Oleh Ummu Natasya

 

Apa Tugas Zul Azahar Cha sekarang?

 

MASIHKAH pembaca semua ingat dengan nama Zul Azahar Cha? Nama ini sedikit waktu dahulu mengemparkan media massa pro kerajaan kerana bekas banduan yang mengaku menjadi Setiausaha Sulit Ketua Pemuda keADILan Nasional, Mohd Ezam Mohd Nor mendedahkan kononnya ada “hubungan tidak sihat” antara Mohd Ezam dengan anak gadis Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah.

Selepas membuat pendedahan itu dan kemudiannya menyertai Umno, bekas banduan ini senyap begitu sahaja walaupun beberapa kali nama dan gambarnya tersiar dalam majalah yang “secara perlahan-lahan” menyindir Mohd Ezam.

Tiada siapa yang tahu berapa wang yang Zul Azahar dapat dari Umno tetapi dia kini bekerja sebagai “pembawa beg” kepada Pengerusi Bank Rakyat, Dr. Nuraesah Mohamad.

Ke mana sahaja Dr. Nuraesah pergi, Zul Azahar akan menjadi pembawa beg dan berdiri tercegat di belakang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dilantik oleh Dr. Mahathir ini.

Satu sumber memberitahu, ketika Dr. Nuraesah menghadiri taklimat pindaan perlembagaan Umno di Aras 4, PWTC, Zul Azahar terhegeh-hegeh seorang diri di pintu masuk Dewan utama itu kerana tiada siapa yang kenal dengannya. Kalau ada yang kenal pun, tiada siapa berani berkawan dengan manusia jenis ini, memfitnah orang yang sudah menolongnya.

Dengan kot dan tali leher, si pembawa beg ini ke hulu ke hilir seorang diri. Tiada siapa menegurnya dan tiada siapa bersembang dengannya.

Itulah yang terjadi kepada bekas orang-orang keADILan yang kepingin sangat hendak menjadi hero. Mereka dijanjikan menjadi penceramah oleh Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Mustapa Mohamed tetapi “janji itu” tidak ditunaikan kerana nyata bekas orang keADILan ini tidak diterima oleh ahli-ahli Umno.

Mereka berceramah tetapi tiada siapa yang hendak mendengarnya. Maka, program ceramah itu terpaksalah dibatalkan.

Cuba kita bertanya dengan kawan-kawan yang tahu, ke mana pergi Baharuddin Ali Masrom, Wan Indera Putra Ahmad, Nordin Ahmad, Zuraidi Rahim, Kamaruddin Hassan, Jaafar Ahmad dan seorang dua lagi yang beria-ia meninggalkan keADILan kononnya dengan alasan “parti itu tidak ada perjuangan”.

Seperti kata Mohd Ezam, Zul Azahar datang berjumpa dengannya selepas bebas dari penjara kerana kes pecah amanah. Dia sudah beristeri dan mempunyai seorang anak ketika itu.

Dia beritahu dia sanggup buat sebarang kerja asalkan ada sedikit pendapatan. Akhirnya Mohd Ezam meminta dia jadi pemandu tetapi digelar pembantu. Zul Azahar sendiri yang memberitahu orang lain bahawa dia adalah Setiausaha Khas kepada Mohd Ezam. Kadang-kadang dia kata dia dilantik menjadi Setiausaha Sulit. Macam-macamlah jawatannya tetapi yang sebenarnya pemandu. Cuma, sebagai kawan Mohd Ezam tidak sanggup menggelarkannya pemandu kerana “dia bekas pegawai bank” yang pecah amanah.

Akhirnya dia kembali bekerja di bank tetapi bukan sebagai pegawai kerana dia tidak amanah tetapi sebagai “pembawa beg” Dr.Nuraesah Mohamad. Begitu hina Zul Azahar yang keluar dari keADILan dengan tujuan menjadi hero dengan memalukan Mohd Ezam yang pernah menyuapkan nasi ke mulutnya dan memalukan keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sedang dilanda kesedihan.

Zul Azahar bolehlah menjadi contoh kepada sesiapa lagi yang ingin meninggalkan keADILan untuk menjadi ahli Umno.

 

habis