Berita Harian Singapura:Rabu, 19 April 2000

 

Anwar kutuk tindakan polis

 

KUALA LUMPUR -- Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan polis menangkap ramai penyokong beliau bagi menghalang rancangan mengadakan perhimpunan besar besaran di pusat bandar di ibu kota Malaysia itu.

Mantan timbalan perdana menteri Malaysia itu juga menggesa kerajaan supaya segera membebaskan tanpa syarat hampir 50 penyokongnya yang ditangkap hujung minggu lalu itu.

 

"Saya kesal dengan tindakan kasar dan ganas pihak polis untuk menggagalkan rancangan perhimpunan secara aman itu," kata Datuk Seri Anwar dalam satu notanya yang ditulis tangan dan diberikan kepada para wartawan oleh anggota keluarga beliau semasa perbicaraan semalam.

 

Beliau berkata beberapa orang yang tidak terlibat dalam perhimpunan itu juga telah ditangkap, sementara pejabat Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang diketuai oleh isteri beliau, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diserbu.

 

"Polis menggunakan peluang ini untuk menindas parti-parti politik dan aktivis yang mengkritik kerajaan," kata Datuk Seri Anwar. -- AFP.