OLEH DATO' SERI ANWAR IBRAHIM Mulai hujung minggu ini ramai rakyat Malaysia mulai pulang ke negeri dan kampung masing-masing untuk menyambut Hari Kebesaran mereka. Kepada penganut agama Kristian, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal dan kepada umat Islam, saya mengucapkan Eid Mubarak, dan kepada seluruh rakyat Malaysia saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru. Rakyat Malaysia yang telah mengekalkan tradisi hormat menghormati akan sama-sama menyambut hari-hari kebesaran dengan semangat persahabatan.
Saya percaya semangat persahabatan ini yang didasarkan ungkupan bahawa kita adalah satu keluarga akan menjadi benteng perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum ini bukan sahaja diasaskan kepada semangat toleransi tetapi lebih daripada itu, ia adalah berdasarkan prinsip dan juga cita-cita bersama untuk menegakkan kebenaran dan keadilan untuk membentuk negara yang bersih daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Malangnya ada setengah pihak yang didalangi oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad ingin menimbulkan kecurigaan dan melaga-lagakan antara kaum di Malaysia. Dalam kes terbaru, media massa telah digembeling untuk menekan Suqiu daripada menyatakan pendapatnya untuk membentuk sebuah negara yang berasaskan demokrasi bebas daripada rasuah dan mempunyai sistem kehakiman yang bebas.
Meski pun saya kini terlantar di hospital dan sering mengalami kesakitan akibat anjakan pepiring tulang belakang (slip disc) namun saya lebih prihatin dan bimbang dengan manipulasi media mengenai keistimewaan orang melayu dan bagaimana ia telah dimanipulasi untuk tujuan politik sempit Dr. Mahathir. Dalam pilihanraya kecil Lunas yang lalu masyarakat pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India telah sepakat menolak perkauman dan perpecahan oleh Barisan Nasional. Sekarang Dr. Mahathir ingin memecahkan perpaduan pelbagai kaum tersebut sebaik sahaja Barisan Alternatif terlibat. Ini sebenarnya politik murah Dr. Mahathir dan politik tidak bermoral.
Saya berharap pimpinan-pimpinan dalam Barisan Alternatif terus konsisten dengan pendirian bersama yang dibuat menjelang pilihanraya umum 1999 yang lalu iaitu untuk berpegang teguh kepada prinsip-prinsip perlembagaan. Yang penting adalah kita mempertegaskan prinsip sama rata atau prinsip persamaan yang begitu kukuh terhadap perlembagaan di samping kita menghargai sumbangan generasi yang lalu.
Kepada semua kaum saya yakin generasi sekarang adalah generasi yang lebih yakin dengan kebolehan mereka. Yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kebudayaan dan juga mempunyai kekuatan serta keyakinan untuk mempelajari kebudayaan rakan-rakan jiran mereka. Abad yang baru ini adalah abad pelbagai budaya. Justeru itu, generasi baru perlu memperkayakan ilmu dan pengalaman mereka dengan menimba ilmu kebudayaan besar baik Cina, India, Islam mahupun barat.
Saya penuh yakin bahawa Barisan Alternatif mempunyai gagasan yang besar yang sungguh menarik masyarakat pelbagai kaum yang cintakan keberanian dan keadilan. Justeru itu, gagasan ini telah menggugat Barisan Nasional dengan kekuatan gagasan yang ada Barisan Alternatif boleh mengembeling masyarakat sama kaum di Malaysia untuk bersama-sama membuka lembaran baru dalam sejarah dan membina Malaysia sebagai sebuah tamadun.
ANWAR IBRAHIM