Pakatan pembangkang tolak tuntutan Suqiu - Wan Azizah

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pakatan pembangkang menolak tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) yang bertentangan dengan asas perlembagaan negara khususnya pemansuhan status bumiputera dan bukan bumiputera serta sistem kuota.

Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, konsep perlindungan kepada kedudukan istimewa bumiputera telah termaktub dalam perlembagaan negara.

''Bagi kami, (konsep itu) bermakna membantu secara adil bumiputera yang miskin dan yang tertinggal dari arus pembangunan negara,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang difakskan ke sini, hari ini.

Menurut beliau, pakatan pembangkang mempunyai pendirian yang jelas dan jitu dalam menolak tuntutan-tuntutan yang sensitif itu.

Bagaimanapun pada masa yang sama, katanya, keempat-empat gabungan parti pembangkang masih berpegang pada pendirian yang dibuat pada 19 Oktober tahun lalu, untuk menerima sebahagian besar daripada tuntutan Suqiu.

Ini kerana, katanya, sebahagian besar daripada tuntutan tersebut tidak ada kena-mengena langsung dengan kedudukan bumiputera atau sistem kuota bumiputera.

''Tumpuan memorandum Suqiu yang diumumkan sebelum pilihan raya umum 1999 adalah tentang keadilan sosial, pembahagian kekayaan negara, pembanterasan rasuah, sistem kehakiman yang bebas, media yang tidak dikawal eksekutif dan pilihan raya yang adil,'' katanya.