Y.B. Saupi Bin Daud

Ahli Parlimen Kawasan Tanah Merah

Soalan-Soalan Untuk Jawapan Lisan

1. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Perusahaan Utama menyatakan apakah faktor-faktor yang menyebabkan harga komoditi utama negara getah dan kelapa sawit begitu rendah. Apa tindakan kerajaan dalam jangka pendek dan panjang untuk meningkat pendapatan para petani, peneroka dan penoreh getah yang terhempit akibat kejatuhan harga hasil pertanian dan komoditi secara mendadak ini.

2. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Pendidikan menyatakan tindakan kerajaan mengatasi pemberhentian belajar oleh anak-anak peneroka, penoreh getah dan petani secara besar-besaran akibat kemorosotan pendapatan kerana kejatuhan harga hasil pertanian dan komoditi negara. Apakah kerajaan akan menyediakan tabong khas untuk pendidikan pelajar-pelajar ini.

3. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Pertanian menyatakan kejayaan yang dicapai dalam Dasar Pertanian Nasional ke-3 untuk menggalakkan sektor swasta didalam perusahaan pertanian secara besar-besaran. Apakah hasil pertanian negara berupaya menyaingi harga dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

4. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah 'Non-Performing Loan' yang telah dibeli oleh Danaharta dan berapa banyak lagi 'Non-Performing Loan' yang masih ditanggong oleh bank-bank dalam negara.

5. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Kewangan menyeneraikan syarikat-syarikat yang akan diselamatkan oleh kerajaan. Berapa jumlah yang diperlukan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat ini.

6. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Perpaduan dan Pembangunan Sosial menyatakan apakah kerajaan memantau pelaksanaan kemudahan-kemudahan untuk masyarakat yang kurang berupaya di tempat-tempat awam seperti akses kepada bangunan dan sebagainya. Apakah Bangunan Parlimen ini akan disediakan dengan kemudahan tersebut.

7. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa menyatakan apakah bentuk denda yang dikenakan kepada kerajaan Malaysia akibat dari tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan AFTA dalam industri automotif. Apakah denda tersebut akan dilaksanakan oleh kerajaan.

8. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan mengapa kerajaan akan meneruskan pengambilan pekerja asing terutama dari Myammar seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri sekembali beliau dari Myammar walaupun keadaan ekonomi negara amat muram. Nyatakan sektor-sektor yang masih memerlukan pekerja asing dan berapa ramai yang diperlukan.

9. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Menteri Pertanian menyatakan polisi kerajaan dalam pengimportan beras untuk keperluan negara. Apakah kerajaan hanya mengimpot beras berqualiti tinggi sahaja atau termasuk yang setaraf dengan beras tempatan. Apakah kerajaan akan memecahkan monopoli Bernas dalam pengimpotan beras kedalam negara.

10. Y.B. Saupi Bin Daud [Tanah Merah] minta Perdana Menteri menyatakan apakah BPR akan menyiasat dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di Sarawak seperti yang dilaporan didalam internet dibawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak sekarang. Apakah BPR akan bertindak menyiasat sekiranya ahli parlimen membongkar rasuah, dan penyalahgunaan kuasa didalam parlimen ini.