Analisis : Pena Suasa

 

Zam, wartawan pengampu

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Dato’ Zainuddin Maidin tiba-tiba memberitahu usaha pembangkang memboikot Utusan sebagai gagal.

Menurutnya, kalau usaha pembangkang itu berjaya, tidak mungkin hari keluarga anjuran Badan Keluarga Utusan boleh diadakan di Taman Tasik Permaisuri.

Kesihan betul dekat wartawan pengampu seperti Zainuddin atau Zam ini. Dia memang “gila talak” hendak jadi ketua pengarang semula di Utusan tetapi Dr. Mahathir sudah tidak percayakan dia lagi.

Dia sendiri buat macam-macam hal nak memenangi hati Dr. Mahathir sejak peristiwa dia dipecat dahulu kerana isu bahasa. Utusan menuduh Dr. Mahathir yang mahu mengadakan sidang akhbar dalam bahasa Inggeris tetapi Dr. Mahathir menafikannya. Zam terpelanting dari kerusi ketua pengarang dan kemudiannya dia ke London kerana mahu menulis buku kisah Dr. Mahathir. Punyalah nak ambil hati, macam-macam dia buat, termasuk keluar TV dan tulis macam-macam rencana untuk menyejukkan hati Dr. Mahathir.

Akhirnya, Dr. Mahathir lantik dia jadi Senator dan beri dia jawatan sekarang, jawatan yang diujudkan hanya untuk dia supaya dia jangan menyalak lagi.

Mustahil Utusan boleh bangkrap kalau usaha pemboikotan berjaya. Masih ada penyokong Umno dan pembaca-pembaca yang tidak mirip ke mana-mana parti politik yang akan terus membeli Utusan. Pembangkang mengajak rakyat memboikot kerana mereka merasakan Utusan menjadi lidah yahudi. Memutar belitkan berita hingga kena saman dengan Tuan Guru Haji Hadi dan Ustaz Dato’ Fadzil Noor dalam isu “Nabi Hadi dan Nabi Fadzil” dahulu.

Para penyokong pembangkang, simpatisan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli PAS memang wajar memboikot Utusan.

Utusan bukan kepunyaan Zam. Dia hanya makan gaji. Utusan dipunyai syarikat senaraian awam. Tugas mereka menyambung lidah rakyat tidak dilaksanakan. Mereka menggunakan penulis tertentu untuk menjadi juara Islam.

Akhirnya mereka merosakkan Islam. Mereka tulis sesuka hati mereka seolah-olah orang Islam di Malaysia dungu dan bodoh. Utusan dibaca (dan dibeli) mungkin kerana berita sukan, mungkin juga berita kemalangan jalan raya.

Mereka membeli Utusan bukan kerana analisis politik. Pembaca tahu siapa yang menulis ruangan pendapat. Sesekali Zam menjadi penulisnya dengan menggunakan nama dan alamat yang berlainan.

Zam tidak berhak untuk hairan jika masih ada yang membaca Utusan kerana mereka bukan membaca kerana percaya tetapi kerana hendak tahu. Dunia pengetahuan bukan hanya berada di pemikiran Zam sahaja.

Jika seorang penyokong pembangkang membeli senaskhah Utusan, berkongsi membaca bersama seorang yang lain, sudah cukup untuk mengurangkan senaskhah jumlah jualan. Apatah lagi kalau seorang beli, lima yang lain membaca. Akuilah Utusan sekarang merosot jumlah edarannya. Betul, ada majalah-majalah lain terbitan anak syarikat yang melonjak naik, tetapi Utusan sebagai suratkhabar besar benar-benar terancam. Itulah sebabnya mereka berusaha menyekat Harakah dan Eksklusif selain majalah Detik dan Panji Masyarakat.

Di dalam pilihan raya umum yang lalu, permainan berlebihan Utusan menyebabkan pembangkang menang besar. Zam sendiri mengetahui seluruh bandar Alor Setar kosong pada suatu malam sebelum pilihan raya umum ke 10 kerana ada majlis ceramah PAS. Namun, Zam juga mengarahkan jangan dilaporkan perkembangan itu. Dia cukup bimbang dan menyuarakan dengan rakan-rakannya di Dewan Negara.

Zam juga risau bagaimana suatu hari dia terjumpa majalah Tamadun berada di rak buku di PKNS, Shah Alam.

Zam… sebenarnya mengampu untuk kembali sebagai Ketua Pengarang Utusan yang digilainya! Tapi Dr. Mahathir tahu siapa dia sebenarnya dan tidak akan meletakkan dia semula ke kerusi itu kerana dia “masih berfikiran lama” tetapi berlagak macam serba tahu. Kononnya dialah yang faham semangat Umno, sedangkan Dr. Mahathir tidak. Dengan lain perkataan, dia lebih Umno dari Umno.

Cukuplah Zam. Tidak sedarkan awak dimalukan di Dewan Negara dalam isu ahli PAS mengebar bendera parti di Makkah? Zam tidak mengaji bab rukun haji. Tidak batal pahala haji seseorang yang mengebar bendera di Makkah! Kesihan dia!!!