Taring Tajam Ku Li Berjaya
Dipatahkan!
Hasrat Ku Li untuk hanya menjadi “gurkha” dalam
Umno, sekembalinya kepangkuan parti itu sejurus membubarkan Semangat 46, makin
menjadi kenyataan. Anak raja berjiwa rakyat itu, akan meneruskan hayatnya
sebagai “gurkha” dalam Umno selagi parti itu diterajui oleh Mahathir. Ku Li
bukanlah penting lagi bagi Mahathir di Kelantan. Kemunculan Mustapha Mohamad di
Jeli dapat menggantikan dan sekaligus membenamkan pengaruh Ku Li yang kian
lusuh itu.
Kegagalan Ku Li membenamkan PAS di Kelantan menjadi
faktor langsung mengapa beliau dipinggirkan terus dalam Umno, biarpun peringkat
awalnya terlalu “optimis” untuk mengambil-alih semula Kota Darul Naim.
Akhirnya, Ku Li kecundang dengan labu-labunya. Kekecewaan anak raja itu tidak
dapat disembunyikan. Taringnya yang “tajam” nampaknya sudah mudah dipatahkan
oleh Mahathir. Kelicikkan Mahathir “membodek” Ku Li membubarkan Semangat 46
yang banyak “menyusahkan” Mahathir dalam mewarnakan politik Melaysia, sudah berlangsung
dalam fenomena aman.
Ku Li bersama rakan taulannya, membubarkan Semangat
46 dan menyertai Umno semula secara berjamaah. Ku Li tentunya mencaturkan
politik masa depan yang lebih gemilang bersama Umno. Niatnya, untuk merebut
kembali kerusi idamannya yang sedang dihenyak-henyak oleh Mahathir sekarang.
Laluan menggunakan Umno adalah lebih mudah dan lebih cepat ke kerusi itu.
Berbanding dengan kapal Semangat 46 yang “artodok” dan “manual”.
“Penyahan” Anwar oleh Mahathir, membuka demensi baru
buat Ku Li. Laluannya menjadi PM sudah hampir ke garisan penamat. Beliau sedar,
Pak Lah tidak menjadi batu penghalang yang sukar ditumbangkan. Namun begitu,
taring tajamnya yang sudah dipatahkan oleh Mahathir itu, “memukau” beliau
tentang tiadanya sambutan lagi dari kalangan perwakilan terhadap “tawarannya”
untuk menentang Mahathir. Ku Li
terkepung dalam delimma yang amat mencengkammnya. Hendak berpatang balik,
tentunya “jambatan” yang dibina sudah terbakar dengan sendirinya. Mahu tidak
mahu, Ku Li terus menghabiskan hayatnya dalam Umno yang ditubuhkan oleh
Mahathir, iaitu Umno (Baru).
Nawaitu Ku Li untuk menghidupkan Umno 1946 tidak
kesampaian. Mahathir menyekatnya melalui undang-undang. Mahathir tentu berasa
bersalah yang amat sangat, apabila “Semangat 46” ditubuhkan. Dengan penubuhan
itu, Mahathir sudah menggaru-garu kepala tanda kesal. Akibatnya, Mahathir
dituduh sebagai bapa “pemecahbelah masyarakat”. Rentetan perpecahan dalaman
Umno inilah, maka ahli-ahli Umno asal berpecah dan membentuk Semangat 46.
Kekuatan Umno terbelah dua. Umno berpecah pada zaman Mahathir. Yang paling
penting, catatan sejarah akan mencatatkan darihal itu, dan mahu tidak mahu,
Mahathir adalah penyebab penting dalam perpecahan ini.
Mahathir berfikir, bagaimana untuk menebus kesalahan
dan kebiadapannya pada masa lalu. Dalam kepalanya, berputar-putar pelbagai
pertanyaan. Macam mana nak mengajak balik Ku Li menyertai Umno? Kalau Ku Li
masuk Umno semula, apakah Semangat 46 akan diteruskan? Mengikut sumber,
Mahathir sendiri tidak yakin dengan Ku Li untuk menyertai semula Umno apabila
dipelawa. Beberapa pertemuan dikatakan diadakan bagi membincangkan hal ini.
Niat Mahathir ialah untuk menebus “perpecahan” Umno 1988 hingga Umno terpaksa
diharamkan dan Semangat 46 pula dibuka. Mahathir amat mahu Ku Li menyertai
semula Umno dan membubarkan Semangat 46. Dengan itu, segala catatan sejarah
hitam dalam hidup Mahathir dan Umno terpadam terus. Tiada batu nensan dan tiada
kubur yang ditinggalkan.
Sudah tentulah niat Mahathir itu sarat dengan
pelbagai agenda politik. Jika Ku Li mempercayai niat Mahathir itu bulat-bulat
atau bujur-bujur sekalipun, adalah silap dan salah besar beliau membubarkan
Semangat 46. Saya tidak tahu, sama Ku Li juga seperti Mahathir, untuk
menghapuskan tanda dan kesan “kesilapannya” dalam membentuk parti saingan Umno
itu. Agenda Mahathir yang berlipat-lipat dalam menyeret Ki Li ke dalam
tempurung Umno dan meruntuhkan rumah Semangat 46 itu, tentunya sudah tercapai.
Tetapi niat Ku Li untuk menyertai Umno dengan tujuan
mengganti Mahathir kian lusuh dari dibaca dan ditelah orang. Mahathir lebih
licik dari Ku Li. Apa yang diinginkan Mahathir sudah berjaya dari segi
politiknya. Ku Li sudah “berjabat tangan” semula dengan Mahathir dan kesan-kesan pembinaan Semangat 46 berjaya
dihapuskan. Kini, Mahathir bukan lagi pemecahbelah masyarakat seperti yang
didakwa ketika tertubuhkan Semangat 46. Apa perlunya, Mahathir memutar-mutarkan
kepala hotaknya untuk “meletakkan” Ku Li ke singgahsana yang menjanjikan beliau
boleh menuju dan sampai ke Pejabat PM. Tidak ada rasanya, dalam kepala Mahathir
tentang hal itu.
Apa yang penting, jika Ku Li itu ayam, tajinya sudah
dipatah-patahkan. Andainya Ku Li itu Jin Beragas atau Jin Bertendang, taringnya
juga sudah diseliat-seliat oleh Mahathir tanpa menghimpunkan 1001 bomoh atau
peselit.
Seorang pemimpin Umno Bahagian Peringat, Nik Daud
Mustapha menyifatkan kegagalan Ku Li itu adalah bukti terkini keupayaan sebenar
kepimpinannya sekarang. Itulah “tenaga” Ku Li. Usianya yang agak lanjut juga
tentunya mempengaruhi “tenaganya” tadi dalam menentukan kejayaannya merampas
Kelantan dan bertanding kerusi Presiden Umno. Ku Li gagal dalam langkahnya
menumpaskan PAS di Kelantan. Kemudian gagal lagi, dalam mempengaruhi perwakilan
Umno seluruh Malaysia untuk menobatkan pertandingan bagi menentang Mahathir di
kerusi Presiden Umno.
Nik Daud berkata, berdasarkan perkembangan itu,
tempat Ku Li dalam barisan tertinggi Umno telah tertutup rapat. Rakyat sudah
menolak Ku Li berdasarka pencapaiannya dalam pilihanraya umum lalu. Mahathir
pula, melihat kehadiran Ku Li akan menyusahkan beliau pada masa depan. Nik Daud
mengingatkan Ku Li agar merenung perjuangan politiknya dalam Umno yang sudah
berakhir. Pandangan Nik Daud sebenarnya adalah intipati akar umbi Umno yang
agak jenuh dan bosan mengikuti politik tanpa sempadan yang dimulai Ku Li.
Melompat sana, melompat sini, seolah-olah tiada pendirian dan sempadan bermain
politik. Akar umbi menolak, permainan ikut sedap ini dan Ku Li ditolak secara
perlahan-lahan.
Sebelum ini, Ku Li pernah diura-urakan untuk
menumpaskan Mahathir dan Pak Lah bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden
Umno dalam perhimpunan parti itu, Mei yang baru lalu. Ku Li juga turut
disenaraikan sebagai calon bagi merebut kerusi Naib Presiden tetapi dengan
penolakan Mahathir terhadap pencalonan Gua Musang sebagai suatu yang “tidak
sah” dengan mendakwa tidak menuruti arahan parti, terus menghampakan Ku Li
untuk mewajahkan kepimpinan tertinggi Umno selepas ini. Mahathir dapat
menghidup apa yang dinginkan oleh anak raja dari Kelantan itu. Beberapa
percubaan Ku Li melalui kenyataanya yang kontroversi dan percubaan Umno
Bahagian Gua Musang itu, adalah bukti niat Ku Li untuk menurunkan Mahathir
dalam perhimpunan itu.
Mahathir juga tahu perkembangan ini. Sebab itu,
beliau menutup pintu pertandingan di jawatan Presiden parti. Namun untuk
dilihat tidak dictator dan penuh demokrasi, Mahathir juga “berpakat” dengan Pak
Lah untuk menutup sama jawatan Timbalan Presiden dari dipertandingkan juga.
Dengan itu, ia tidak kelihatan untuk mendinding diri Mahathir seorang. Bagi
menjayakan misi ini, maka Pak Lah terus diangkat sebagai Timbalan Presiden
tanpa bertanding dan ditentang oleh mana-mana Naib Presiden Umno. Permainan
politik Mahathir ini, sekaligus menggusarkan Ku Li untuk berpencak silat dan
menari mengikut rentak ciptaan Mahathir.
Pembatalan pencalonan Gua Musang itu, secara tidak
langsung menghilangkan kelayakkan Ku Li untuk mengadu pengaruh dikerusi Naib
Presiden Umno. Layakkah Ku Li terus
menjadi “gurkha” dalam parti Melayu yang pernah diherdiknya itu? Persoalannya,
sampai bilakah, Ku Li bersedia “tunduk” dan “patuh” kepada Mahathir?