Oleh Pena Suasa

 

Utusan, Dr. Mahathir  ‘boleh’…

 

HARI ini, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindusterian Cina Malaysia (ACCCIM), Dato’ David Chua sudah ‘terkena permainan jijik’ Utusan Malaysia yang berniat mahu melaga-lagakan Cina dengan Melayu.

Mereka, (Utusan Malaysia) sebenarnya sudah ketandusan isu. Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir perlu diselamatkan dari isu menghalang Ketua Pengarah BPR menyiasat Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman yang mempunyai RM100,000 di lacinya ketika bertugas di EPU.

Kemarahan orang-orang Melayu terhadap ‘hukuman politik’ Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah sampai ke kemuncak. Kumpulan reformasi yang dikatakan ganas membuktikan sebaliknya. Maka, Utusan Malaysia merasakan, geraf politik Dr. Mahathir semakin menurun.

Maka, mereka mencari isu, bagaimana orang-orang Melayu boleh kembali bersatu di belakang Dr. Mahathir dengan membuat permainan jijik melaga-lagakan pemimpin Cina dengan bangsa Melayu.

Dato’ David Chua dituduh menyentuh hak keistimewaan orang Melayu. Mereka mahu membangkitkan semangat perkauman ini, dengan hasrat Utusan Malaysia akan laku dijual, setelah jatuh merundum ekoran pemboikotan penyokong Barisan Alternatif (BA).

Selama ini, yang menjadi mangsa Utusan Malaysia ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan barisan pembangkang. Namun, mereka nampak kesannya. Jumlah jualan akhbar itu teruk dan laporan mereka tidak dipercayai.

Bayangkan, dengan saiz besar dan gaji besar semua kakitangannya termasuk Senator Zainuddin Maidin, mereka masih gagal menenggelamkan pengaruh Harakah, Eksklusif, Detik, Panji Masyarakat dan Roket.

Mereka mendesak kerajaan mengenakan tindakan terhadap media massa kepunyaan BA ini dan yang tidak sehaluan dengan otak mereka.

Puas mereka memerah otak, bagaimanakah cara terbaik untuk kembali menjadi akhbar popular, tetapi nyata hingga kini ia masih gagal.

Sudah puas mereka mencaci BA, kini mereka cuba melaga-lagakan orang Cina dengan orang Melayu. Mereka bimbang, jika orang Melayu meninggalkan Umno dan Dr. Mahathir kerana mahu menyokong PAS dan keADILan.

Mereka bimbang kalau orang Cina terus bersama-sama DAP kerana DAP kini sudah boleh duduk semeja dengan PAS.

Jika dilaga-lagakan Melayu dan Cina, mungkin ada peluang untuk mereka menakut-nakutkan Cina. Cina yang takut akan kekal dalam MCA, dan ia akan menguntungkan Umno.

Apakah rakyat (khususnya di kalangan atas pagar) masih mahu mempercayai Utusan Malaysia? Jika yang tidak dicakap pun boleh dijadikan bahan penulisan, bayangkan bagaimana mereka memutar belitkan berita-berita PAS, keADILan, PRM dan DAP.

Mereka juga cuba menjadi jaguh menjatuhkan Dato’ Seri Abu Hassan Omar. Kononnya, Abu Hassan cukup risau dengan laporan Utusan terhadap JAIS dan kisah tangkapan di Restoren The Ship.

Abu Hassan sebenarnya jatuh bukan kerana Utusan Malaysia tetapi kerana kelemahannya sendiri. Kelemahannya itulah yang menyebabkan dia terpaksa berundur dan ini merupakan pembalasan Allah terhadap Dr. Mahathir yang memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dulu, dia sudah menghukum Anwar sebelum Anwar didakwa. Kini, bila timbul isu Abu Hassan, Dr. Mahathir tidak pula mahu menyisat sendiri, memanggil adik ipar Abu Hassan yang dikatakan terlibat dalam skandal.

Kenapa dulu, dia boleh memanggil adik YB Azmin Haji Ali, Ummi Hafilda yang mendakwa masih dara? Kenapa dulu Dr. Mahathir sanggup berjumpa ‘budak berjanggut’ yang bernama Khairuddin Abu Hassan yang mengaku sepupu dengan Dato’ Seri Anwar?

Panggillah biras Abu Hassan yang bernama Abu Hassan Tan dan adik ipar Abu Hassan yang menjadi ibu kepada kanak-kanak berusia 11 tahun itu.

Apakah Dr. Mahathir sudah tidak pandai menyiasat lagi sekarang. Mana dia ‘mata-mata’ yang bernama Aziz Shamsuddin, Tengku Adnan Mansor, Megat Junid Megat Ayub, Azizan Abu Bakar, Musa Hassan, Gani Patail, Mohtar Abdullah, Ziela Jalil, Normala Yusof, pakar DNA dan Daim Zainuddin? Gunakanlah orang-orang ini kerana mereka cukup berpengalaman untuk menulis surat, mengupah saksi dan mengumpulkan bukti termasuk tilam yang bertompok! Utusan tentunya boleh melaporkan secara sensasi. Dr. Mahathir boleh menyisat. Utusan boleh melaporkan. Mereka, Utusan dan Dr. Mahathir… ‘boleh’.(PS)