Oleh Pena Suasa

 

Kesihan Pegawai Kerajaan

 

HARI ini, ada satu berita dari Batu Pahat Johor, seorang Penolong Pegawai Daerah bernama Mohammd Shakid Ali, 28, didakwa kerana menerima rasuah RM500 dan RM200 dari seorang pengusaha pusat snuker di Kluang, supaya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap peniaga terbabit.

Kita tidak pernah menyokong sebarang rasuah di negara ini tetapi mengapakah ‘ikan-ikan bilis’ seperti ini sering terperangkap dengan permainan Umno?

Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya menuntut BPR turut menyiasat Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, bekas Ketua Pengarah EPU, Jabatan Perdana Menteri yang didakwa mempunyai wang RM100,000 (dengan perkataan : Ringgit Malaysia Seratus Ribu Sahaja) dilacinya ketika sedang bertugas. Ketua Pengarah BPR ketika itu, Dato’ Shafiee Yahaya sendiri membuat pengakuan di Mahkamah Tinggi yang tentunya turut didengari oleh Polis, Hakim, Pendakwa Raya dan disiarkan di merata akhbar.

Pemuda Parti Keadilan Nasional (keADILan) turut membuat laporan polis secara besar-besaran mengenai dakwaan kononnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang menghalang siasatan itu.

Kita semua tahu, Polis tidak berani buat apa-apa terhadap Dr. Mahathir, tetapi bolehkah Ali Abul Hassan Sulaiman terlepas begitu sahaja?

Masihkah rakyat Malaysia boleh menerima Perdana Menteri kini mempunyai imuniti yang diambil dari Raja-Raja Melayu?

Masihkan rakyat Malaysia yang berhak mengundi mahu memberikan terus sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dengan permainan dan kezaliman yang begini teruk?

Marilah kita sama-sama tanamkan tekad untuk mengajak BN dalam pilihan raya akan datang. Jika ada pilihan raya kecil, kita tunjukkan kepada BN kuasa rakyat adalah kuasa keramat.

Di Johor, ada Timbalan Menteri beli rumah dengan harga RM4 juta tidak disiasat BPR dan jauh sekali untuk mendakwanya.

Di Johor, penempatan semula Orang-orang Asli di Bekok boleh diselewengkan dengan mudah tanpa seorang pun yang dikenakan pendakwaan.

Di Johor, Menteri Besarnya boleh mengubahsuai kediaman rasmi sekitar RM9 juta tanpa sebarang siasatan. Khabarnya, kontrak mengubahsuai rumah itu diberikan kepada syarikat adik ipar sendiri.

Di Johor, Tabung Warisan dan YPJ dihabiskan wang yang ditabungkan selama ini kerana perlaburan yang tidak menepati peraturan tidak disiasat.

Di Johor, KPRJ kerugian RM426 juta tidak menjadi sebarang masalah.

Di Johor, ada Timbalan Menteri menyimbah kuah kari ke baju seorang ketua cawangan Umno, tetapi masih boleh menang pilihan raya.

Tetapi, kakitangan kerajaan yang dituduh menerima wang RM700 (sekali RM500 dan sekali RM200) dihadapkan ke mahkamah dan didakwa. Pendakwaan dilakukan di hadapan Hakim Tarmizi Abd Rahman di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.

Apakah BPR tidak terbaca kisah bekas Menteri Besar Selangor mempunyai wang tunai dalam jumlah yang besar?

Dari mana wang tunai itu didapatinya?

Apakah BPR tidak tahu Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Khaled Nordin mempunyai rumah bernilai RM4 juta di Taman Suria, Johor Bahru?

Apakah BPR tidak tahu, Umno Bahagian Johor Bahru pernah melesapkan sejumlah saham yang bernilai jutaan ringgit dari akuannya tanpa sebarang siasatan?

Masihkah rakyat mahu menerima pendakwaan akan dikenakan kepada Mohd Ezam Mohd Nor kerana mendedahkan penyelewengan tetapi yang melakukan penyelewengan dan rasuah terlepas. Apakah BPR masih berwibawa? Apakah masih perlu dikekalkan pemerintah yang ada. Apakah kita redha dengan semua yang berlaku tanpa mahu membuat sebarang reformasi? (PS).