LAPORAN GERAKAN MENYELAMATKAN WANG RAKYAT PERINGKAT NEGERI KELANTAN

Kota Bharu - 11 Mac 2001. Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk rakyat Negeri Kelantan Darul Naim. Awal-awal lagi YB Sdr Mahfuz Omar telah tercegat di Hotel Ansar sebelum jam 3.00 petang, titik pertemuan Pemuda Barisan Alternatif Negeri Kelantan seperti yang dirancangkan. Selepas pembahagian kumpulan dibuat, satu kumpulan yang diketuai oleh YB Mahfuz telah bergerak ke arah Stesyen Bas di Pusat Bandar. Satu lagi kumpulan yang bergerak ke arah Pasar Besar lama pula dipimpin oleh YB Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan bersama dengan Sdr Mohd Zamakh Sari Ibrahim, Ketua Pemuda KeADILan Kelantan.

Dalam masa sekitar 2 1/2 jam, kesemua 4,000 risalah yang telah dibawa telah selesai diedarkan satu helai satu orang oleh pemimpin dan penyokong Pemuda Barisan Alternatif Kelantan. Di penghujung gerakan tersebut, YB Sdr Mahfuz sempat menyampaikan ucapan dengan menggunakan pembesar suara kepada rakyat Negeri Kelantan yang sedang membeli-belah dan berehat di Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pemimpin dan petugas yang agak keletihan petang tadi mengakhiri program mereka dengan menghilangkan dahaga mereka di Restoran Mutiara Corner berhadapan dengan Pejabat PAS Negeri Kelantan. Sdr Lokman Adam yang tidak dapat hadir sama mengedarkan risalah petang tadi kerana menghadiri Kolokium Setiausaha KeADIlan telah sampai di Lapangan Terbang Kota Bharu sekitar jam 7.15 malam.

Tepat jam 9.15 malam, Pengerusi Majlis, Sdr Mohd Zaki Ibrahim telah memulakan Majlis Program Ceramah Perdana sempena Pelancaran Gerakan Menyelamatkan Wang Rakyat Peringkat Negeri Kelantan dengan bacaan Ummul Kitab. Tirai ceramah pada malam tadi telah dimulakan dengan ucapan wakil Pemuda Barisan Alternatif Kelantan, YB Sdr Takiyuddin Hassan diikuti dengan pemidato pertama yang mewakili NGO iaitu Sdr Shaari Sungip. Pidato Perdana tersebut telah diteruskan dengan ucapan Sdr Johnson Chong yang mewakili PRM diikuti oleh Sdr Lokman Adam yang mewakili KeADILan dan diakhiri dengan ucapan YB Sdr Mahfuz Omar.

Sekitar 40,000 hingga 50,000 rakyat Negeri Kelantan membanjiri Padang Perdana Kota Baharu walaupun hampa kerana tidak dapat mendengar ucapan Sdr Ezam yang masih dilokap oleh regim zalim Dr. Mahathir. Hadirin yang cukup bersemangat jelas berpuas hati dengan ucapan berapi pimpinan Pemuda Barisan Alternatif yang hadir. Program tamat tepat jam 12.00 tengah malam.

Webmaster Pemuda KeADILan

Webmaster Pemuda KeADILan