Oleh Pena Suasa
DATUK Seri Anwar Ibrahim sudah
dipenjarakan lebih dua tahun. Pengaruhnya dalam Umno masih kuat dan “beberapa
orang-orangnya” yang selama ini menyangka mereka boleh hidup walaupun tanpa
Datuk Seri Anwar ternyata tersilap.
Mereka, yang berpura-pura, hati
kepada Anwar tetapi badan bersama Umno dan Datuk Seri Dr. Mahathir ternyata
tidak mendapat tempat. Mereka bukan sahaja tidak lagi bergelar YB tetapi mereka
yang pernah menang kerusi MT juga kini kecundang.
Lebih malang lagi, yang berusaha
untuk kekal sebagai Ketua Umno Bahagian juga tenggelam bersama-sama falsafah
perjuangan masing-masing. Bukan ahli-ahli Umno menolak mereka tetapi mereka
tidak diterima kerana “berada di dua alam”.
Contoh pertama, Datuk Abu Zahar
Datuk Nika Ujang. Dia digugurkan dari menjadi calon Parlimen Kuala Pilah. Dia
bukan sahaja hilang gelaran YB tetapi kini dikalahkan sebagai Ketua Umno
Bahagian Kuala Pilah oleh seorang wakil rakyat yang baru setahun dua menjadi
Adun.
Mengapa tidak Datuk Abu Zahar meninggalkan
Umno bersama-sama kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu? Dia bukan
sahaja masih bergelar YB mungkin nama dan imejnya tidak terjejas kerana
“prinsip menentang kezaliman”.
Contoh kedua, silembik Datuk Dr.
Ibrahim Saad yang tewas di tangan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail di Parlimen
Permatang Pauh. Dia bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar dan tidak
sepatutnya “tidak menunjukkan simpati” kepada bekas boss yang banyak berjasa
dalam hidupnya.
Dr. Ibrahim menyangka Dr.
Mahathir akan melantiknya menjadi Menteri selepas dia menyanggupi untuk
menentang Datin Seri Dr. Wan Azizah tetapi dia dilupakan begitu sahaja.
Malahan, dia tidak mendapat pencalonan untuk mempertahankan jawatan Ketua Umno
Bahagian Bukit Mertajam.
Dr. Ibrahim memberikan alasan
kononnya dia keletihan selepas pilihan raya umum ke 10, 29 November 1999 tetapi
hakikatnya, dia tidak boleh membawa dirinya di dalam Umno selepas ketiadaan
Datuk Seri Anwar.
Dia menang kerusi MT kerana dia
dikenali sebagai orang Datuk Seri Anwar. Dia juga dilantik menjadi Timbalan
Ketua Menteri Pulau Pinang kerana dia “orang Anwar” dan jawatan-jawatan lain
termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang. Tanpa Datuk
Seri Anwar, siapalah Dr. Ibrahim.
Contoh ketiga, Datuk Fauzi Abd
Rahman. Kata-katanya jelas menunjukkan dia cukup simpati ke atas nasib yang
menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sesekali Datuk Fauzi juga menekankan betapa
zalimnya Dr. Mahathir melakukan sesuka hatinya kepada Datuk Seri Anwar.
Malangnya, dia tidak yakin jika
dia berada di luar Umno, nama dan imejnya lebih baik lagi. Dia menunggu dalam
Umno kerana yakin Umno akan memperbaiki nasib politiknya. Malangnya, dia diajar
oleh ahli-ahli Umno dan menyebabkan dia mengumumkan mahu meletakkan jawatan.
Walau apapun cara dan strateginya, Fauzi tidak akan dapat memperbaiki
kedudukannya dalam Umno. Namanya akan kembali popular dan kembali bermaruah
jika dia berada di luar Umno, bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan
perjuangan menentang Datuk Seri Dr. Mahathir yang tidak bertimbang rasa, zalim
dan rasuah.
Contoh keempat, Datuk Ruhanie
Haji Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong. Ruhanie sudah mengumumkan tidak akan
bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan Umno bahagian itu kerana “tidak
menerima pencalonan yang mencukupi” untuk mencuba kerusi Ketua Umno Bahagian.
Ruhanie tidak boleh hidup dalam
Umno tanpa Datuk Seri Anwar. Betul, dia naik ketika Umno baru selesai krisis
dalam tahun 1988 tetapi selepas itu, Ruhanie dilihat menjadi “orang Datuk Seri
Anwar”. Bila dia meninggalkan Datuk Seri Anwar, dia menyangka dia boleh hidup
dalam Umno tetapi Dr. Mahathir tidak meneruskan jawatan Pengerusi MARA yang
disandang oleh Ruhanie. Kini, Ruhanie hanya menunggu “habis edah” untuk gugur
sebagai Ahli Parlimen Parit Sulong.
Contoh kelima, Datuk Dr.
Afiffuddin Haji Omar. Selepas tidak lagi bergelar YB, dia juga tidak dapat
mengekalkan kerusi MT yang dimenanginya. Paling menyedihkan diri Dr. Afiffuddin
ialah apabila dia kalah sebagai Ketua Umno Bahagian Padang Terap dalam
pemilihan yang dijalankan pada 21 April 2001 lalu dengan majoriti 19 undi.
Dr. Afiffuddin menyangka dia
boleh hidup dalam Umno kerana dia cendikiawan Melayu tetapi dia lupa, dia naik
selama ini kerana “dia orang Anwar”. Dia dihormati kerana dia mempunyai rasa
simpati yang agak mendalam terhadap Datuk Seri Anwar. Jika dia berada di luar
Umno, mungkin hari ini Dr. Afiffuddin seorang Ahli Parlimen BA yang cukup
berkesan di Dewan Rakyat.
Baik Datuk Abu Zahar, Datuk
Fauzi, Dr. Ibrahim, Datuk Ruhanie dan Dr. Afiffuddin seharusnya mempunyai masa
untuk duduk berbincang, mengambil satu keputusan untuk “mengajar Umno” selepas
ahli-ahli Umno mengajar mereka secara tidak bermaruah. Tidak usahlah meminta
kepada mereka yang tidak memberi dan tidak usahlah merajuk kepada mereka yang
tidak sudi. Masa dua tahun lebih, selepas Datuk Seri Anwar dipenjarakan
sepatutnya sudah cukup untuk mereka semua merenung kembali…. relevankah lagi
Umno ini.
Semua orang percaya, jika
kesemua mereka bersama-sama Datuk Seri Anwar sejak hari pemecatan Datuk Seri
Anwar, mereka kini cukup hebat. Benar Datuk Ahmad Zahid Hamidi dapat hidup
dalam Umno tetapi sedarkah dia bahawa dua anak Bagan Datuh kini menjadi Menteri
tanpa menjadi ahli Umno?
Zahid mungkin masih
berangan-angan mahu menjadi Menteri tetapi kalau dia kini berada di dalam “kem”
Datuk Seri Anwar, dia juga boleh menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuh dan mampu
mengajar Umno. Zahid mungkin boleh “lari” dari Datuk Seri Anwar tetapi dia
tidak akan dimaafkan dengan mudah. Dialah yang memulakan “pergolakan” ini
tetapi dia menyelamatkan diri dan membiarkan kawan-kawan lain “terperangkap”.
Dikesempatan yang lain, saya
akan mencoretkan kisah Datuk Salamon Selamat dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib
yang kononnya masih dapat bertapak dalam Umno…. bersambung.