KONTROVERSI SUQIU - AMBIL YANG JERNIH
Sikap Pemuda UMNO, sebagaimana yang disuarakan oleh Ketuanya Datuk Hishamuddin
Hussein, supaya semua parti dan NGO berbincang secara persahabatan untuk
meredakan ketegangan yang timbul daripada rayuan Suqiu, patut dipuji.
Sikap ini bijak, walaupun Hishamuddin menyatakan Pemuda UMNO tidak akan
berkompromi tentang perkara mengenai “hak Melayu”, kerana dengan
perbincangan kita boleh “memastikan perpaduan dan perdamaian di kalangan semua
kaum di negeri ini”.
Begitu juga kami memuji kesediaan pertubuhan Suqiu untuk berdialog dengan Pemuda
dan mana-mana pihak kerana, seperti kata mereka, ini adalah cara terbaik untuk
mencari persetujuan dalam masyarakat yang rasional dan demokratik. Pertubuhan
Suqiu menegaskan ia “menghormati dan menyokong prinsip asas Perlembagaan”.
Sebenarnya, pertubuhan Suqiu, melalui rayuan mereka, tidak pernah mencabar
Perlembagaan Persekutuan.
Sikap matang yang diperlihatkan oleh Pemuda UMNO dan Pertubuhan Suqiu ini
memang sesuai sekali dengan semangat Hari Raya dan Hari Natal yang
disambut minggu ini dan Tahun Baru Cina yang akan disambut bulan depan. Semangat
ini menggalakkan persaudaraan, hormat-menghormati dan maaf-memaafkan. Saya
berharap berdasarkan semangat ini GPMS dan badan-badan yang bersama dengannya
akan menyambut baik serta menyertai langkah positif yang diambil oleh kedua-dua
pertubuhan Pemuda UMNO dan Pertubuhan Suqiu itu.
Sangat malang sekali Perdana Menteri telah menuduh Suqiu sebagai ekstremis dan
menyerupai komunis serta A-Maunah, dalam ucapannya menjelang Hari Merdeka
beberapa bulan lalu dan kenyataannya selepas pilihanraya kecil Lunas. Ucapan
inilah yang memberanikan GPMS mengambil tindakan membuat tuntutannya sendiri dan
mengugut akan mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk membantah rayuan yang
dibuat oleh pihak Suqiu.
Tindakan semua pihak ini telah menimbulkan kekeruhan dan menegangkan suasana
hubungan kaum yang, sekiranya tidak dikawal, boleh mencetuskan peristiwa
yang tidak dingini. Kita mahukan negeri ini terus aman damai; kita harus
berusaha memupuk perpaduan; dan oleh kerana itu kita perlu hormat-menghormati di
antara satu sama lain.
Dalam negara bertamaddun yang mengamalkan demokrasi, tidak ada salahnya bagi
mana-mana pihak mengemukakan rayuan, desakan bahkan tuntutan. Yang salahnya
ialah apabila ia diiringi oleh ugutan dan gertakan yang boleh membawa kepada
kacau-bilau. Yang sebaik-baiknya ialah bagi kerajaan dan rakyat berbincang
dan berunding tentang rayuan, desakan atau tuntutan itu dengan kepala yang
dingin dan cara yang rasional.
PRM berharap dalam apa saja perbezaan atau pertikaian pendapat, kita sentiasa
akan cuba membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Begitulah dalam soal
Suqiu, kami berharap semua pihak, termasuk GPMS dan Perdana Menteri akan
membuang yang keruh dan mengambil yang jernih.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
24hb Disember 2000