KENYATAAN
AKHBAR
Selepas kegagalan “Filem SAUK 1” yang mengambil tempat di
Bukit Jenalik dan “Filem SAUK 2” yang menggunakan tentera untuk membuat
lakunan semula diikuti dengan cubaan menggunakan Pemuda UMNO untuk merempuh
Dewan Perhimpunan Cina, nampaknya Mahathir masih belum berpuashati dengan tahap
kepercayaan orang Melayu bahawa beliau adalah jaguh yang mempertahankan bangsa
Melayu.
Kini nampaknya Abdullah Badawi melalui kuncu-kuncunya dalam
GPMS pula turut menyingsing lengan membelasah Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya
Masyarakat Cina atau Suqiu yang menjadi mangsa agenda politik kotor Mahathir
untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu kepada UMNO. Setelah meraih
kemenangan dalam pilihanraya umum yang lalu hasil sokongan kaum Cina dengan
menerima 17 tuntutan yang diutarakan oleh Suqiu yang mewakili 2000 pertubuhan
Cina dalam negara ini, Mahathir kini tergamak menuduh pertubuhan ini sebagai
ekstremis, malah sanggup menyamakan Suqiu dengan Komunis dan kumpulan Al’
Maunah.
Saya secara peribadi memandang serius pekara ini dan mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan Pimpinan Barisan Nasional yang mempergunakan seluruh
pertubuhan pengampu mereka terutamanya “Gabungan Pengampu Mahathir Sedunia”
(GPMS) untuk memulakan usaha bagi mencetus ketegangan antara kaum Melayu dan
Cina bagi memenuhi nafsu serakah Mahathir. Selaku Perdana Menteri, kenyataan,
ucapan, arahan dan tingkah laku beliau sewajarnya mengambarkan keinginan dan
harapannya untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum,
berbilang budaya dan berbilang agama mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang
harmoni.
Amat memalukan bagi seorang Perdana Menteri yang sanggup
melebelkan rayuan yang dikemukakan oleh sebilangan besar masyarakat Cina negara
ini yang ingin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari rasuah,
mempunyai institusi asas negara seperti badan kehakiman, kepolisian, SPR dan
jabatan Peguam Negara yang adil dan bebas dari cengkaman politikus serta
menegakkan prinsip asas hak asasi manusia adalah pengkhianat dan agen subersif.
Ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan sejak kita merdeka lagi.
Di dalam sebuah negara yang mengamalkan amalan demokrasi,
ianya menjadi hak mana-mana individu, komuniti, pertubuhan atau parti untuk
menyuarakan pandangan secara bebas tanpa diancam dengan pelbagai ugutan walaupun
pandangan mereka ini bertentangan dengan pandangan kerajaan yang memerintah. Ini
jelas termaktub dalam fasal 10 .1 (a). Malah Jawatankuasa ini berhak untuk
menghantar memorandum untuk mengkritik dasar kerajaan atau menuntut agar polisi
negara diubah jika mereka mahu, namun kita dapat lihat cara Suqiu mengemukakan
nota rayuan tidaklah keras apatah lagi perkataan “Suqiu” itu sendiri cukup
lembut dan membawa maksud “rayuan”
Nota rayuan Suqiu sebenarnya tidak ditujukan kepada kerajaan
tetapi ianya telah ditujukan kepada Barisan Nasional (BN) dan Barisan Alternatif
(BA). Jika rakyat berhak untuk menyuarakan pandangan mereka, BN dan BA juga
mempunyai hak mereka samaada untuk menerima keseluruhannya, menolak
keseluruhannya, menerima sebahagiannya, menolak sebahagiannya atau langsung
tidak melayani pandangan dan permintaan Suqiu sepertimana yang sering Mahathir
lakukan apabila kita menghantar memorandum mendesak agar Anwar dibebaskan.
Tindakan Mahathir mengarahkan Pemuda UMNO sebelum ini dan
GPMS kini untuk menganjurkan perhimpunan untuk mengecam rayuan yang dikemukakan
Suqiu jelas terbukti mempunyai niat jahat dan mengambarkan tindakan terdesak
seorang diktator yang sedar dirinya dibenci oleh kaum Melayu dan gagal
mendapatkan sokongan orang Melayu berbanding masyarakat Cina yang diyakini
beliau mampu beliau menangi semula disaat akhir sebelum pilihanraya mendatang.
Tindakan Mahathir yang tidak bermoral dengan menerima rayuan Suqiu sebelum
pilihanraya dan menyerangnya semula selepas pilihanraya sudah pasti akan
dijadikan pengajaran oleh masyarakat Cina agar tidak ditipu lagi dimasa akan
datang.
Kepada Mahathir Mohamad kita bagi peringatan agar jangan
terus bermimpi yang orang Melayu akan kembali menyokong beliau dengan apa yang
beliau pentaskan.
Sebahagian besar masyarakat Melayu melihat teriakan
“Kembalikan Ketuanan Melayu” oleh Aziz Sheikh Fadzil, Suhaimi Ibrahim dan
budak suruhan Dollah Badawi sebagai satu persembahan “Bandut-Bandut Sarkas”
yang amat melucukan. Hentikanlah segera sandiwara ini kerana ianya cukup
meluatkan. Semua rakyat sudah cukup faham bahawa sudah tidak ada lagi Ketuanan
Melayu di Malaysia ini. Yang ada cuma Ketuanan Mahathir itupun InsyaAllah bakal
kita kuburkan sebelum November tahun depan.
Saya menyuru kepada seluruh rakyat Malaysia agar berhenti
dari membicarakan soal hak istimewa orang Melayu agar tidak terjebak dengan
perangkap Mahathir. Sepanjang 19 tahun pemerintahan Mahathir, beliau bukan
sekadar tidak memperjuangkan hak istimewa orang Melayu malah beliau telah banyak
mengkhianati bangsa Melayu. Sedarlah kamu wahai Mahathir, Tunku Abdul Rahman
yang kamu kritik hebat dulu cukup disayangi oleh Bangsa Melayu, kita kagumi
kegigihannya memerdekakan negara. Tun Razak, tiada siapa boleh nafikan jasanya
untuk Bangsa Melayu dengan kewujudan Felda dan Felcra. Tun Hussein yang kamu
hina “lembik dan tak tahu buat kerja”, turut menyumbang untuk bangsa Melayu
melalui Amanah Saham Nasional.
Tapi apa yang telah kamu lakukan untuk Bangsa Melayu?
Mercutanda dan Penswastaan! Adakah ini menguntungkan orang Melayu? Tidak sama
sekali. Ianya hanya untuk memenuhi nafsu serakah poket beberapa puluh kroni,
anak-anak dan suku sakat kamu dan Daim sahaja.
Walaupun Tajudin Ramli orang Melayu, tapi kedudukan beliau
sebagai Pengerusi MAS umpamanya bukan mewakili kepentingan orang Melayu, jawatan
itu dipegangnya selaku kroni kamu dan Daim. Apa faedah yang orang Melayu dapat?
Faedahnya cuma satu, bila Tajudin mengakibatkan MAS rugi besar, kamu
memerintahkan wang Pembendaharaan Negara, hasil titik peluh rakyat yang dikutip
melalui cukai dan sebagainya digunakan untuk menyelamatkan Tajudin dengan
pembelian saham MAS pada kadar harga RM 8 seunit walaupun harga semasa sekitar
RM 3.60 sahaja.
Dalam pemerintahan Mahathir jugalah kita dapat lihat
bagaimana Bangsa Melayu merana bila biasiswa pendidikan dilupuskan ketika
kerajaan rancak membina mercu tanda termasuk mahligainya yang berharga RM 200
juta. Dikala orang Melayu menanggung penderitaan akibat kejatuhan harga kelapa
sawit, kelapa dan padi umpamanya, ketika itulah Mahathir terus meluluskan
peruntukan pembinaan projek mega yang semakin kurang penggunanya seperti KLIA.
Kenaikan harga barangan seperti petrol, tol, barangan runcit dan bermacam-macam
barang keperluan pengguna lain kini adalah permulaan kepada kesengsaraan yang
terpaksa rakyat tanggung akibat pentadbiran yang bergelumang dengan rasuah,
pengagihan hasil negara yang tidak seimbang serta penyalah gunaan wang negara
untuk menebus syarikat kroni tanpa mengendahkan nasib rakyat terbanyak.
Bertimbun bukti lain yang diketahui umum boleh dikemukakan
untuk menunjukkan bahawa drama mempertahankan hak istimewa Melayu yang
dipaparkan oleh pengampu Mahathir sudah basi dan tidak mungkin akan dapat
memperdayakan Bangsa Melayu lagi. Sebagai rakyat yang mendokong aspirasi Gerakan
Reformasi untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sebuah
pentadbiran yang cekap, jujur, telus, tidak menyeleweng dan menitik beratkan
kepentingan rakyat terbanyak, apa yang diperjuangkan oleh Suqiu jika kita lihat
secara menyeluruh, kebanyakannya sama seperti apa yang diperjuangkan oleh kita
seperti penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penghapusan Akta Universiti
dan Kolej (AUKU) dan banyak lagi isu-isu lain yang kalau kita lihat secara
positif adalah akar kepada kewujudan sebuah negara yang demokratik. Kewujudan
satu dua pandangan yang mungkin bertentangan dengan pandangan kita sewajarnya
diselesaikan melalui perbincangan dan dailog sehingga pemahaman kedua-dua pihak
mampu mengecapi keputusan yang terbaik.
Setelah diteliti rayuan Suqiu, semalam aktivis reformasi
telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mendokong rayuan Suqiu secara
menyeluruh (maknanya setelah diteliti pada dasarnya secara menyeluruh) kerana
majoriti isikandung rayuan itu datangnya dari niat ikhlas masyarakat Cina untuk
melihat Malaysia yang lebih baik. Saya sekali lagi ingin melahirkan kekesalan
saya di atas kenyatan 8 laman web yang menyatakan “Suqiu harus ditolak” dan
kenyataan ini bagi saya adalah keterlaluan.
Sebagai seorang pelayar web yang sudah lebih dua tahun
bersama-sama dengan sesetengah laman tersebut, saya yakin tidak ada satupun ayat
dari kenyataan yang dipaparkan pada muka depan laman-laman tersebut semalam
datangnya dari kalam dan pemikiran pengurus-pengurus laman itu sendiri. Tidak
ada sebab untuk mereka berbuat demikian tanpa terpengaruh dengan seseorang
memandangkan Mahathir sendiripun hanya menolak tuntutan dan tidak pernah menyeru
agar Jawatankuasa tersebut ditolak. Saya pohon agar laman-laman tersebut
membebaskan diri mereka dari dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang jelas
mempunyai fikrah yang bertentangan dengan Gerakan Reformasi.
LOKMAN NOOR HAJI ADAM
Setiausaha Pemuda KeADILan Malaysia
22 Disember 2000