Oleh Pena Suasa
Sekadar renungan…(2)
DI Parit Buntar, Abd Rahman
Sulaiman juga tewas sebagai Ketua Umno Bahagian di tangan Datuk Abdul Raman
Suliman.
Abd Rahman dianggap sebagai
“orang Anwar” manakala Datuk Abdul Raman pula dikenali sebagai “orang Abdullah
Ahmad Badawi”.
Sebagai seorang bekas Ketua
Pengarang Bernama, Abd Rahman tidak dipilih menjadi calon dalam pilihan raya
umum ke 10 walaupun dia adalah Ketua Umno Bahagian tetapi Datuk Abd Raman
diletakkan sebagai calon BN walaupun tidak berjawatan dalam Umno bahagian.
Bagaimana pun, Datuk Abdul Raman
tewas di tangan Datuk Dr. Hassan Ali (Pas) dan sejak dari saat itu, dia bekerja
keras untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Parit Buntar semula.
Hari Ahad, 22 April 2001 sahlah
Abd Rahman disingkirkan dari kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Parit
Buntar.
Selepas Datuk Ruhanie Ahmad,
Datuk Abu Zahar Nika Ujang, Datuk Fauzi Abd Rahman, Datuk Dr. Ibrahim Saad,
Datuk Dr. Afiffuddin Omar dan Abd Rahman Sulaiman, siapakah lagi yang masih
berharap mereka boleh “hidup” dalam Umno?
Kalaulah mereka semua ini ada
sedikit lagi keberanian, bukan berani seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd
Ezam Md Nor tetapi sedikit keberanian, meninggalkan Umno dan bersama-sama
berjuang dalam keADILan, mungkin hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berada
di luar penjara dan bukan Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia.
Nyata mereka menunggu sesuatu.
Mereka percaya mereka masih ada tempat dalam Umno dan persetan Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Persetan kezaliman dan persetan perjuangan. Akhirnya, kesemua mereka,
yang naik kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan di kaki lima Umno.
Pada tarikh yang sama, 22hb.
April 2001 seorang lagi orang yang banyak dapat bantuan dari Datuk Seri Anwar
dalam kerjaya politiknya, Datuk Seri Abu Zahar Isnin juga diketepikan oleh
menantu Tun Ghafar Baba, Kapten (B) Ahmad Hamzah.
Abu Zahar boleh sahaja menafikan
dia “budak Anwar Ibrahim” tetapi tiada siapa yang dapat menafikan.
Dr. Mahathir menghinanya dengan
memberikannya jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri walaupun
ketika itu dia adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Melaka. Dia masih
menunggu di situ, kononnya dia boleh hidup dalam politik kalau dia meninggalkan
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakikatnya tidak begitu. Dia
akan menerima nasib malang berturut-turutan kerana Dr. Mahathir tidak akan
percaya dengannya. Kini, selepas tiada apa-apa jawatan dalam Umno, dia hanya
menunggu masa untuk disembelih oleh Dr. Mahathir.
Kalau mereka sedar, mereka juga
hebat seperti YB Saifuddin Nasution dan YB datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.
Tetapi disebabkan mereka semua “penakut”, maka tempatnya ialah “kaki lima
Umno”.