KABARAN DARI WIRA REFORMASI LOKMAN NOOR ADAM 26.04.2000

 

Assalamualaikum w.b.t.

Didoakan semoga teman-teman seperjuangan berada di dalam keadaan sihat walafiat dan diberkati Allah s.w.t  hendaknya.  Saya disini Alhamdulillah sihat-sihat sahaja, cuma turun berat badan sikit....baguslah tu.

Saya merasa lega melihat semua teman pimpinan dan pendokong Black 14 telahpun selamat dibebaskan.  Maaf kerana tidak dapat sama-sama menempuh keperitan yang kamu semua rasai di dalam lokap PDrM, kerana terpaksa meneruskan program-program diperingkat negeri.  Ada pandangan yang meminta saya menampilkan diri selepas teman lain dibebaskan pada 22hb April lalu, memandangkan saya sudahpun mempunyai program yang dijadualkan di Kota London pada 27hb ini, saya terpaksa mengelakkan diri daripada ditangkap hingga selesai program ini kelak.

Sehubungan dengan itu, pada jam 6.15 pagi, 24hb April lalu saya telahpun keluar daripada Malaysia melalui Pengkalan Kubur, Kelantan.  Nasib saya memang baik, dengan kuasa Allah, setibanya saya di Imigresyen, komputer mereka telah rosak dengan tiba-tiba.  Saya telah menghabiskan masa selama dua malam di Sg. Kolok sementara menunggu tiket saya ke London selamat saya terima.  Dua hari di Sg Kolok agak membosankan kerana tak banyak perkara yang boleh saya buat, nak keluar SB IPK Kelantan cukup ramai merata tempat.  Nasib baik ada syber cafe yang agak tertutup, dapat saya menghilangkan perasaan bosan saya melayari media rasmi saya, LAMAN REFORMASI.

Kira-kira jam 1.00 tgh 26hb April, saya telah berangkat ke Kota Bangkok dengan menaiki Bas Ekspress.  Hampir 20 jam saya di atas bas semalam dan petang ini saya akan menghabiskan masa kira-kira 18 jam lagi untuk sampai ke Kota London.  InsyaAllah, bila saya sampai di London nanti, saya akan mengutus berita perkembangan program kami di sana kelak.

Pada teman-teman seperjuangan, saya ucapkan selamat berjuang dan teruskan amanat Sdr Ezam untuk melaksanakan perhimpunan Memorandum Rakyat, pada rakan-rakan SB PDrM pula, jangan bimbang, saya pasti akan pulang ke Malaysia, kamu masih punyai peluang untuk menangkap saya.  Tapi satu saja permintaan saya, bagilah peluang saya lihat wajah anak saya yang baru lahir pada 24hb April lalu....... okey.

Salam buat teman-taman di Malaysia.

"PEMUDA PEMANGKIN GERAKAN REFORMASI"

LOKMAN ADAM
OT31/98
Bangkok - 11.30 am 27hb April, 2000