Kenyataan Media BARISAN ALTERNATIF
25 Disember 2000
REDAKAN KETEGANGAN KAUM!
-----------------------
Barisan Alternatif mengalu-alukan penjelasan yang dibuat oleh Suqiu pada 22 Disember 2000 bahawa pihak Suqiu menghormati prinsip-prinsip asas Perlembagaan Malaysia, terutamanya fasal 153 yang melindungi kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak. Dalam mesej Krismas-Hari Rayanya yang dikeluarkan pada 24 Disember 2000, Suqiu mengulangi pendiriannya dan menegaskan betapa pentingnya program tindakan afirmatif (affirmative action) yang termaktub dalam Perlembagaan dilaksanakan dengan adil.
Penjelasan Suqiu harus mendorong kumpulan-kumpulan tertentu menghentikan segala bentuk serangan dan kecaman terhadap badan tersebut. Pendekatan agresif dan sikap konfrontasi kumpulan seperti Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah menimbulkan ketegangan kaum dan memburukkan suasana etnik dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan ugama. Malah, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tertentu, khususnya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mula-mula membangkitkan isu Suqiu dengan nada perkauman juga bertanggungjawab atas keadaan ini.
Dalam masyarakat berbilang kaum dan ugama yang mengamalkan demokrasi, musyawarah dan muafakat - dan bukannya ugutan dan ancaman - adalah cara yang paling baik untuk menyelesaikan kontroversi kaum . Penerimaan semua pihak terhadap prinsip-prinsip Perlembagaan negara merupakan asas baik untuk mengadakan dialog secara rasional antara badan-badan yang berbeza pandangan tentang isu-isu etnik.
Dialog antara kaum dan ugama sepertimana dianjurkan oleh BA dihargai oleh rakyat Malaysia. Rakyat kita yang semakin matang kefahaman politiknya menolak sama sekali sebarang percubaan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak berprinsip untuk memperalatkan perasaan perkauman bagi memulihkan kedudukan politik mereka atau mengalihkan pandangan rakyat daripada kepincangan ekonomi dan politik negara. Retorik politik perkauman yang kosong tidak dapat lagi mempengaruhi rakyat Malaysia.
Dalam bulan Syawal yang mulia ketika umat Islam menyambut Eid-il-Fitr, BA merayu kepada pemimpin-pemimpin politik mahu pun sosial menghindarkan diri dari politik perkauman. Seruan ini juga selaras dengan semangat hari Natal - Krismas - yang mengutamakan keamanan dan perdamaian sebagai nilai-nilai sejagat umat manusia.
Selamat menyambut hari Natal !
Selamat Hari Raya Aidil Fitri !
Selamat Tahun Baru !
YB Dato' Ustaz Fadzil Mohd.
Noor, Presiden PAS
YB Dr. Wan Azizah Ismail, Presiden keADILan
YB Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung DAP
Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM