Ummu Natasya
ISA digunakan untuk menang
p/raya Sarawak
BARISAN Nasional (BN)
terketar-ketar kerana uzur. Disebabkan keuzuran itu, maka BN meminta pihak
polis menahan beberapa pemimpin parti pembangkang, seperti Mohamad Ezam Mohd
Nor, Tian Chua, Lokman Nor Adam dan lain-lain lagi supaya ditahan di bawah ISA.
BN tahu, pilihan raya Negeri
Sarawak akan diadakan bila-bila masa sekarang. Jika kesemua sembilan panglima
pembangkang ini tidak ditahan, Sarawak juga akan menerima akibat seperti Lunas,
Terengganu dan Kelantan.
Pengaruh mereka, khususnya
Mohamad Ezam dan Dr. Badrul Amin tidak boleh diperlekehkan. Mereka semakin
hebat dan semakin ramai penyokong. BN yang sudah semakin tua, uzur dan
terketar-ketar tidak mampu untuk berceramah seperti Mohamad Ezam berceramah,
maka adalah lebih baik, polis digunakan untuk menangkap kesemua mereka ini.
Alasan boleh dicari, kesemua
mereka adalah penghasut rakyat untuk menganjurkan demonstrasi jalanan hingga
mahu menggulingkan kerajaan. Kenyataan Timbalan Presiden keADILan, Dr. Chandra
Muzaffar diputabelitkan, seolah-olah ada “pendapat tidak sekata” antara
kepimpinan pembangkang.
Sebaik sahaja selesai pilihan
raya Sarawak, atau sehari dua sebelum pilihan raya, kesemua mereka akan
dilepaskan. Rakyat akan diberitahu, kerajaan tidak zalim dan mereka tidak
ditahan untuk tempoh yang panjang. Sebenarnya, kesemua yang ditahan tidak
berkesempatan untuk berkempen di dalam pilihan raya.
Hakikat terpaksa diterima, BN
sudah semakin tua, semakin uzur dan terketar-ketar. Yang ada Cuma Tengku Adnan
Mansor. Tapi, bolehkah Tengku Adnan bercakap soal-soal agama, soal-soal
penyatuan Melayu dan akhlak mulia kerana dia sendiri terlibat dengan
syarikat-syarikat judi terkemuka tanahair?
Bawa Khalil Yaakob berceramah,
bolehkah dia bercakap soal pembalakan dan rasuah kerana dia sendiri kena tuduh
dengan Datuk Fauzi Abd Rahman mengatakan di zaman Khalil menjadi MB Pahang, dia
buat penyelewengan.
Dakwaan Fauzi itu bukan dibuat
oleh pembangkang tetapi oleh Ketua Umno Bahagian Kuantan, yang juga Adun dari
Barisan Nasional bagi kawasan Beserah. Usah salahkan pembangkang, kerana yang
buat kerja buka pekong pemimpin Umno ini ialah Umno sendiri.
Semakin hari, semakin banyak
masalah yang timbul. Dr. Mahathir boleh sahaja menangkap sesiapa sahaja yang
dia suka termasuk Tun Daim Zainuddin dan Abdullah Ahmad Badawi tetapi, Umno dan
BN sudah semakin tenat, semakin tua dan semakin terketar-ketar.
Tan Sri Osman Arof yang disokong
oleh Dr. Mahathir Mohamad ketika mahu mempertahankan kerusi Timbalan Ketua Umno
Bahagian Kubang Pasu pun nyaris-nyaris tewas di tangan Datuk Saad Man.Dr.
Mahathir terpaksa menyebut bahawa orang yang terlalu kaya tidak boleh
bertanding dalam Umno. Kata-kata itu ditujukan kepada Saad walaupun Saad berhak
untuk bertanding kerana tiada siapa mengukur antara Dr. Mahathir dengan Saad,
siapa yang lebih kaya. Antara Osman Arof dengan Saad, siapa yang lebih kaya!