Bebaskan Pejuang-pejuang Keadilan [3]

24 April 2001 adalah hari yang istimewa. Kami isteri-isteri tahanan zalim ISA yang telah bertambah bilangannya, menyaksikan dua keadaan yang begitu berbeza.

Pukul 12 tengahari kami berkumpul di hadapan pintu masuk Bukit Aman untuk bersama-sama Bahirah, anak-anak dan ibu bapa Saudara Ezam meraikan hari jadinya, hari ini. Turut hadir beberapa orang ahli Parlimen DAP dan beberapa orang bekas tahanan ISA yang turun untuk memberi sokongan. Setelah semuanya berkumpul, kami pun berhubung dengan pegawai PR Bukit Aman. Kami terpaksa tunggu lagi kerana katanya, dia lambat sebab "blackout", jadi lift tak boleh guna. Apabila dia turun ke pondok pengawal, hanya isteri-isteri dan anak kecil sahaja diberi pas pelawat. Nampaknya ada perkembangan baik berbanding dengan kedatangan kami pada 11 April yang lalu, iaitu sehari selepas suami-suami kami ditahan. Pada pagi hari itu kami hanya dilayan di pondok pengawal di tengah jalan kereta keluar masuk di bawah hujan rintik-rintik. Walau bagaimana pun Pegawai PR Bukit Aman itu telah meminta maf kepada saya apabila saya telefon mengatakan "bad PR" atas layanan tersebut pada keesokan harinya.

Apabila kami masuk beliau masih tidak dapat memberi jawapan bila kami boleh berjumpa suami yang ditahan. Kek untuk Ezam juga tidak dapat diterima. Surat-surat dan kad dan pesanan lain diterima oleh beliau dan akan disampaikan kepada pegawai lain. Saya dan isteri Dr. Badrul Amin meminta salinan senarai barang-barang dan bahan yang diambil dari rumah kami semasa suami kami ditahan. Isteri Saudara Lokman pula hanya mendapat pengesahan bahawa suaminya juga adalah tahanan ISA apabila bertanya kepada pegawai PR tersebut.

Vasanthi isteri Gobala juga bertanya undang-undang apakah yang tidak membenarkan isteri berjumpa suami dan menuntut bila kami boleh berjumpa. Polis kata mereka "Cepat dan Betul". Pegawai PR itu pun berdalih mengatakan bahawa tidak semua "Cepat dan Betul" Lalu Vasanthi menempelak, kalau tidak boleh "Cepat dan Betul" tak payahlah gantung moto "Mesra, Cepat dan Betul" tu.

Kami persoalkan tentang perikemanusiaan, kegelisahan dan keperitan isteri yang datang dari jauh dan anak-anak yang terpaksa ponteng sekolah hanya untuk melihat ayah mereka. Anak-anak kecil saya dan Bahirah tetap tidak mengerti apa yang ibu-ibunya sedang hadapi kerana mereka bermain dan melompat sambil gelak ketawa di dalam bilik tersebut. Akhirnya setelah berada lebih kurang 45 minit di bilik tamu yang berhawa dingin itu, kami terpaksa melangkah keluar dengan perasaan yang hampa dan kecewa dengan jawapan dan alasan yang kami terima.

Sampai di luar, kami disambut oleh pemberita dan jurugambar. Bahirah menyatakan kesalnya tidak dapat menyampaikan hasrat anak-anaknya dan ibu bapa Ezam untuk menyambut hari jadi Ezam bersamanya.

Walaupun begitu, sebelum masuk tadi penyokong-penyokong kami telahpun menyanyikan lagu "Happy Birthday To Ezam". Rupa-rupanya nyanyian itu adalah untuk SUHAKAM kerana apabila kami pergi ke SUHAKAM pada pukul 3 petang, Tan Sri Anuar menyatakan bahawa hari ini adalah hari jadi SUHAKAM yang pertama. Tan Sri Anuar menerima aduan Farah, isteri Lokman umpama seorang ayah mendengar rintihan seorang anak. Dengan linangan air mata, Farah memohon bertemu suaminya dan hari ini juga adalah hari jadi anaknya yang kedua berumur satu tahun.

Pembelaan terhadap hak asasi ini amat diharapkan daripada SUHAKAM. Tan Sri Anuar terus memberi harapan bahawa adalah tanggungjawab SUHAKAM membela hak asasi semua rakyat, majoriti mahupun minoriti. Semua kata-kata beliau amat melegakan hati kami. Rupanya masih ada manusia yang mempunyai sedikit kuasa yang mengerti erti perikemanusiaan dan belas kasihan terhadap manusia lain yang teraniaya oleh akta zalim ini. Terima kasih juga kepada semua sahabat handai dan penyokong-penyokong kami yang terus memberi sokongan dalam apa jua bentuk sekalipun.

Bebaskan tahanan ISA dengan segera. Teruskan perjuangan mansuhkan ISA.

Ummu Urwah (Aliza Jaffar)

24 April 2001