MEMOIRKU DENGAN AYAH

10 April 2001, jam 6.20 petang, sekali lagi merupakan detik hitam dalam memoirku dengan ayah. Terdahulu, Oktober 1998, merupakan kejadian yang agak trauma bagiku. Ayah ditahan polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dalam keadaan aku satu-satunya saksi di situ. Namun, pengalaman telah mengajarku menjadi lebih tabah. Pengorbanan ini dikira masih sedikit berbanding tokoh-tokoh awal seperti Syed Qutb, Imam Hassan Al-Banna, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi di Malaysia ini.

Tarikh 10 April 2001 menyaksikan tiada setitis air mata pun tumpah demi pengorbanan ayah yang tidak sia-sia. Pelukan dan dakapan terakhir ayah buatku masih sempat mengizinkan ayah membisikkan kata-kata,"Be strong", ketelingaku. Penahanan kali ini kurasakan berbeza sekali. Semacam ada kekuatan yang Allah anugerahkan sehingga dengan beraninya kulaungkan, "Reformasi!", berulang-ulang kali di hadapan polis tatkala ayah dibawa masuk ke dalam kereta Wira berwarna putih.(Mungkin disebabkan inilah aku agak paranoid dengan kereta Wira berwarna putih).

Siapakah ayah? Ayah yang kukenal gigih orangnya. Apa yang ayah lakukan diberikan penumpuan sepenuhnya. Dedikasi ayah dalam perjuangan, tidak kira ketika menerajui JIM 1990-1999 mahupun dalam era reformasi, menyebabkan kami adik-beradik menjadikan ayah sebagai model kami.

Biarlah apa yang ingin difitnah kerajaan, namun aku lebih mengetahui betapa jujurnya ayah dalam perjuangan ini. Ayah yang kukenal, tidak suka budaya kerja yang tidak telus. "Be transparent!. Buat apa nak sorok-sorok!" Adakah ini orangnya yang merancang penggulingan kerajaan ala militan dan secara bawah tanah?

Semangat perjuangan ayah tidak pernah pudar. Pernah dalam satu perbincangan kami tentang masa depan saya selepas graduasi universiti berbincang soal perjuangan. Kata ayah,"Kesenangan dan kemewahan menjadikan kita sukar untuk berkorban dan berjuang. Kalau bukan kita yang bekerja menumbangkan kerajaan, siapa lagi?"

Ayah memang sudah menjangka penahanannya dan memberitahuku hampir sebulan sebelum tarikh keramat 14 April. Kata ayah, "Kali ni tak nak nangis-nangis."

Mungkin sudah menjadi sunnah orang berjuang, pelbagai dugaan yang kami sekeluarga hadapi. Perlu lari ke sana ke mari, rumah dimasuki perompak, digeledah polis seolah-olah kami tiada hak lagi untuk mempertahankan kediaman sediri. Apa yang pasti, ayah tetap teguh dengan pendiriannya yang sentiasa berpegang pada prinsip keadilan. Keluarga tidak menjadi penghalang. Oleh itu, sering ayah kelihatan menjaga hubungannya dengan Allah, mungkin sebagai persediaan membina kekuatan jiwa. Ayah jarang sekali meninggalkan qiamullailnya. Hampir setiap masa di rumah, ayah gunakan untuk membaca al-Quran. Kini terbayang-bayang ayah duduk bersila di ruang legar tingkat atas rumah kami membaca al-Quran besarnya. Isnin dan Khamis, jika ayah tidak sakit, ayah akan berpuasa sunat. Waktu petang, ayah akan perutukkan masa untuk berjogging dengan mama atau bermain badminton dengan adik-adik. Jika berkesempatan pada hari-hari tertentu, ayah akan pergi memancing ikan (hobi kegemaran ayah), katanya untuk tenangkan fikiran. Kalau ayah tidurpun, selalunya banyak ilham yang ayah dapat untuk menulis.

Cara ayah memimpin dan berorganisasi biasanya disalurkan melalui tulisan yang dihantar melalui e-mel. Berjam-jam ayah duduk di hadapan komputernya, memeriksa e-mel dan membalas satu persatu perkara. Adakah begini orangnya yang bertindak ala militan, wahai tuan IGP?

Sering saya berdoa agar Allah beri kekuatan pada ayah menghadapi dugaan ini. Doa saya juga agar Allah beri kekuatan pada kami sekeluarga. Alhamdulillah, ayah dianugerahkan isteri yang cekal. Mama tidak pernah menangis. Tidak pernah saya lihat air mata mama dititiskan, dahulu mahupun sekarang. Namun, jika setitis air mata mama tumpah, saya akan tuntut pembelaan, jika tidak di dunia.....PASTI di akhirat.

Saya rasakan memoir dengan ayah amat berharga. Tidak cukup untuk diungkap dalam bentuk tulisan. Sepanjang 21 tahun ini terlampau banyak yang saya pelajari dan titipkan pengalaman dari seorang insan pejuang, Haji Saari Haji Sungib, mangsa ISA 2001 dan ayah kami tersayang. Andaikata ayah gugur, doa saya biar ayah pergi sebagai orang syahid. Biar gugur seorang, muncul lagi seribu pejuang.

Ayuh anak muda! Bangkitlah....sebarkan tentang hak kita semua, bebas bersuara, bebas dari ISA (akta kuku besi).

21 April 2001

Anfaal Saari
Anak Sulung Hj. Saari Hj. Sungib