Bebaskan Pejuang-pejuang Keadilan [2]

Hari ini kita dikejutkan lagi dengan penangkapan seorang lagi pejuang kebenaran iaitu Ustaz Badrul Amin, tokoh yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Tentulah rakyat tertanya-tanya atas alasan apa pula beliau ditahan. Bertambahlah bilangan anak-anak yang kehilangan belaian bapa mereka oleh satu akta yang zalim.

Malam tadi, anak saya yang kecil, Wasilah yang berumur 2 tahun 4 bulan mendengar pintu hadapan dibuka dan suara seorang lelaki. Dia terus bertanya, "Ayah balik?" Saya terus memberitahu "Ayah belum balik lagi, sayang" Rupanya-rupanya abangnya yang buka pintu dan suara abangnya seperti suara ayah. Mungkin dia sudah terasa kenapa lama ayah pergi kali ini. Dan saya yakin ayahnya juga amat merindui Wasilah. Ke mana-mana dia pergi walaupun untuk berceramah di seluruh tanahair, dia seboleh-bolehnya hendak saya bawa Wasilah. Anak-anak saya yang lain telah bersekolah dan kami pastikan pulang ke rumah walaupun di waktu subuh untuk melihat anak-anak kami melangkah ke sekolah. Kini setelah bapa-bapa keluarga ditahan ISA maka ibu-ibulah menjadi bapa dan ibu. Ibu-ibu mesti tabah dan terus bersabar menghadapi ujian Allah ini.

Pada hari Ahad yang lalu, kami keluarga tahanan ISA diraikan di Majlis Ulangtahun Kedua Barisan Alternatif. Sokongan padu terus datang mencurah-curah daripada semua lapisan masyarakat. Keesokan harinya kami bergegas pula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar perbicaraan habeas corpus sebagai usaha untuk membebaskan ahli keluarga kami yang ditahan. Walau bagaimanapun Hakim Abdul Wahab Patail menarik diri untuk mendengar perbicaraan tersebut kerana adiknya akan mengetuai pihak pendakwaraya. Kes ditunda kepada hari Selasa dan ditukar kepada Hakim Augustine Paul. Kami hadiri juga walaupun banyak perkara yang kami tidak faham. Dr. Wan Azizah, Nurul Izzah dan Saudara Lim Kit Siang juga turut hadir mengikuti perbicaraan. Akhirnya kami serahkan sahaja kepada peguam-peguam Saudara Sivarasa Rasiah, Saudara Zainur Zakaria dan Saudara Kamarul Hisham. Jutaan terima kasih kepada mereka. Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Malam Rabu kami menghadiri Pelancaran Kempen Bebaskan Tahanan ISA di Dewan Perhimpunan Cina anjuran Pemuda KeADILan Wilayah Persekutuan. Saya berpeluang memberi ucapan. Syabas saya ucapkan kepada pemuda-pemuda yang berani yang tidak takut dengan ugutan ISA yang telah dikenakan terhadap pimpinan mereka. Mable, tunang Saudara Tian Chua dan Puan Roslijah, isteri saudara Abdul Ghani Haron juga turut menyampaikan luahan rasa hati mereka dengan linangan air mata. Saudara Lim Guan Eng, Saudara Dr. Sanusi Osman dan Saudara Lee Ban Chian juga memberi ucapan yang bersemangat untuk kami. Acara kemuncak adalah Pelancaran Kempen oleh Dr. Wan Azizah.

Bangunlah wahai rakyat yang cintakan keadilan. Gandingkan bahu kita bersama menentang kezaliman ISA. Dunia ini hanya sementara, di akhirat jua keadilan yang sebenar.

21 April 2001 / 27 Muharram 1422

Aliza Jaffar (Ummu 'Urwah)
Isteri Hj. Saari Hj. Sungib