‘Amanat Haji Hadi’ diharamkan oleh Jabatan Perdana Menteri

MARANG, 21 April (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan satu pekeliling minggu lepas yang mengarahkan semua Kerajaan Negeri mewartakan Amanat Hadi sebagai bercanggah dengan ajaran Islam.

Menteri berkenaan Senator Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata semua Kerajaan Negeri, termasuk Kelantan dan Terengganu yang dipimpin PAS, perlu mematuhi arahan pekeliling itu dengan melanjutkan tindakan menerusi jabatan agama negeri masing-masing.

"Minggu lalu, kita menghantar satu pekeliling kepada semua Kerajaan Negeri supaya mewartakan perkara tersebut dan ianya perlu diikuti," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Marang di sini.

Beliau berkata pekeliling itu dikeluarkan apabila kerajaan mendapati masih ada Kerajaan Negeri yang tidak mewartakan fatwa itu selepas ia diputuskan bercanggah dengan ajaran Islam pada 1984.

"Majlis Fatwa Kebangsaan telah bersidang pada 21 Nov 1984 dan pada 3 Dis tahun itu, majlis berkenaan telah membawa keputusan fatwa bahawa amanat tersebut bercanggah dengan ajaran Islam kepada Majlis Raja-Raja dan ia diluluskan (untuk diwartakan)," katanya.

Abdul Hamid diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PAS Mustafa Ali pada 17 April lepas bahawa parti itu tidak pernah dimaklumkan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa Amanat Hadi bercanggah dengan Islam dan meminta Umno menunjukkan bukti keputusan itu.

Mustafa mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno akan mengkaji bentuk tindakan terhadap Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana masih mempertahankan amanat yang dibuatnya 20 tahun lepas.

Abdul Hamid juga berkata beliau kesal dengan dakwaan pemimpin PAS bahawa mereka tidak mengetahui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung amanat itu.

"Ini merupakan suatu perkara yang aneh kerana sebagai pemimpin, mereka mesti tahu sebab isu ini telah lama berlaku iaitu sejak 1981 lagi... jangan berpura-pura tak tahu kerana orang Terengganu amat merasai keburukannya," katanya. -- BERNAMA