Oleh UMMU NATASYA

 

Kisah Kem Jubah Hitam dan Utusan Malaysia

 

KITA harus bertanya diri sendiri; Apakah yang menyebabkan kita masih mahu lagi membeli dan melanggani Utusan Malaysia… akhbar fitnah dan penyebar pembohongan yang paling nyata di Malaysia sekarang.

Pertanyaan ini ditujukan buat kita semua, tetapi bagi yang sudah meninggalkan Utusan Malaysia hasil kempen memboikot dahulu…Alhamdulilah.

Semalam, Jumaat, Utusan Malaysia melaporkan “mereka terjumpa kem Jubah Hitam”. Hari ini, Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Norian Mai diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Badawi supaya membetulkan laporan itu kerana “ia merupakan pembohongan yang nyata”.

Dalam pojok Utusan Malaysia, 21-10-2000, menyindir Ketua Polis Negara kononnya “tidak sensitif” bagaimana sempadan negara dicerobohi orang asing.

Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua penyokong dan pendokong reformasi… tinggalkan secara total Utusan Malaysia, termasuk akhbar mingguannya, Mingguan Malaysia yang memang “tempat fitnah dan penyebar pembohongan” yang paling nyata.

Ketua mereka, Zainuddin Maidin dan pembantu sesat mereka, Astora Jabat tidak akan sedar selagi Utusan Malaysia tidak kerugian seterusnya bangkrap.

Utusan Malaysia sebenarnya adalah milik orang-orang Melayu. Ia hidup dari saham orang-orang Melayu dan dia sepatutnya menjadi suara Melayu total walaupun tidak harus menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi ia kini menjadi suara (pembohongan) Zam dan Astora yang terlalu jijik dan menjijikkan.

Saya tidak kata “jangan baca” tetapi jangan beli. Haramkan tangan kita membayar harga senaskhah akhbar mereka yang terlalu kotor. Gunakan ia sebagai kertas membungkus nasi lemak atau kertas alas kaki di dalam kereta.

Sikap anti mereka kepada “orang Islam” terlalu nyata. Maknanya, cara berpakaian “serban dan jubah” harus ditentang. Yang mereka setuju, pakai kot (cendoi) Astora dan berlagak sebagai seorang ahli fikir Zam. Zam ini sebenarnya “budak hingusan” sahaja di Alor Setar. Tetapi disebabkan dia bertugas di sebuah akhbar harian, maka namanya tersohor. Dia sendiri menjadi pengampu setelah dipecat dari jawatan Ketua Pengarang suatu ketika dahulu.

Satu azamnya, sebelum dia mati, dia mahu kembali ke kerusi itu walaupun sehari… bagi memuaskan hatinya bahawa “dia menang bila berdepan” dengan Dr. Mahathir.

Tapi, dari mulutnya, dia beritahu semua orang Dato’ Seri Anwar Ibrahim lah yang (mempercepatkan) proses pemecatannya yang diumumkan Pengerusi Utusan Melayu ketika itu.

Percayalah, manusia Zam dan Astora ini akan “terhina” lebih dari orang-orang yang mereka hina suatu ketika nanti.

Percayalah, manusia bernama Zam dan Astora ini tidak akan ke mana dan merekalah yang membantu mempercepatkan lagi “nyawa-nyawa ikan Umno” menjadi nazak seterusnya mati.

Orang-orang Melayu, khususnya mereka yang menyokong Umno, cukuplah… cukuplah membenarkan diri masing-masing terus ditipu Utusan Malaysia. Membaca bahan “fitnah dan pembohongan” saban hari akan menyebabkan fikiran kita sentiasa dipenuhi dengan “benda salah” dan penipuan.

Cukuplah Utusan….cukuplah yang sudah-sudah.

Kalau masih tidak mahu bertaubat pun, usahlah ulangi lagi pembohongan.

Siapa yang sedang Utusan “sasarkan” itu? Penyokong Umno tetap akan menyokong Umno tetapi jika mereka terus menerus dibohongi dengan laporan penyiasatan seperti itu, akhirnya penyokong Umno juga hilang pedoman.

Utusan mahu jadi apa? Jadi juara… jadi “kaki pukul atau jadi pembohong paling besar? Siapa yang Utusan bohongi? Orang Melayu yang terlalu sempit fikirannya dan orang Melayu yang memang mengizinkan diri dan pemikiran mereka dibohongi….nahuzubillah.

Orang Melayu yang berada di dalam Barisan Alternatif adalah mereka yang terbuka mindanya dan membenarkan maklumat-maklumat lain ditapis terlebih dahulu sebelum dipercayai dan diikuti. Alahai Utusan Malaysia…. Takut betul dengan jubah dan serban. Sudah berapa banyak kakitangan Utusan Malaysia yang kena “cabul dari orang yang pakai serban dan jubah…?”

Serban dan jubah tidak salah… yang salah fikiran mereka sendiri yang sentiasa ditakut-takutkan… wahai Utusan Malaysia.

Alahai Utusan Malaysia….alahai Utusan Meloya…

 

habis