WAYANG WANG EHSAN

 

Kali ini satu lagi sandiwara dii bawah tajaan kerajaan BN telah bermula. Sandiwara yang dimainkan oleh BN kali ini merupakan sekatan dan balas dendam dan tak payah susah-susah keluarkan tangisan air mata buaya darat. Tergamam kerajaan PAS dibuatnya apabila kerajaan Persekutuan memberi arahan kepada Petronas memberhentikan pembayaran royalti dan digantikan dengan pembayaran wang ehsan (compassionate payment) kepada Terengganu. Apalagi bukan main sukar PAS hendak mempertahankan hak mereka yang telah dirampas dengan sewenang-wenangnya oleh BN malah perbuatan BN lebih teruk daripada daylight robbery. Kerajaan BN memang bimbang kerana pembayaran royalti oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah bertambah dari 426 juta pada tahun lepas kepada 810 juta tahun ini. Jika keadaan ini berterusan ia akan memberi kelebihan kepada PAS dan sudah BN akan merasa tertekan. Oleh itu BN dengan segera mencari alasan-alasan bagi membolehkan mereka menyekat kerajaan PAS daripada terus menikmati pemberian royalti daripada Petronas.

Campur tangan kerajaan BN yang mendakwa negeri kerajaan Terengganu tiada hak ke atas penerimaan royalti daripada Petronas kerana minyak yang berada di luar persisiran pantai negeri Terengganu adalah milik kerajaan Pusat. Lagipun tiada nama royalti dinyatakan dalam perjanjian diantara Petronas dan negeri Terengganu 25 tahun yang lalu. Kerajaan Pusat boleh mengatakan apa yang mereka suka walaupun alasan yang diberikan adalah tidak munasabah. saya rasa agak sukar bagi kerajaan PAS mempertahankan hak mereka. Secara terus terang memang sukar dan saya tidak yakin PAS dapat menyakinkan bahawa penerimaan royalti adalah sah dan mereka berhak menerima pemberian royalti hasil keuntungan yang diperolehi oleh Petronas tiap-tiap tahun. Sudah tentu kerajaan Persekutuan tidak akan menarik balik keputusan kerana kita sudah tahu niat kerajaan BN yang jelas iaitu menyekat kekuatan PAS dan pada masa yang sama menghukum rakyat negeri Terengganu yang telah memberi sokongan kepada PAS.

Tiada gunanya walau pun PAS membawa kes ini ke mahkamah jika tiada persetujuan bersama diantara kedua pihak dicapai kerana kredibiliti mahkamah sudah tiada lagi yang terpaksa mengikut telunjuk seorang pemimpin besar yang sangat berkuasa. Nampaknya kemungkinan besar Augustine Paul akan bersiap sedia dipanggil oleh kerajaan Persekutuan jika segala penyelesaian menemui jalan buntu. Sudah tentu Augustine Paul tidak segan silu dan tidak akan teragak-agak menggunakan perkataan kegemarannya iaitu "irrelevant" bagi menunjukkan pemberian royalti oleh Petronas kepada kerajaan Pas sudah tidak sah atau tidak relevan. Nampaknya tiada jalan lain dan PAS terpaksa akur menerima hakikat itu.

Malang bagi kerajaan negeri Terengganu kerana hasil penerimaan royalti daripada Petronas telah dirampas oleh Kerajaan BN. Kerajaan BN mempersoalkan dan tidak percaya ke atas perbelanjaan 432 juta yang telah diterima oleh Terengganu pada bulan Februari 2000. Kerajaan BN mendakwa adalah lebih baik pemberian wang ehsan disalurkan secara terus kepada kesemua rakyat kononnya segala perbelanjaan untuk pembangunan sosial, ekonomi dan kebajikan dapat dinikmati oleh kesemua rakyat negeri Terengganu. Kenapa pulak secara tiba-tiba kerajaan Pusat begitu baik terhadap rakyat Terengganu sedangkan mereka tidak pernah berbuat demikian sejak 25 tahun mereka berkuasa sebelum mereka mengalami kekalahan teruk kepada PAS. 25 tahun adalah satu tempoh yang cukup lama dan sepatutnya negeri Terengganu berupaya menjadi negeri yang paling makmur tetapi perkara sebaliknya berlaku di mana negeri Terengganu menjadi negeri yang kedua paling mundur. Memang hairan bin ajaib. Dengan penerimaan royalti yang agak banyak tidak sepatutnya dan tidak masuk akal negeri Terengganu masih miskin. Ke mana perginya duit yang telah diterima dan dibelanjakan malah kerajaan Pusat tidak berani memberi penjelasan mengenai hutang sebanyak 700 juta.

Kerajaan PAS hendaklah mengeksploitasikan isu ini dengan sebaik-baiknya. Kita lihat apa penjelasan kerajaan Pusat nanti. Sudah tentu tergagap-gagap PM memberi penjelasan isu tersebut. Kalau keadaan terdesak, PM terpaksa menggunakan kebolehannya berlakon dengan mengeluarkan air mata diperbuat daripada air mata Eye More bersama dengan suara yang sedih. Macam-macam alasan akan digunakan dan seperti biasa dia akan menggunakan kebolehannya yang luar biasa iaitu memutar-belitkan isu hutang itu. Dengan kebolehan lakonannnya yang terserlah dan tiada tandingan di planet yang bernama Bumi, dia berharap akan mendapat simpati dan kepercayaan rakyat.

Kerajaan Pusat akan memutuskan jumlah pemberian wang ehsan kepada Terengganu. Kemungkinan akan timbul tidak ketelusan di mana tidak menghairankan jika jumlah wang ehsan yang diberikan adalah kurang daripada yang sepatutnya diterima oleh Terengganu. Kerajaan Pusat akan memberi alasan yang bukan-bukan iaitu ia melibatkan kos yang besar untuk menguruskan projek-projek pembangunan di negeri Terengganu. Saya bimbang dan tidak yakin sama ada projek-projek pembangunan akan memberi manfaat dan faedah kepada rakyat Terengganu. Keikhlasan, kesungguhan dan tindakan murni kerajaan Pusat adalah diragui.

Golongan yang paling gembira ialah kroni-kroni dan keluarga PM Malaysia. Mereka akan berebut-rebut mendapat tender projek-projek pembangunan. Akan bermulalah aktiviti bodek-membodek dan kipas-mengipas akan giat dijalankan bagi menambat hati PM. Siapa yang berjaya mendapat kepercayaan PM akan mendapat habuan untuk menguruskan projek-projek pembangunan di Terengganu. Kalau pun tender dikeluarkan, tidak hairan orang-orang PM akan dapat tender itu. Apa lagi beraya sakan dia orang. Kroni-kroni PM sudah membuat congakan berapa banyak habuan yang mereka boleh terima tiap-tiap tahun. Maka kroni-kroni yang kaya-raya akan bertambah kaya. Sudah tentu mereka akan mengucapkan beribuan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang berjaya mendapat idea yang cukup bagus iaitu mengeksploitasikan isu royalti dan menggantikan dengan wang ehsan. Wang yang sepatutnya diterima oleh rakyat Terengganu kini akan berada di tangan orang-orang PM. Malang tidak berbau buat kerajaan PAS dan rakyat negeri Terengganu amnya.

Kerajaan Pusat menggunakan kuasa mereka dengan sewenang-wenangnya bagi memastikan kedudukan mereka tidak terancam dan tergugat. Saban hari tidak habis-habis dan ada saja sandiwara terbaru arahan kerajaan BN dan dipertontonkan secara percuma dan jijik kepada rakayt. Parti PAS dan Rakyat Terengganu menjadi mangsa kali ini mainan politik kerajaan Pusat di bawah arahan PM. Saya pun tak tahu siapa yang akan jadi mangsa seterusnya mainan politik kerajaan Pusat.

Double Sadness