KENYATAAN MEDIA

Bagi menyemarakkan lagi Bulan Reformasi, Pergerakan Wanita keADILan yang dipimpin oleh Ketua Wanita keADILan Pusat, Hjh Fuziah Salleh telah melancarkan dan sedang giat melaksanakan program-program berikut:

 

Kempen Poskad FAC:

 

Kempen ini adalah dalam bentuk menjual poskad FAC atau Free Anwar Campaign kepada orang ramai dan meminta mereka mengirimnya kepada tokoh-tokoh negara serta rakan-rakan mereka. Sasaran kiriman poskad ini adalah 1,000,000 keping. Sasaran tarikh untuk mencapai tahap ini adalah pada 31 Disember 2000. Sehingga hari ini sebanyak 250,000 keping poskad telah dicetak.

 

Petisyen Bebaskan Anwar kepada PBB:

 

Kempen ini berupa kempen untuk mendapatkan tandatangan rakyat Malaysia menggesa pembebasan Anwar Ibrahim. Sebanyak mungkin tandatangan rakyat akan didapati bagi tujuan mengemukakan petisyen ini kepada PBB, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tarikh penyerahan petisyen ini kepada PBB adalah pada 14 Oktober 2000.

 

Program Gerak Gempur Srikandi:

 

Gerak Gempur Srikandi merupakan program mobilisasi Wanita keADILan untuk turun ke akar umbi masyarakat dan rakyat umum. Program ini digerakkan melalui Wanita keADILan Negeri dan Bahagian. Wanita keADILan akan turun membuat penerangan kepada rakyat berkenaan Fatwa Syeikh Dr. Taha Jabir Al-Alwani yang menetapkan bahawa penghukuman terhadap Anwar Ibrahim adalah tidak sah di sisi undang-undang, syari’at Islam dan juga hak asasi manusia. Wanita keADILan juga akan membuat penerangan tentang alibi Anwar Ibrahim yang dikemukakan oleh peguam beliau yang tidak dicabar langsung oleh pihak pendakwa di mahkamah.

 

Konvoi Berkenderaan ke Pejabat PBB di Malaysia:

 

Satu konvoi berkenderaan akan diadakan pada 14 Oktober 2000 dari Jalan Kebun, Shah Alam ke Pejabat PBB di Kuala Lumpur. Tujuan konvoi berkenderaan ini adalah untuk menyerahkan petisyen Bebaskan Anwar Ibrahim beserta tandatangan rakyat kepada wakil PBB di Malaysia. Dijangkakan sebanyak 200 kenderaan akan menyertai konvoi ini.

 

Bagi tujuan menjayakan empat program di atas, Jawatankuasa Bulan Reformasi menyeru para aktivis reformasi untuk bersama-sama berganding bahu dengan Wanita keADILan. Kita yakin dengan program-program yang dianjurkan oleh Wanita keADILan ini kita akan dapat menyemarakkan lagi perjuangan reformasi di negara ini.

 

 

 

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi Jawatankuasa Bulan Reformasi,                         

Parti KeADILan Nasional