurang pendapatan di dalam negeri dan di antara negara.
Kami ingin menghalang gejala ini, juga amat prihatin akan keperluan rangka
sosial supaya membantu rakyat menghadapi cabaran ini melalui usaha pendidikan,
latihan dan kebajikan yang serius dari awal-awal lagi.
Rancangan
Bertindak
Berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dihuraikan dalam Muqadimah di atas, maka
kami kemukakan, secara lebih terperinci, perkara-perkara utama yang patut
dilaksanakan oleh kerajaan negara ini. Langkah-langkah permulaan untuk
membangunkan sistem pemerintahan yang demokratik, telus, bertanggungjawab (accountable),
serta berakhlak untuk menyediakan suasana di mana ekonomi kita boleh pulih
kembali dengan lebih teguh, mantap dan mampan, rakyat boleh hidup dengan makmur,
bebas dan sentosa, dan tanahair kita benar-benar disegani dunia.
Oleh itu, dalam penggal parlimen nanti, kami bercadang mengambil
langkah-langkah tertentu bersesuaian dengan alaf baru demi:
- mengukuhkan ekonomi negara;
- meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran;
- mewujudkan kontrak sosial baru;
- memupuk perpaduan nasional;
- membina demokrasi tulen; dan
- memulihkan imej dan kedudukan Malaysia di pentas dunia
Secara am, sasaran jangka panjang kami ialah sebuah masyarakat maju yang
adil
- yang memenuhi potensi insan dari segi jasmani, mental dan rohani;
- yang matang dari segi politik;
- yang bersifat penyayang;
- yang kreatif;
- yang mempunyai nilai dan orientasi hidup yang seimbang;
- yang benar-benar menyumbang kepada kebangkitan semula Asia dalam ertikata
yang menyeluruh, bukan hanya ekonomi dan teknologi.
1. Mengukuhkan Ekonomi
1.1. Kurangkan beban rakyat
Kami ingin mengurangkan beban ke atas rakyat. Maka, langkah-langkah di bawah
perlu diambil oleh pemerintah:
1.1.1. Kurangkan beban
cukai
- Meningkatkan paras pendapatan yang dikecualikan cukai ke RM12,000 setahun
di samping meningkatkan elaun anak-anak ke paras yang munasabah;
- Meningkatkan paras pengecualian cukai pendapatan untuk isteri yang bertugas
sebagai surirumah sepenuh masa sebagai tanda penghargaan akan sumbangan besar
mereka;
- Meningkatkan paras pengecualian cukai khidmat kepada jumlah niaga sejuta
ringgit setahun;
- Menyemak semula sistem percukaian negara secara keseluruhannya, dengan
tujuan untuk memperkukuhkan hasil kerajaan sambil mengurangkan beban cukai
terhadap rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
1.1.2. Hapuskan
kemiskinan mutlak
- Menghapuskan kemiskinan mutlak dalam jangka masa separuh penggal;
- Mengurangkan kadar kemiskinan dalam jangka masa satu penggal kepada paras
separuh daripada kadar kemiskinan pada tahun 1999;
- Membaiki dasar serta rancangan pembasmian kemiskinan supaya dibebaskan
daripada campurtangan politik dan benar-benar membantu golongan termiskin;
- Menyelaraskan berbagai program pembasmian kemiskinan yang sedia ada;
- Mengurangkan jurang pendapatan serta kekayaan di kalangan rakyat Malaysia
tanpa menjejaskan hak sah semua rakyat.
1.1.3. Bantu peniaga kecil
dan penjaja
- Menamatkan amalan pelesenan peniaga kecil dan penjaja sebagai sumber
pendapatan negara dan sebagai alat politik kepartian, sebaliknya menggunakan
sistem pelesanan hanya untuk pengurusan dan pemantauan demi menjamin
keselesaan dan kesihatan rakyat, peniaga kecil dan penjaja;
- Menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang selesa, bersih dan menarik
bagi penjaja.
1.1.4. Baiki
perkhidmatan pengangkutan awam
- Membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam dan mengurangkan kadar tambang
pada keseluruhannya supaya sesuai dengan taraf hidup rakyat;
- Memberi permit teksi kepada pengusaha-penguasaha individu dan koperasi
mereka, bukan lagi kepada syarikat besar;
- Meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan teksi oleh pengusaha individu
melalui pembentukan koperasi, persatuan, majlis dan sebagainya untuk
menghasilkan sistem pengangkutan teksi yang teratur;
- Menurunkan kadar tambang penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia
dengan Sabah dan Sarawak demi mendorong integrasi nasional dan pelancongan
dalam negeri;
- Memodenkan dan mempertingkatkan perkhidmatan keretapi di Semenanjung
Malaysia;
- Memajukan sistem jalanraya di Sabah dan Sarawak;
- Memberi perhatian yang lebih serius terhadap masalah kemalangan dan bahaya
lalu lintas dengan menyediakan kemudahan serta peraturan sesuai yang dapat
menjamin keselamatan orang ramai;
- Mengkaji kemungkinan cara pengangkutan awam baru di bandar-bandar utama di
Malaysia untuk membaiki mutu hidup di bandar;
- Mengadakan perkhidmatan pengangkutan bas-bas sekolah yang lebih teratur dan
menasabah dari segi tambang untuk meringankan beban kepada ibu-bapa.
1.2. Pertumbuhan Dinamik
dan Adil
- Supaya ekonomi kita lebih dinamis dan untuk meningkatkan daya saing kita di
pasaran global, kita perlu juga pertingkatkan permintaan domestik serta
pelaburan domestik yang produktif, bukan membazir. Maka, kami akan:
- Mengkaji semula rangka pengawasan yang sedia ada, dengan tujuan mengatasi
kekurangannya;
- Memastikan sektor swasta berteraskan etika pengurusan korporat, sedangkan
sektor perbankan dan kewangan tidak disalahgunakan dan senantiasa diuruskan
dengan telus dan bertanggungjawab;
- Mengutamakan projek-projek yang menjana manfaat yang paling besar kepada
rakyat seperti projek-projek perumahan kos sederhana dan rendah, projek
memodenkan sistem keretapi, projek jalanraya di negeri Sabah dan Sarawak, dan
sebagainya;
- Menghentikan projek-projek mega seperti Empangan Bakun dan Empangan Sungei
Selangor yang membazir, memusnahkan alam sekitar dan tidak mendatangkan
manfaat kepada rakyat;
- Mempertingkatkan peluang ekonomi yang saksama bagi semua rakyat, dengan
memberikan perhatian khusus dan bantuan khas kepada golongan yang dhaif, dan
sokongan yang cekap untuk inisiatif usahawan tempatan, terutamanya usahawan
kecil dan sederhana;
- Memastikan pembangunan ekonomi seimbang lagi mampan, dan tidak menjejaskan
keutuhan sosial atau memusnahkan alam sekitar dan sumber alam;
- Memastikan rakyat miskin atau kurang berada di kampung-kampung tradisi,
kampung-kampung baru dan ladang-ladang diserap ke dalam arus utama pembangunan
negara menerusi rancangan pembangunan khas serta memberikan punca pendapatan
lebih baik, pekerjaan dan milik tanah kepada mereka.
- Memastikan bahawa hak istimewa tidak disalahgunakan untuk memberi kemewahan
kepada segelintir suku-sakat orang berkuasa.
1.2.1. Memantapkan
perindustrian
Walaupun perindustrian di Malaysia agak maju, kemampuan industri Malaysia
masih agak ketinggalan dan kurang diberi perhatian dan sokongan sewajarnya.
Kemampuan industri Malaysia masih tidak seimbang dan harus diutamakan dengan
dasar serta institusi yang sesuai memandangkan masalah serta cabaran yang
dihadapi. Maka, kami akan:
- Memodenkan ekonomi dan membanyakkan industri dengan daya pengeluaran tinggi
bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara dan menggalakkan eksport yang
bernilai tinggi;
- Mengatasi kelemahan teknologi industri kita yang memperlihatkan jurang yang
agak luas di antara yang agak mundur dengan yang paling canggih;
- Memastikan bahawa projek-projek besar, termasuklah projek-projek industri
berat, dirancang secara sepadu dan selaras dengan pelan induk perkembangan
industri yang menasabah;
- Memberi insentif serta sokongan lebih untuk industri kecil dan sederhana.
- Menggalakkan lagi — melalui sekim insentif yang tepat — hubungan antara
industri tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, dengan
syarikat-syarikat besar antarabangsa untuk meningkatkan pemindahan teknologi
kepada industri tempatan serta kegunaan input tempatan;
- Menyokong usahawan tempatan dan menggalakkan perkembangan kemahiran serta
kemampuan sumber manusia tempatan tanpa menolak kemahiran luar;
- Menggunakan modal, kepakaran, pasaran dan teknologi luar dengan bijaksana
demi memperkukuh asas-asas ekonomi tempatan;
- Meningkatkan peranan sains dan teknologi demi kemajuan, dan memantapkan
pendidikan sains asas di samping kemudahan latihan teknikal yang sesuai;
- Meningkatkan dan mempercekapkan peruntukan kewangan serta perangsang lain
untuk penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi.
1.2.2. Mengukuhkan
pertanian dan perikanan kecil dan sederhana
Kebelakangan ini, BN telah melupakan pentingnya sektor pertanian pada
keseluruhannya, dan nasib serta masalah pekebun kecil khasnya. Kami akan
perbetulkan ini dengan tumpuan yang wajar kepada sektor asas ini, yang
sebenarnya telah menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika kegawatan ekonomi
melanda. Oleh kerana itu, Malaysia perlu:
- Mengutamakan pembangunan pertanian untuk meningkatkan pengeluaran makanan
demi keselamatan dan kestabilan negara;
- Mempertingkatkan penyelidikan pertanian, khususnya teknologi tinggi,
makanan serta kegunaan industri hasil tanaman di Malaysia;
- Menggubal undang-undang demi melindungi kepelbagaian alam (biodiversity)
dalam bidang pengeluaran pertanian dan perhutanan, serta mempertingkatkan
penyelidikan kegunaan industri bahan kepelbagaian alam;
- Mengkaji semula rancangan-rancangan FELDA, FELCRA, RISDA, MAJUIKAN serta
badan-badan kemajuan pertanian dan perikanan lainnya untuk membaiki pengurusan
dan teknologinya demi memanfaatkan para peneroka, petani dan nelayan;
- Menyusun semula monopoli pemerintah yang menelan sumber ekonomi kerajaan
supaya menjadi badan yang lebih cekap, berkesan dan sesuai dengan pasaran;
- Melaksanakan dengan tegas undang-undang pengasingan kawasan perikanan
supaya melindungi nelayan kecil daripada pencerobohan bot besar dan pukat yang
merosakkan punca perikanan tepi pantai;
- Membangunkan lebih banyak tanah terbiar untuk meningkatkan pembangunan
pertanian.
1.2.3. Teknologi dan
ekonomi maklumat untuk semua
Rakyat Malaysia menyedari teknologi maklumat (IT) telah muncul dengan cepat
sebagai bidang yang amat penting dan dinamik dalam ekonomi global, sedangkan
pimpinan Mahathir telah banyak memberi perhatian kepadanya. Akan tetapi, masih
terdapat beberapa jurang yang amat luas, misalnya di antara bandar dan luar
bandar, yang mesti diatasi supaya kita tidak akan ketinggalan zaman dengan kesan
yang malang bagi mereka yang tertinggal.
Oleh demikian, kami akan berusaha:
- Mempercepatkan penyambungan infrastruktur telekomunikasi ke seluruh pelusuk
negara dan mengurangkan kos penggunaannya bagi rakyat jelata;
- Mengembangkan pendidikan teknologi maklumat (IT) di semua sekolah dari
sekolah rendah;
- Merancang semula pengenalan teknologi maklumat (IT) kepada masyarakat umum
dengan lebih berkesan;
- Melancarkan program ‘satu kampung, satu pusat IT’ dengan memberi
insentif yang wajar untuk menggalakkan penyebaran kemudahan teknologi maklumat
di pekan kecil dan di luar bandar;
- Mewajibkan perancangan infrastruktur teknologi maklumat di semua skim
perumahan yang baru, termasuk rumah kos murah dan sederhana, dan memodenkan
infrastruktur ini di kawasan perumahan sedia ada dengan cara yang paling
cekap;
- Berunding dengan pengeluar perisian untuk mendapat perisian yang murah
untuk pasaran tempatan.
1.2.4. Utamakan perusahaan
kecil dan sederhana
Perusahaan kecil dan sederhana boleh memainkan peranan yang penting, bukan
hanya untuk pemulihan ekonomi, malah dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa.
Akan tetapi, amatlah ketara rangka institusi kini perlu dirombak semula supaya
benar-benar menyokong pembangunan dan perkembangan perusahaan ini. Banyak
insentif perlu diberi untuk menggalakkan peningkatan secara berterusan teknologi
pengeluaran dan perkhidmatan perusahaan kecil dan sederhana serta daya
pengeluaran mereka. Sehubungan ini, kita perlu:
- Menubuhkan dana pelaburan yang dijamin oleh kerajaan untuk pembangunan
perusahaan kecil dan sederhana yang diperuntukkan mengikut prestasi, bukan
pilih kasih politik.
1.2.5. Merombak rangka
dasar penswastaan
Cukup ketara bahawa dasar penswastaan Barisan Nasional dan pelaksanaannya
telah banyak diselewengkan demi menguntungkan segelintir orang dengan pendekatan
pilih kawan (kronisme) dan pilih keluarga (nepotisme). Melalui penyelewengan
demikian, monopoli swasta telah menggantikan monopoli awam sehingga rakyat
dibebankan dengan harga yang terus meningkat. Rangka pengawasan yang sepatutnya
melindungi kepentingan awam hampir tiada atau pun tidak berkesan.
Penswastaan boleh digunakan secara berhati-hati demi pembangunan negara,
tetapi dasar penswastaan serta pelaksanaannya perlu dirombak. Kalaulah sektor
swasta boleh mengurus perkhidmatan dan memajukan projek dengan lebih cekap dan
menarik modal yang kekurangan, sektor swasta boleh dijemput mengambilalihnya
daripada sektor awam asalkan kepentingan awam tidak dikorbankan, seperti berlaku
di bawah BN. Kemudahan awam yang bersifat monopoli tidak patut dibenarkan
menjadi monopoli swasta. Di bawah BN, faedah daripada penswastaan dibolot oleh
kroni pemimpin-pemimpin tertentu, sedangkan hanya sedikit faedah yang tumpah
kepada rakyat atau pun sektor awam. Kami berjanji:
- Menggantikan dasar penswastaan kini, yang mengandungi unsur udang di
sebalik batu, dengan dasar penswastaan telus yang dapat memelihara kepentingan
pengguna serta pekerja, dan menjamin hak rakyat. Oleh yang demikian, kami akan
memastikan bahawa butir-butir semua kontrak penswastaan diumumkan kepada orang
ramai;
- Memastikan bahawa dasar penswastaan memanfaatkan masyarakat, dan bukan lagi
sekadar menggantikan monopoli awam dengan monopoli swasta;
- Memastikan bahawa segala kemudahan dan perkhidmatan awam yang asasi —
seperti air, pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat — hanya
diperbadankan atau dikorporatkan demi membaiki pengurusan, tetapi tidak
diswastakan;
- Memastikan bahawa perusahaan awam yang telah pun diswastakan akan diawasi
dengan rapi untuk memelihara kepentingan rakyat (perusahaan yang telah pun
diswastakan tidak akan dihakmiliknegarakan kerana kami akan patuh kepada
undang-undang negara; namun, kontrak yang tidak sah boleh dimansuhkan demi
kepentingan rakyat dan negara);
- Membentuk sebuah Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji dan mengaudit semua
projek besar yang telah diswastakan untuk memastikan manfaatnya kepada rakyat.
1.2.6. Memantapkan Sistem
Kewangan
Malaysia mesti menyediakan rangka yang perlu untuk mengurus sistem kewangan
kita dengan lebih baik supaya dapat mengambil tempatnya bersama negara-negara
lain dalam masyarakat kewangan antarabangsa. Maka itu, kami akan membatalkan
langkah-langkah kawalan modal 1 September 1998 dan menggantikannya dengan sistem
baru untuk mengawasi pengaliran kewangan supaya dapat mengelak krisis 1997-8
daripada berulang.
Kami akan memperkemaskan sistem kewangan dalam negeri supaya:
- bersifat adil, telus, bertanggungjawab serta tidak bercanggah dengan
nilai-nilai Islam;
- menyalurkan pelaburan dan kemudahan kredit ke bidang yang produktif, bukan
ke bidang spekulatif;
- memulihkan imej, prestij dan kewibawaan Bank Negara;
- memastikan perbelanjaan persekutuan disalurkan terutamanya untuk
mempertingkatkan taraf hidup golongan miskin, serta kawasan desa dan
pendalaman yang masih terpinggir.
Sistem percukaian juga akan diteliti dengan tujuan menggunakannya untuk
menggalakkan para pengguna dan pengusaha industri supaya lebih peka terhadap
pemeliharaan alam sekitar serta perkara-perkara lain yang diingini dari segi
kepentingan negara. Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah percukaian
terhadap untung spekulasi, pengurangan beban cukai pendapatan upah, gaji dan
dividen, dan percukaian terhadap sumber-sumber alam untuk menggalakkan
penggunaannya yang cermat.
2. Meningkatkan Ketelusan dan
‘Accountability’
2.1. Ke arah politik yang
demokratik dan adil
Keperluan proses pemerintahan yang lebih demokratik amat mendesak. Ketelusan
serta akauntabiliti (accountability) perlu diterapkan ke dalam semua
aspek pentadbiran kerajaan, tanpa mengganggu-gugat kelicinan pentadbiran.
Kami akan menggalakkan pengagihan kuasa sehingga ke peringkat tempatan supaya
lebih melibatkan kerajaan negeri dalam pembangunan negeri masing-masing, sambil
menghidupkan kembali penyertaan rakyat dalam pemilihan kerajaan tempatan seperti
majlis perbandaran, dan sebagainya. Selain itu, kami berikrar melakukan
perkara-perkara di bawah:
- Memperkuatkan kewibawaan Parlimen melalui penubuhan
jawatankuasa-jawatankuasa tetap yang terdiri dari semua parti yang diwakili
dalam Parlimen dengan kuasa menamakan Peguam Negara, Hakim Negara dan
Hakim-Hakim lain, Ketua Polis Negara dan Gabenor Bank Negara yang akan
dilantik oleh DYMM Yang di Pertuan Agong di bawah Perlembagaan;
- Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua
Menteri kepada dua penggal pada masa hadapan;
- Menjamin kebebasan media supaya dapat mengawasi dan mendedahkan
penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa jika berlaku;
- Melaksanakan secara tegas semua undang-undang yang kini mewajibkan
mendengar pandangan orang awam (public hearing) sebelum sesuatu projek
dilaksanakan atau peraturan dipinda, seperti Akta Perlindungan Alam Sekitar,
pindaan kepada taksiran nilai hartanah, dll.;
- Mengkaji semula kaedah pemilihan anggota Dewan Negara dengan tujuan
memperkenalkan kaedah yang mencerminkan kepentingan seluruh rakyat;
- Memperkenalkan semula sistem pilihanraya bagi kerajaan tempatan supaya
pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi dapat menegakkan prinsip
akauntabiliti;
- Memperkenalkan sistem hisbah (ombudsman) sebagai badan pengaduan
awam yang bebas lagi berkesan;
- Melindungi, melalui undang-undang, individu atau kumpulan, yang mendedahkan
penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, terutamanya di peringkat
atasan.
- Menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah badan bebas yang
dilindungi oleh perlembagaan dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen; BPR
mestilah diketuai oleh tokoh yang berwibawa;
- Mewajibkan pengisytiharan harta wakil-wakil rakyat dilakukan secara terbuka
pada setiap tahun;
- Meningkatkan kewibawaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan memberikan
kuasa penuh perlantikan Pengerusi serta anggota-anggota lain SPR kepada
Parlimen melalui proses ‘open hearing’;
- Membersihkan daftar pemilih supaya bebas daripada ‘pengundi hantu’,
‘pengundi bertindih’, dan warganegara asing;
- Mengurangkan had umur mengundi bagi warganegara Malaysia kepada 18 tahun
dan menjamin pendaftaran semua warganegara secara otomatik sebagai pengundi
yang sah.
2.2. Pulihkan kewibawaan
perundangan dan kehakiman
Dalam beberapa tahun ini, pucuk pimpinan pemerintah sekarang telah melemahkan
kepercayaan umum terhadap kewibawaan perundangan dan kehakiman di negeri ini.
Untuk memulihkan kewibawaan ini, kami berikrar akan melaksanakan perkara-perkara
berikut:
- Membentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk mengkaji semula sistem kehakiman
dan pentadbiran undang-undang negara, dan membuat syor-syor wajar untuk
dilaksanakan, termasuk syor-syor untuk menjamin kebebasan kehakiman,
perlantikan dan pemecatan hakim dan penyalahgunaan undang-undang menghina
mahkamah
- Memulihkan imej dan kedudukan Polis DiRaja Malaysia dengan menubuhkan satu
jawatankuasa tetap sebagai Suruhanjaya Polis yang bebas untuk menerima dan
mempertimbangkan rayuan rakyat jelata berkenaan kelakuan polis;
- Memastikan bahawa Peguam Negara tidak boleh menjadi ahli yang turut
mengundi dalam membuat keputusan Lembaga Pengampunan, tetapi hanya menjadi
sumber nasihat dan maklumat untuk lembaga tersebut;
- Mengasingkan perkhidmatan perundangan dan kehakiman, supaya kedua-duanya
tidak sekali gus dikuasai oleh Peguam Negara;
- Menjamin sistem ‘checks-and-balances’ dengan meminda segala
undang-undang yang kini menidakkan kuasa penilaian semula kehakiman (judicial
review), termasuk undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,
dll.;
- Mengkaji semula kedudukan, pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang
syariah bagi menjamin perlaksanaan keadilan dan melindungi aqidah umat Islam.
2.3 Pulihkan kewibawaan
perkhidmatan awam
Anggota perkhidmatan awam negara mempunyai kebolehan dan profesionalisme yang
tinggi.
Di bawah Kerajaan Barisan Nasional, terutamanya kebelakangan ini, potensi
penuh perkhidmatan awam tidak tercapai. Sebaliknya, semangat anggotanya semakin
merosot kerana perkhidmatan awam telah dipolitikkan dengan berbagai cara
sehingga menjejaskan profesionalisme anggotanya. Budaya mengiyakan pemimpin
politik digalakkan sehingga menggantikan budaya integriti dan berkhidmat demi
kepentingan awam.
Perkhidmatan awam memerlukan perubahan paradigma dan harus diberi peranan
yang berpatutan untuk mengurus pembangunan dan pentadbiran negara tanpa diganggu
oleh politik kepartian.
Demi itu, kami berjanji akan:
- Memulihkan kewibawaan perkhidmatan awam, dengan memanfaatkan sepenuhnya
kepakaran dan pengalaman yang terdapat di kalangan para anggota perkhidmatan
awam;
- Mengganggap anggota perkhidmatan awam sebagai pasangan yang setaraf dalam
usaha membangunkan negara;
- Mengadakan reformasi sektor awam yang perlu demi meningkatkan kecekapannya
dan menaikkan semangat dan etika bekerja dengan memperbaiki keadaan bekerja
dalam sektor awam;
- Berusaha menghapuskan jurang dari segi syarat perkhidmatan di antara sektor
awam dan sektor swasta, terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai
kelayakan yang sama dan melaksanakan tugas yang sama;
- Mengurangkan jurang pendapatan antara peringkat tertinggi dan peringkat
pertengahan dan bawah sebagai teladan bagi sektor swasta;
- Menggalakkan anggota perkhidmatan awam menunjukkan iltizam yang baru demi
berkhidmat untuk rakyat dan negara, bukan untuk pemimpin politik.
3. Kontrak
Sosial Menuju Alaf Baru
Keghairahan Kerajaan BN memajukan projek ‘mega’ dan menswastakan
kemudahan-kemudahan sosial telah mengenepikan kepentingan dan keperluan rakyat
jelata. Maka, perlu dijalin satu ‘kontrak sosial’ baru antara pemerintah dan
rakyat - yang akan mengutamakan keperluan dan kepentingan rakyat pada masa
depan. Kami menganggap hak mendapat perumahan, pendidikan dan kesihatan sebagai
hak asasi rakyat jelata
3.1. Pendidikan
Pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap pentingnya pendidikan merupakan suatu
kekuatan nasional. Sikap ini boleh menjamin masa depan rakyat masing-masing dan
negara keseluruhannya.
Pendidikan yang luas juga merupakan satu cara utama untuk mengurangkan jurang
sosio-ekonomi, di samping menyediakan rakyat untuk menghadapi cabaran masa depan
dan globalisasi.
Sekolah dan institusi pengajian tinggi telah dibangunkan di seluruh negara
dan telah berjaya mendidik ramai orang, tetapi malangnya, ramai lagi yang tidak
berpeluang melanjutkan pendidikan mereka sehingga memenuhi potensi
masing-masing.
Di samping itu, semua warga institusi pengajian menyedari kelengkapan serta
mutu pendidikan dalam negeri semakin merosot, sedangkan semangat guru-guru
sekolah dan pensyarah institusi pengajian tinggi semakin lemah.
Kemerosotan ini mesti dihentikan dan pembangunan sepadu - yang merangkumi
peruntukan serta kurikulum - mesti diutamakan. Penglibatan guru-guru dan
pensyarah dalam proses pengurusan amat perlu untuk meningkatkan semangat
mengajar.
Masalah utama kini ialah sikap Kerajaan BN, yang mahu menswastakan pendidikan
dan menganggap pendidikan sebagai satu lagi cara mengaut keuntungan, iaitu
sebagai satu jenis perniagaan. Falsafah dan orientasi institusi pendidikan
swasta harus disesuaikan dengan kepentingan awam untuk mengutamakan cita-cita
pendidikan, bukan keuntungan semata-mata - seperti berlaku di banyak negara
lain.
Maka, kami bercadang mengambil langkah-langkah berikut sebagai langkah
permulaan ke arah sebuah sistem yang memenuhi keperluan dan hasrat rakyat untuk
pendidikan, serta kepentingan negara dan masyarakat:
- Menegaskan bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab asasi negara, meskipun
sistem pendidikan swasta dibenarkan;
- Sebuah Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan akan ditubuhkan untuk
memastikan penghayatan Falsafah Pendidikan Negara dan perlaksanaan Dasar
Pendidikan Kebangsaan secara berkesan dan adil;
- Menghentikan segala usaha ke arah penswastaan institusi pengajian tinggi
awam dan mengkaji semula pelaksanaan dasar pengkorporatan supaya memastikan ia
berpegang kepada prinsip pendidikan dan bukan keuntungan kewangan;
- Memperuntukkan perbelanjaan pendidikan supaya lebih seimbang dan adil dan
tiada golongan yang diabaikan;
- Mengagihkan lebih biasiswa dan bantuan pendidikan lain berdasarkan
keperluan;
- Memperbanyakkan kemudahan taska dan tadika, terutamanya untuk golongan
berpendapatan rendah;
- Menjamin terdapatnya pendidikan wajib yang percuma untuk peringkat sekolah
rendah dan menengah rendah;
- Meningkatkan mutu dan kemudahan sekolah di kawasan pendalaman, terutamanya
di Sabah dan Sarawak;
- Mengkaji semula sekim perkhidmatan guru serta memperkenalkan insentif
tambahan untuk berkhidmat di kawasan pendalaman;
- Menaikkan taraf latihan guru untuk semua peringkat sekolah dan meningkatkan
bilangan guru yang dilatih selaras dengan permintaan;
- Memperbanyakkan peluang latihan lanjutan untuk guru dan pensyarah supaya
sentiasa kemaskini dari segi pengetahuan dan kemahiran mereka masing-masing;
- Memantapkan mutu dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di
kalangan rakyat;
- Menggalakkan dan mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa sastera dan
budaya yang dinamik, yang diterima dan digunakan oleh semua kaum di Malaysia;
- Menjamin hak mempelajari bahasa ibunda seperti Cina, Tamil, Iban,
Kadazandusun dan lain-lain di sekolah dan membaiki pelaksanaan peraturan dasar
bahasa ibunda supaya lebih cekap, bermutu dan peka terhadap permintaan
ibu-bapa; guru bahasa ibunda yang terlatih mesti disediakan oleh sekolah
kerajaan kalau terdapat sekurang-kurangnya sepuluh anak murid yang menghendaki
guru bahasa berkenaan dan latihan guru bahasa ibunda akan ditingkatkan di
kolej latihan guru dan di institusi pengajian tinggi awam;
- Mengekalkan aliran bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah seperti
yang wijud pada masa kini, di samping menggalakkan integrasi di kalangan para
pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum, misalnya menerusi kegiatan
ko-kurikulum;
- Menambahkan jumlah dan kemudahan sekolah bahasa ibunda sesuai dengan
permintaan;
- Memajukan pengajaran serta pembelajaran bahasa-bahasa antarabangsa,
terutamanya bahasa Inggeris dan bahasa Arab mengikut keperluan dari semasa ke
semasa;
- Meningkatkan mutu dan kemudahan yang terdapat di sekolah rendah dan
menengah agama;
- Memperkukuhkan kedudukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sedia
ada dan meningkatkan prestasi mereka;
- Memperbanyakkan bilangan IPTA secara teratur supaya tidak melemahkan IPTA
yang sedia wujud untuk membolehkan mereka menerima pelajar-pelajar yang layak
dengan yuran pengajian yang paling minima atau percuma;
- Memperluaskan skim biasiswa dan pinjaman, terutamanya untuk pelajar-pelajar
dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana;
- Menjamin otonomi universiti dan institusi pengajian tinggi serta mutu
mereka dengan membentuk Suruhanjaya Universiti yang akan menyelia pengurusan
semua universiti, dan meminda AUKU supaya menegakkan hak asasi masyarakat
akademik, termasuk siswa-siswi;
- Mengadakan saluran TV pendidikan untuk melengkapi pendidikan formal dan
untuk menggalakkan pendidikan berterusan sepanjang umur, dengan bantuan sektor
korporat swasta dan institusi-institusi pendidikan awam dan swasta;
- Memperluaskan skop Lembaga Akreditasi Negara untuk memantau, mengkaji dan
mengiktiraf taraf akademik diploma, ijazah dan sijil peperiksaan di luar
sistem pendidikan kebangsaan. Ijazah-ijazah dari institusi pengajian tinggi
Arab, Indonesia, Filipina, Taiwan, India, Pakistan, China dan negara-negara
lain serta sijil-sijil persekolahan tempatan - seperti Sijil Peperiksaan
Sekolah Bebas Bersatu (United Independent Schools Examination, UISE) - perlu
ditimbangkan dari segi taraf akademiknya.
3.2. Kesihatan
Kerajaan Barisan Nasional mempunyai rancangan pengkorporatan sistem kesihatan
awam sebagai langkah ke arah penswastaan. Rancangan ini dijalankan tanpa
perundingan yang wajar dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk kakitangan
sistem kesihatan dan rakyat jelata. Setelah dibantah oleh orang ramai,
Kerajaan BN terpaksa mengumumkan pembatalan rancangan asalnya menjelang
pilihanraya, tetapi sedang memindakannya untuk dilaksanakan setelah pilihanraya.
Walhal, Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam antara yang terbaik dan
termurah dari segi kecekapan belanjanya di dunia. Ini telah dicapai dengan
peruntukan belanjawan yang sedikit — pada puratanya, sebanyak 7% daripada
perbelanjaan mengurus dan 4% daripada perbelanjaan pembangunan dalam tempoh
Rancangan Malaysia Ketujuh setakat ini (1996-1999). Tiada sebab kewangan mengapa
sistem ini perlu diswastakan pada ketika ini.
Oleh demikian, pihak-pihak berkuasa patut mengadakan perundingan dengan semua
pihak yang berkenaan tentang cara-cara terperinci untuk meningkatkan lagi mutu
perkhidmatan. Demi mempertahankan dan memajukan lagi mutu perkhidmatan ini, kami
mencadangkan langkah-langkah berikut:
- Menubuhkan Majlis Kesihatan Kebangsaan, yang bertujuan memelihara
kepentingan semua rakyat, untuk memajukan lagi mutu kesihatan;
- Membatalkan semua program untuk menswastakan sistem kesihatan awam;
- Mengkaji semula — dari segi kos dan mutu perkhidmatan — segala
perkhidmatan kesihatan yang telah diswastakan;
- Meningkatkan peruntukan perbelanjaan untuk sektor kesihatan;
- Merombak sekim perkhidmatan kakitangan kesihatan kerajaan supaya lebih
menasabah memandangkan beban kerja serta tanggungjawab mereka;
- Mengekalkan perkhidmatan rawatan kos rendah untuk semua rakyat;
- Menubuhkan suruhanjaya untuk mengkaji kekurangan sistem kesihatan yang
sedia ada untuk mengemukakan cadangan yang perlu untuk memajukan sistem
kesihatan sektor awam;
- Mengawasi perkhidmatan rawatan swasta untuk mereka yang mampu dan
memerlukannya supaya mengurangkan penyelewengan;
- Mewujudkan pusat kebangsaan kawalan penyakit bagi melakukan kajian,
memantau dan mengawal penyakit-penyakit;
- Memperbanyakkan peluang pendidikan serta latihan kepakaran yang berterusan
untuk doktor, jururawat dan kakitangan makmal;
- Mengkaji untuk mengiktiraf kaedah-kaedah rawatan complementary
(seperti homeopathy dan perubatan tradisional) ke dalam sistem kesihatan
Malaysia;
- Mempertingkatkan kegiatan-kegiatan promosi dan pendidikan kesihatan, serta
kegiatan-kegiatan pencegahan dan pemantauan penyakit;
- Menggalakkan penglibatan kaum wanita dalam sektor perubatan, termasuk
melatih lebih ramai doktor wanita demi menangani masalah pesakit wanita.
3.3. Perumahan
Perumahan yang selesa pada harga yang berpatutan merupakan satu keperluan
asasi. Keperluan ini makin mendesak dengan proses perbandaran — kini, hampir
60% daripada penduduk Malaysia berada di kawasan bandar.
Program pembangunan perumahan kos rendah dan sederhana Kerajaan Barisan
Nasional jelas telah gagal sejak tahun lapan puluhan. Akibat dasar songsangnya
dan amalan spekulasi tanah yang berlebihan, terdapat penawaran yang berlebihan
bagi perumahan pada harga yang di luar kemampuan golongan pendapatan rendah dan
sederhana. Maka, golongan-golongan ini telah bertahun-tahun menunggu giliran
mereka; antara hasil kehampaan ini ialah fenomena peneroka bandar
(“setinggan”).
Barisan Alternatif akan menubuhkan sebuah Perbadanan Perumahan Rakyat dengan
tugas memenuhi permintaan perumahan kos rendah dan sederhana. Program pembinaan
ini boleh dikorporatkan dan kerajaan akan menguruskan peruntukan perumahan.
Secara tidak langsung, program ini akan mengurangkan harga perumahan di pasaran
terbuka, yang akan menguntungkan semua rakyat.
Selagi masalah perumahan tidak selesai, hak peneroka bandar hendaklah terus
diiktiraf. Peneroka bandar berhak mendapat perumahan alternatif atau pampasan
lain yang wajar kalau dikehendaki berpindah untuk melicinkan pembangunan. Di
samping itu, Kerajaan Alternatif akan:
- Memperbanyakkan rumah kos rendah baik dan selesa yang dapat memenuhi
keperluan asas seisi keluarga dari segi ruang persekitaran;
- Menyelesaikan masalah “setinggan” dengan segera, terutamanya di kawasan
bandar, sebaik-baiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau sistem
perkongsian tanah (land sharing)
- Kekerasan dan pemaksaan mesti dielakkan dalam proses penempatan semula kaum
“setinggan”. Perundingan hendaklah dijalankan di antara
“setinggan”, pemaju dan pihak berkuasa terlebih dulu untuk menyetujui
soal-soal rumah/tanah ganti atau pampasan.
- Berusaha untuk menyediakan kemudahan pinjaman yang murah bagi membantu
peneroka bandar memiliki rumah sendiri.
- Kemudahan awam di kawasan rumah pangsa hendaklah diperbanyakkan untuk
menjamin pertumbuhan sahsiah yang seimbang.
3.4 Perkhidmatan Sosial
Kami akan memberi tumpuan yang lebih kepada keperluan sosial rakyat,
terutamanya mereka yang kurang bernasib. Akan tetapi, ini hanya dapat dilakukan
dengan bantuan dan kerjasama daripada pertubuhan sosial dan komuniti. Maka, kami
akan mengeratkan perhubungan dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut dan
menggalakkan mereka mengambil peranan yang lebih besar dengan sokongan daripada
kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan.
- Memastikan bahawa negara menyediakan perkhidmatan sosial yang menyeluruh,
adil dan cekap sebagai salah satu tanggungjawab asasi kerajaan.
- Memastikan setiap projek perumahan yang melebihi saiz tertentu menyediakan
kemudahan-kemudahan sosial, seperti padang, kelab rekreasi awam, perpustakaan
dan sebagainya untuk kegunaan rakyat awam.
- Mengadakan suatu sistem yang tersusun lagi menyeluruh untuk melindungi dan
membantu kebajikan golongan fakir miskin, anak yatim, dan ibu atau bapa
tunggal.
- Memastikan bahawa peluang dan hak yang sama disediakan untuk orang cacat
bagi memperoleh kemajuan diri, pendidikan, kerjaya, penyertaan dalam
masyarakat dan kemudahan yang perlu untuk hidup berdikari di semua kawasan,
kemudahan dan bangunan awam.
3.5. Alam Sekitar
Kerajaan BN hanya bercakap manis tentang alam sekitar dan pembangunan mampan.
Walhal, mereka tiada program untuk pembangunan bestari terhadap sebarang aspek
alam sekitar (sama ada perhutanan, perikanan, perairan dan udara), malah tidak
berupaya menggembelingkan tenaga rakyat untuk memelihara persekitaran hidup
mereka. Kebanyakan petunjuk alam sekitar menunjukkan kemerosotan mutu alam
sekitar, walaupun kerajaan pernah merahsiakan indeks pencemaran udara apabila
jerebu bertambah buruk. Apabila sesuatu yang tidak dikehendaki berlaku, seperti
keruntuhan tanah, pemimpin kerajaan pandai menyalahkan orang ramai, negara
jiran, malah Tuhan juga!.
Bumi adalah anugerah Tuhan kepada insan. Kadar pemusnahan dan pengurangan
sumber alam kini menimbulkan pertanyaan: Apakah yang akan menjadi pesaka
anak-cucu kita? Maka, secara prinsip, pembangunan tidak harus memusnahkan alam
sekitar, dan sebarang impak negatif pembangunan terhadap alam sekitar mesti
diminimakan melalui satu sistem pengurusan pembangunan yang menyeluruh, kukuh
serta berpandangan jauh.
Demi itu, kami berjanji:
- Menggubal dasar jangka panjang pembangunan bestari dengan penglibatan semua
golongan masyarakat supaya mendapat sokongan penuh bagi setiap peringkat
kerajaan di kalangan badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan
masyarakat umum;
- Meminda Akta Perlindungan Alam Sekitar supaya sesuatu projek tidak boleh
dilaksanakan/dimulakan tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar dan Sosial
dan komitmen penaja secara bertulis untuk melaksanakan semua syarat
pengurangan impak negatif yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar, dan
mengenalpasti prosedur penyampaian maklumat dan perundingan di dalam proses
Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) supaya melibatkan golongan utama yang
terlibat;
- Menyelaraskan undang-undang perlindungan alam sekitar di peringkat negeri
dan persekutuan supaya penguatkuasaan dan pengawasan lebih berkesan dan cekap
(cost-effective);
- Menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi harta-harta warisan
kebangsaan, dan meningkatkan denda dan hukum kerana kesalahan melanggar Akta
Perlindungan Alam Sekitar serta undang-undang perlindungan harta warisan
kebangsaan;
- Memastikan bahawa tiap-tiap negeri mengambil langkah mewartakan taman
negara atau taman pemeliharaan yang menasabah serta tapak-tapak perbandaran
dan perumahan baru dalam pelan induk;
- Berusaha ke arah penyelarasan undang-undang perhutanan dan pembalakan di
antara negeri dan mewujudkan sistem pemeriksaan yang bebas untuk memastikan
bahawa semua undang-undangnya dilaksanakan dengan tegas;
- Menggalakkan semua negeri mewartakan kawasan tadahan air yang mencukupi
bagi masa depan secepat mungkin;
- Berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri supaya melaksanakan pelan
pemeliharaan yang sedia ada serta menyediakan pelan pemeliharaan yang baru di
mana perlu.
3.6. Kepenggunaan dan Harga
Barisan Alternatif menganggap bahawa kerajaan bertanggungjawab melindungi
kepentingan rakyat sebagai pengguna, antara lain dengan memajukan mutu hidup dan
mengawal kos hidup. Oleh demikian, kami berjanji akan:
- Memperkuatkan undang-undang perlindungan pengguna, khususnya dari segi
kawalan harga barang dan kos perkhidmatan serta mutunya, terutamanya pada
musim perayaan;
- Mengkaji semula Akta Pengguna supaya sebuah Tribunal bebas ditubuhkan
dengan penyertaan badan-badan bukan kerajaan, untuk mengenalpasti senarai
barang-barang keperluan serta mengawal kenaikan harga barang-barang tersebut
dengan mewujudkan satu sistem indeks harga bagi tujuan pengawalan;
- Menggalakkan gerakan koperasi dalam bidang pengeluaran dan pengedaran
barang perlu;
- Menggalakkan persatuan-persatuan pengguna bergiat dengan lebih cergas
supaya meningkatkan tahap kesedaran pengguna akan hak mereka;
- Mengawal pengiklanan supaya tidak menjejaskan maruah kaum wanita atau
golongan lain.
3.7. Pekerja
Supaya Malaysia dapat meningkatkan daya saingnya di dalam ekonomi global alaf
baru, pekerja perlu bersifat fleksibel dari segi kemahiran dan kemampuan mereka,
bersikap inovatif dan sentiasa meningkatkan produktiviti mereka. Demi itu,
proses pendidikan berterusan, suasana bekerja serta rangka perhubungan
perusahaan amat penting, bukan hanya dari segi hak pekerja, tetapi juga dari
segi kepentingan negara. Kami berjanji akan:
- Membentuk rangka perundingan tiga pihak (tripartism) yang berkesan,
adil dan demokratik, dan meminda undang-undang buruh, kesatuan sekerja dan
perhubungan perusahaan sesuai dengannya;
- Memansuhkan atau meminda undang-undang yang menyekat hak pekerja untuk
membentuk, menyertai dan bergiat dalam kesatuan sekerja;
- Mengkaji semula dan mengemaskinikan faedah-faedah pemberhentian kerja serta
mengkaji pembentukan dana kebangsaan bagi membantu para pekerja yang
diberhentikan (retrenchment fund);
- Menetapkan gaji minima bulanan yang menasabah untuk pekerja-pekerja bergaji
harian;
- Menetapkan gaji minima bulanan yang menasabah untuk pekerja estet dan
melaksanakan skim perumahan untuk pekerja estet secara serius;
- Memberi teladan ke arah sistem bekerja 5 hari seminggu dengan waktu kerja
biasa tidak melebihi 40 jam seminggu;
- Mengkaji semula cara pengambilan dan pengupahan pekerja asing di samping
mengurangkan pergantungan kepada mereka;
- Mengiktiraf hak penglibatan kesatuan sekerja dan pemimpin kesatuan sekerja
dalam politik kebangsaan;
- Menaikkan umur bersara kepada umur 60 tahun bagi sektor awam sesuai dengan
peningkatan kesihatan dan jangka hidup;
- Memastikan gaji atau ganjaran yang sama bagi lelaki dan perempuan untuk
kerja atau tugas yang sama;
- Meningkatkan cuti bersalin ibu di sektor awam kepada 90 hari dan
memperkenalkan cuti kebapaan suaminya sebanyak 7 hari;
- Memperbanyakkan program latihan dan pendidikan berterusan bersama sektor
swasta demi meningkatkan fleksibiliti, kemahiran dan produktiviti pekerja;
- Mengadakan program latihan semula untuk para pekerja yang diberhentikan
kerja;
- Mengkaji semula keberkesanan Institut Nasional Untuk Keselamatan dan
Kesihatan Kerja dan memperbetulkan kekurangan-kekurangannya
3.8. Wanita
Kerajaan BN menganggap kaum wanita sebagai sumber tenaga manusia sampingan;
mereka digalakkan bekerja di luar rumah apabila timbul kekurangan tenaga pekerja
dan kembali ke rumahtangga apabila pengangguran meningkat.
Kami akan:
- Memperketatkan undang-undang berkenaan hak, kepentingan dan martabat wanita
dan memansuhkan undang-undang serta peraturan yang mendiskriminasi terhadap
wanita.
- Melindungi hak serta kebajikan wanita yang ditinggalkan suami tanpa nafkah
yang berpatutan.
- Meneruskan penerimaan pencen bagi balu walaupun mereka berkahwin lain.
- Menyediakan kemudahan-kemudahan asuhan bayi dalam komuniti dan di tempat
kerja.
- Memperkenalkan waktu kerja anjal bagi kaum wanita yang bekerja.
- Mengkaji Agenda Perubahan Untuk Wanita dengan tujuan untuk melaksanakan
perakuan-perakuan yang sesuai.
3.9. Belia
Kegagalan atau kurang keberkesanan berbagai program untuk belia ialah kerana
program diatur tanpa perundingan penuh dengan belia sendiri dan penyertaan
mereka. Kami akan memberi nafas baru kepada program belia melalui perundingan
bermakna dengan belia sendiri. Kami akan menimbangkan bagaimana:
- Memberi dorongan dan kemudahan kepada belia untuk mempertingkatkan bakat
dalam bidang seni, sukan dan budaya;
- Mengadakan projek-projek khusus untuk mencungkil bakat pimpinan dalam
bidang perkembangan diri, budaya, keusahawanan, dan sosial;
- Mengatasi masalah-masalah yang sering dihadapi oleh sesetengah belia
seperti pengangguran, salahguna dadah, keciciran dan masalah-masalah akhlak
dengan pendekatan yang tidak mengasingkan mereka lagi;
- Membuka peluang yang lebih luas kepada belia dari pelbagai latarbelakang
sosial untuk menyertai latihan kemahiran dan projek ekonomi;
- Menyediakan pusat pemulihan yang lebih berkesan serta peluang pekerjaan
bagi belia yang menjadi mangsa gejala sosial, supaya mereka dapat diserap
kembali ke dalam masyarakat dari segi peluang kehidupan bermasyarakat.
3.10. Warga Tua dan Pesara
Warga tua dan pesara patut mendapat tempat yang sesuai dalam masyarakat yang
pesat membangun. Oleh kerana tidak terlalu sibuk dengan beban kerja, warga tua
patut digalakkan memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat. Kerajaan
tempatan patut memulakan program di kalangan masyarakat untuk menggerakkan warga
tua ke arah ini.
Untuk menjaga kebajikan warga tua dan pesara, kami akan:
- Menetapkan kadar pencen minima supaya warga tua mampu menyara diri;
- Membolehkan pesara yang masih ingin bekerja supaya dapat menyumbang kepada
pembangunan nasional;
- Mengadakan sistem tambang separuh harga untuk para warga tua dan pesara
bagi semua jenis pengangkutan awam;
- Mewajibkan anak-anak dan waris terdekat bertanggungjawab bagi penjagaan
warga tua dan menyokong langkah demikian dengan pengecualian cukai serta
kemudahan-kemudahan lain;
- Memastikan bahawa warga tua mendapat keutamaan dalam menetapkan giliran
mengerjakan haji;
- Menggalakkan badan-badan bukan kerajaan mengembangkan lagi program dan
kursus untuk golongan warga tua dan pesara yang ingin mencungkil bakat dan
menguasai kemahiran baru, menyertai pelancongan bersifat pendidikan, kursus
bahasa, pendidikan jasmani, dan sebagainya.
4.
Perpaduan Nasional
Perpaduan nasional masih merupakan cabaran besar bagi Malaysia. Oleh
demikian, Barisan Alternatif akan menumpu perhatian terhadap usaha berterusan
untuk mengeratkan perpaduan antara semua golongan masyarakat Malaysia:
- Menghapuskan amalan dan dasar “pecah dan perintah” antara kaum yang
sering diamalkan oleh Kerajaan BN untuk terus berkuasa;
- Menegakkan perpaduan nasional berasaskan keadilan serta kepelbagaian
budaya;
- Mendukung peruntukan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan, tetapi
menentang penyalahgunaannya (misalnya untuk menguasai kekayaan bagi segolongan
kecil kroni), dan memperluaskan lingkungan tindakan afirmatif kepada golongan
yang lemah dan mundur tanpa mengira kaum, latarbelakang sosial dan agama.
- Memberi perhatian dan tumpuan yang wajar kepada Orang Asli serta semua
kelompok orang-orang asal di Sabah dan Sarawak, dan meminda berbagai dasar dan
peraturan berkenaan mereka supaya berlaku adil terhadap mereka,; termasuk
menubuhkan Suruhanjaya untuk melindungi tanah Hak Adat Orang Asal (native
customary rights, NCR) menyelesaikan masalah-masalah tuntutan tanah di samping
menghormati nilai-nilai dan tradisi masyarakat orang asal;
- Memantapkan hubungan baik antara Negeri dan Pusat dalam rangka sistem
Persekutuan yang adil dan bertanggungjawab lagi demokratik dalam
perkara-perkara seperti peruntukan kewangan, penggunaan sumber alam dan
pentadbiran tanah. Dalam hubungan ini, Perjanjian Petroleum antara Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri harus dikaji semula untuk menjamin keadilan
untuk semua pihak;
- Memantapkan integrasi nasional dengan memulihkan hak serta keistimewaan
yang pernah dijanjikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak di samping mengelakkan
penyalahgunaan keistimewaan ini oleh segelintir pemimpin politik BN serta
kroni mereka;
- Menubuhkan sebuah Majlis Hubungan Kaum yang bebas yang melapor terus kepada
Parlimen demi membantu pembentukan Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
4.1. Agama dan Budaya
Oleh kerana masyarakat adil yang menjadi hasrat kita dibina antara lain atas
asas agama dan budaya, kita harus menentukan bahawa perspektif dan pendekatan
kepada persoalan-persoalan agama dan budaya akan membantu kita mencapai matlamat
yang murni itu.
- Membentuk Suruhanjaya Kehakiman Syari’ah di peringkat Persekutuan;
- Mengurangkan pengaruh politik kepartian dalam Majlis Agama Islam
Negeri-Negeri, masjid-masjid dan institusi-institusi agama Islam yang lain;
- Memperuntukkan tanah perkuburan dan tapak rumah ibadah bagi masyarakat
bukan Islam selaras dengan prinsip kebebasan beragama;
- Memperbanyakkan dailog antara agama dan budaya untuk memupuk persefahaman
di kalangan rakyat Malaysia;
- Menggalakkan pengkajian, penerangan, perbincangan dan penghayatan semua
peradaban besar dunia yang memperkayakan budaya rakyat Malaysia;
- Mengembangkan budaya Malaysia yang berteraskan nilai-nilai akhlak dan
prinsip-prinsip hidup yang mulia. Pembentukan budaya Malaysia memerlukan sikap
terbuka kepada kepelbagaian budaya kaum dan suku kaum negara. Pada masa yang
sama, rakyat harus memahami hakikat sejarah negara dan evolusi masyarakat
Malaysia. Unsur-unsur budaya yang sihat dari luar harus diterima, tertakluk
kepada tata susila masyarakat kita.
5. Membina
Demokrasi Tulen
Demokrasi tulen memberikan ruang yang bermakna untuk penyuaraan pendapat
orang awam serta penyertaan orang awam dalam berbagai proses pemerintahan harian
dan bukan hanya sekadar mengundi lima tahun sekali.
Kumpulan-kumpulan yang berkepentingan patut dibenarkan mengutarakan dan
memperdebatkan pandangan masing-masing jika tidak menjejaskan keselamatan
negara, tidak menghasut kelakuan ganas, atau bersifat fitnah semata-mata.
Maklumat yang penting haruslah terbuka kepada semua yang menghendakinya,
tertakluk kepada undang-undang negara, yang harus dipinda untuk hanya
merahsiakan perkara yang perlu dirahsiakan seperti rahsia ketenteraan.
Kami akan mengurangkan atau menghapuskan sama sekali segala bentuk tekanan
atau ancaman pemerintah. Semua undang-undang anti-demokratik, seperti tahanan
tanpa bicara, akan dimansuhkan.
Namun, kami akan memperkenalkan berbagai peraturan minima, yang membawa
hukuman yang berat sekiranya dilanggar. Demokrasi tulen tidak bermakna ‘apa
saja pun boleh’, tetapi ia memerlukan rakyat yang bertanggungjawab supaya
mengawal diri dalam rangka peraturan-peraturan minima ini.
Kami juga akan:
- Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan menghentikan amalan penahanan
tanpa bicara.
- Menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji semula akta dan undang-undang
(seperti Akta Rahsia Resmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, AUKU, Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan, dll) dengan tujuan menghapuskan aspek-aspek yang zalim
dan mencabul hak asasi manusia.
- Menjamin kebebasan media serta hak berkumpul, bersuara dan berpersatuan
melalui pindaan kepada akta dan undang-undang tersebut; RTM akan diperbadankan
tertakluk kepada sebuah Suruhanjaya Penyiaran yang bebas.
- Memastikan bahawa semua dasar, akta dan undang-undang diselaraskan dengan
sikap menjunjung kemuliaan dan martabat insan.
- Memastikan Suruhanjaya Hak-hak Asasi Manusia yang bebas dan berwibawa untuk
melindungi dan memupuk hak-hak asasi manusia rakyat, di mana keahliannya
mewakili semua golongan utama dalam masyarakat madani.
- Menggubal suatu Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) bagi
menjamin ketelusan dan pengaliran maklumat kerajaan kepada rakyat.
- Menggubal undang-undang untuk melindungi orang yang membongkarkan rasuah,
penyelewengan dan salah laku kerajaan yang lain untuk membaiki pentadbiran.
- Menandatangani dan mengesahkan Kovenan Antarabangsa Tentang Hak-hak Sivil
dan Politik dan Kovenan Antarabangsa Tentang Hak-hak Ekonomi, Sosial dan
Budaya.
- Meningkatkan mutu dan keberkesanan pendidikan hak asasi di semua peringkat
persekolahan dan institusi pengajian tinggi serta pusat-pusat latihan
perkhidmatan awam.
- Membaiki pentadbiran penjara supaya orang tahanan mendapat layanan yang
sesuai dengan piawaian antarabangsa.
6. Memulihkan
Imej dan Kedudukan Antarabangsa
Nama baik Malaysia telah dicemarkan oleh Kerajaan BN kebelakangan ini, bukan
hanya kerana kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng serta
kenyataan-kenyataan yang melulu, tetapi kerana amalan bertalam dua muka di dalam
dan di luar negeri. Namun, Malaysia mempunyai peranan yang penting dalam arena
antarabangsa akibat beberapa kejayaan dasar luar negeri yang kami akan
pertahankan.
Kami akan tetap:
- Memberi tekanan kepada pendirian-pendirian antarabangsa Malaysia yang
mendukung keadilan dan kepentingan negara-negara membangun di medan dan badan
antarabangsa, dan akan meminda dasar luar negara Malaysia yang bercanggah
dengan pendirian ini;
- Memperjuangkan pandangan dan kepentingan dunia membangun dalam forum-forum
antarabangsa, dan kami akan cuba sedaya upaya untuk menggerakkan semula
pergerakan negara berkecuali (non-aligned movement) dan memberikan
nafas baru kepada Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC);
- Memperjuangkan reformasi dalam berbagai badan antarabangsa supaya lebih
bersifat demokratik serta telus, dan kurang bersifat alat kuasa besar;
- Menyediakan negara untuk menangani globalisasi dengan prinsip ‘terima
yang jernih, buang yang keroh’;
- Menjalin hubungan persahabatan dengan semua negara yang inginkan kedamaian
dan kerjasama yang saling menguntungkan.
Oleh yang demikian, kami akan:
- Mendukung sistem antarabangsa baru yang adil serta demokratik, berdasarkan
kesaksamaan dan kedaulatan nasional, saling hormat-menghormati, dan hak asasi;
- Melaksanakan dasar luar yang bebas serta berkecuali dan memastikan
kepentingan ekonomi dan politik negara Malaysia sekali-kali tidak tertakluk
kepada kepentingan kuasa besar dunia;
- Memperjuangkan reformasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), IMF
(International Monetary Fund), Bank Dunia dan WTO (World Trade Organization)
supaya menjamin keadilan bagi negara-negara kecil dan miskin serta rakyat
dunia, dan tidak memihak kepada kepentingan syarikat gergasi antarabangsa atau
kuasa-kuasa besar;
- Memastikan proses globalisasi tidak mengancam kepentingan negara dan rakyat
jelata;
- Menentang pemusatan kekayaan dan penindasan di peringkat antarabangsa yang
mengakibatkan jurang sosio-ekonomi bertambah lebar antara Utara dengan
Selatan;
- Menyokong dasar “penglibatan membina” (constructive engagement)
di kalangan negara-negara ASEAN dalam persoalan-persoalan pelaburan ekonomi,
alam sekitar, hak asasi manusia, pekerja asing, dan masalah-masalah sosial
lainnya;
- Mempertingkatkan kerjasama serantau di kalangan negara-negara anggota ASEAN
dalam semua bidang;
- Memperluaskan hubungan di kalangan rakyat negara-negara ASEAN supaya
hubungan itu tidak terbatas hanya kepada hubungan antara kerajaan;
- Memastikan bahawa wilayah Malaysia tidak akan ditawarkan lagi untuk
dijadikan pengkalan tentera asing, seperti pernah ditawarkan oleh Kerajaan
Mahathir, yang kononnya anti-Barat.
Masa Depan
Negara Dalam Tangan Rakyat
Kerajaan BN pernah mengaku dirinya ‘bersih, cekap, amanah’, tetapi
sebenarnya, ‘boros, curang dan angkuh’.
Untuk menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman pimpinan rakus yang secara
bermaharajalela mempertahankan, malah menambahkan lagi kuasa politik dan
ekonominya, rakyat mesti bersatu padu untuk menolak pemerintahan BN pimpinan
Mahathir.
Sesungguhnya, amatlah sukar bagi kami — yang serba kekurangan —
mengalahkan BN, yang sedang terus menyalahgunakan kuasanya terhadap jentera dan
perbelanjaan kerajaan, media siaran dan cetak, serta politik wang. Walau
bagaimana pun, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa BN dewasa ini telah
membuka jalan baru yang belum pernah diterokai rakyat Malaysia sebelumnya. Buat
kali pertama sejak kemerdekaan, kebanyakan rakyat Malaysia daripada semua kaum
menghendaki perubahan sedangkan parti politik alternatif pula berjaya bersatu
demi keadilan.
Sekurang-kurangnya, kesedaran rakyat yang meluas dan perpaduan parti
alternatif yang kukuh akan mengurangkan dominasi Barisan Nasional dalam
pilihanraya kesepuluh, dan insya Allah, memudahkan proses mengganti BN, yang
telah mengkhianati amanah rakyat, dengan Barisan Alternatif.
RAKYAT BOLEH
SELAMATKAN MALAYSIA
DEMI KEADILAN
24 Oktober 1999