
Salam Reformasi
2 TAHUN SUDAH BERLALU
Sekalung tahniah Komentar ucapkan kepada Parti keADILan Nasional
yang sudah menjangkau 2 tahun. Masih segar dalam ingatan Komentar
pertama kali keADILan di lancarkan. Sungguh bersemangat dan benar-benar
menunjukkan kebangkitan rakyat yang bersepadu menuntut perubahan dan
pembebasan Sdr Anwar Ibrahim. Pelancaran Parti Keadilan Nasional memberi
wadah baru dalam politik negara ini.
keADILan ditubuhkan
atas tuntutan demokrasi yang setakat ini hanya diukur dengan mengadakan
piliharaya. Kita akan berhadapan dengan pilihanraya umum dan satu wadah
diperlukan untuk menyalurkan undian rakyat. Lantas tak kala itu
pembentukkan parti baru diperlukan. Parti ini juga akan berlandaskan
suara rakyat suara keramat dan parti ini dikatakan tertubuh atas
kehendak rakyat khususnya pendokong reformasi.
Mulai dari itu logo parti itu terpapar di setiap kenderaan pendokong
reformasi. Logo parti keADILan inilah menjadi kebanggaan pejuang
reformasi yang pada masa itu mahukan pengunduran Dr Mahathir dan
keadilan buat Anwar Ibrahim. Kenderaan penuh dengan logo-logo keadilan
dan perjuangan disemarakkan dengan suara rakyat menjadi penentu.
Kini 2 tahun sudah berlalu. Perjuangan mesti diteruskan. keADILan hadir
menyambut tahun keduanya. Wadah ini masih wujud untuk memperjuangkan
keadilan dan memperbaiki sistem usang yang ada sekarang ini. keADILan
masih menjadi harapan dalam kancah politik yang sebegini hebat bermula
dari tarikh pemecatan Sdr Anwar Ibrahim.
keADILan sudah melangkau jauh dan ada kalanya ibarat meninggalkan
reformis yang serba kurang arif dengan apa yang dikatakan politik.
keADILan kini bersilat dalam senario politik negara kita ini.
Politik sudahnya keADILan. Politikus sudahnya kita semua.
Dengan doa tulus ikhlas,
Komentar mengharapkan keADILan dapat memperjuangkan kemurnian tuntutan
islah kita. Dengan harapan yang tinggi, Komentar percaya keADILan dapat
menjana kembali semangat perjuangan yang ada tetapi seakan tersisih.
Berdoa kita kepada ALLAH SWT agar semangat juang kita tidak luntur dan
agar Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan atas pegangan "suara
rakyat suara keramat" dapat berkekalan dengan tujuan dan perjuangan
yang serupa yakni :- menuntut perubahan/islah dan seruan reformasi.
Hormat dari Komentar.
|