KENYATAAN AKHBAR

Menjawab segala tuduhan Polis dalam penangkapan aktivis dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Kami yang mewakili keluarga aktivis reformasi yang ditahan serta Jawatankuasa Penyerahan Memorandum Rakyat kepada SUHAKAM dengan tegas menyatakan bahawa:

- Segala tuduhan yang dibuat terhadap para aktivis reformasi yang ditahan dibawah ISA dalam Kenyataan Akhbar polis bertarikh 11 April 2001 adalah nyata palsu,tidak berasas serta berniat jahat.

- Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya ada suatu perancangan untuk menggulingkan kerajaan secara militan,serta menggunakan kekerasan melalui penggunaan beberapa senjata letupan. Tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa terdapat langkah-langkah seperti itu telah diambil.

- Setiap pertemuan yang dibuat adalah dibuat secara terbuka dan apa-apa perancangan diumumkan melalui persidangan media serta kenyataan akhbar. Ini jelas dengan wujudnya sebuah Jawatankuasa yang boleh dikenalpasti serta dapat dihubungi. Adalah tidak logik sekiranya perjumpaan "sulit" sepertimana yang dituduh oleh polis diikuti dengan kenyataan media serta pengumuman media oleh Jawatankuasa tersebut.

- Rancangan utama para aktivis pada 14 April 2001 adalah dalam melaksanakan hak mereka yang termaktub dalam undang-undang negara ini iaituuntuk menyerahkan memorandum menuntut pengembalian hak asasi manusia kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malasyia (SUHAKAM). Ini adalah jelas dan malah pihak SUHAKAM sendiri telah mengesahkan kesediaan mereka menerima delegasi yang akan menyerahkan memorandum tersebut. Memorandum tersebut telah mendapat sokongan serta pengindorsan daripada pelbagai kelompok rakyat.Ini termasuk badan-badan bukan kerajaan,persatuan pelajar serta parti-parti dalam Barisan Alternatif.

- Tuduhan tentang penggunaan guru-guru silat serta mendapatkan pengaruh sebilangan pegawai serta anggota keselamatan tidak masuk akal dan sekali lagi tidak berasas. Kami meminta pihak polis memberi BUKTI yang kukuh terhadap tuduhan tersebut.Kami pasti oleh kerana tidak sedikitpun kebenaran dalam tuduhan tersebut maka polis menahan para aktivis di bawah ISA. Ini adalah kerana penahanan dibawah ISA membenarkan polis menahan sesiapa tanpa perlu bicara dan apa-apa bukti siasatan.

- Setiap perhimpunan rakyat yang diadakan selama ini oleh lapisan masyarakat termasuk parti dan persatuan-persatuan masyarakat adalah aman serta tidak pernah bersifat ganas. Apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku hany berlaku apabila pihak polis mengambil tindakan kejam dan keras untuk menyekat perhimpunan rakyat.

- Sehingga ke hari ini polis tidak dapat mengeluarkan apa-apa bukti bahawa perhimpunan dan demonstrasi yang pernah diadakan melibatkan apa-apa jenis bahan letupan serta senjata.

Kami menyeru pihak polis untuk bertindak professional dan adil dalam melaksanakan tugas dan bukan sekadar mengikut arahan-arahan ahli-ahli politik yang tertentu. Ini dapat dilihat kerana segala tuduhan palsu yang dibuat oleh polis tersebut adalah sama dengan tuduhan yang dibuat oleh para ahli politik kerajaan dalam mengecam pembangkang serta aktivis reformasi. Dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, peluang untuk menjawab segala tuduhan tersebut tidak boleh dilakukan.

Sesungguhnya tindakan polis ini adalah semata-mata untuk menyekat hak rakyat bersuara,berhimpun secara aman yang terjamin dalam Perlembagaan Malaysia.

Tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa para aktivis yang ditahan telah melakukan apa-apa yang diluar perlembagaan. Malah segala tindakan yang dilakukan adalah nyata mengikut yang termaktub di dalam perlembagaan.